Wednesday, December 6, 2023

LASBELA KE BATU BARA DAN MEDAN INDONESIA 2 HINGGA 5 DISEMBER 2023

 

Day 1 
1 Disember 
Alor Setar - Penang

Jumaat jam 5.00 petang kami bertolak dari ke Pulau Pinang kerana penerbangan kami memerlukan kami berada awal di airport PP. Kami makan nasi kandar Beratur 618, kemudian terus check-in di Hotel Raia, supaya esoknya kami boleh ke airport awal pagi. 

Sebelum ke bilik masing-masing kami diberi taklimat kajian oleh Dr Kasri. Team kami akan berpecah kepada 3 kumpulan. Kumpulan A diketuai oleh Dr Ibrahim yang akan meninjau kawasan makan yang telah dikenalpasti oleh wakil tempatan. Team B diketuai oleh Dr kasri yang akan mendapatkan maklumat tentang sejarah Batu Bara dan hubungannya dengan negeri Kedah. Team C diketuai oleh Tuan Mokhtar yang bertangggung jawab melihat aspek sosio-budaya masyarakat Batu Bara. 

Encik Firdaus mengedarkan t-shirt, vest, fail, dan  hadiah-hadiah berupa sijil dan buku-buku. Semuanya kami terpaksa bawa sorang sikit untuk mengelakkan masalah Imegresen dan lebihan bagasi. Kami juga diperkenalkan kepada Pak Andy dan Thaqeef  wakil Travel yang akan menguruskan perjalanan kami di Medan.


Day 2
2 Disember 2023
Penang - Kuala Namu  -  Pagu Rawan - Batu Bara
 
Seawal jam 3.30 pagi kami telah dikejutkan oleh morning call dari petugas Hotel Raia. Selepas itu jam 4.00 pagi team LASBELA seramai  14 orang dari PSMCK, dan 2  pengurus pelancong, telah berada di Penang International  Airport  untuk penerbangan FY 5332 jam 7.00 pagi Ke Kuala Namu International Airport Medan. Untuk kemudahan kami semua menginap Di Hotel Raia tidak jauh dari airport. 

Kami diangkut oleh Firdaus ke airport dengan kenderaan pacuan 4 roda. Terima kasih Firdaus memudahkan perjalanan kami. Dalam kesejukan pagi kami dibantu oleh Pak Andy dan Thaqif travel agent untuk urus bagasi, check-in dan jam 7.00 pagi kami terus terbang ke Medan. 

Cuaca  cerah tapi mendung, dan kami selamat mendarat di Kuala Namu, lapangan terbang baru Medan, jam 9.00 waktu Indonesia alhamdulillah. Semua urusan Imegresen dan kemasukan mudah sebab semua kami telah menyiapkan QR Cod untuk diimbas. Kami disambut oleh Pak Dian wakil travel agent, sebaik keluar dari balai ketibaan. Kami diperkenalkan dengan Pak Her man tour guideyang akan menemani kami selama 4 hari.

Semasa keluar kami menuju  ke dua buah ven  yang akan membawa kami 16 orang ke Pagu Rawan, hujan renyai-renyai. Kami berpecah dua kumpulan. Jadi dua ven yang membawa kami, terus meluncur ke Restoran Sobat untuk minum pagi. Ramai yang pesan nasi lemak, ada yang makan soto dan banyak juga yang makan roti. 

Kami terus menuju  Ke Pagu Rawan, hujan semakin lebat semasa melalui lebuh raya, selepas itu semakin reda dan kami rasa lebih selesa. Namun  jalannya semakin sempit tidak boleh dilalui bas pelancong, sebab itu kami di bawa dengan ven saja. Di kiri kanan jalan sehingga ke Bandar Khalifah,  kelihatan rumah-rumah orang kristian. Di pertengahan jalan kami terpaksa turun berjalan kaki kerana jambatan sedang dibaiki dan jalanya licin dan sempit beralaskan papan. Salah seorang ahli kami tergelincir dalam selut, amatlah malang baginya, namun dapat diuruskan dan kami meneruskan perjalanan.

Selepas itu, mendekati ke Batu Bara di kiri kanan jalan sudah kelihatan rumah-rumah masyarakat orang Islam. Sesekali kelihatan masjid-masjid yang cantik-cantik juga. Corak lanskap juga sudah kelihatan seperti mendekati Kuala. Alhamdulillah kami selamat sampai di Kampung Pengkalan Cempedak Pagu Rawan, disambut oleh wakil tempatah cik Halimah Sakdiah dan masyarakat tempatan. 

Kami dibawa ke rumah Halimah, rumah dua tingkat, di tingkat bawah rumah dan tingkat atasnya sekolah agama dan tahfiz. Kami disediakan jamuan tengah hari. Lauknya segala macam makanan laut, udang tumis cili, shellout sotong, siput, kteam rebus dan ikan siakap panggang yang segar-segar. Banyak juga kuih muih yang disajikan, semuanya sama dengan kuih muih yang kita ada di kedah. Antaranya kueh karas, kueh lapis, bengkang, bubur dan bubur lambuk, cuma bubur lambuknya sedikit pedas, Hari ini masyarakat tempatan buat kenduri menyambut kedatangan  kami. Sungguh ramai. Selepas makan dan solat diadakan pula acara sambutan untuk rombongan kami di satu arena, khas berkemah tak jauh dari rumah Halimah.

Acara sambutan dihadiri ramai penduduk dan diserikan lagi dengan kehadiran Pak Camat dan Ketua POLSEK. Dimulakan dengan silat oleh kanak-kanak sekolah dasar. Mereka kelihatan lincah dan yakin menggayakan silat sambutan. Kemudian diserikan lagi dengan berbalas pantun dan akhirnya digemuruhkan dengan acara tarian yang berwarna-warni lagi lemah gemalai.

Acara dimulakan dengan ucapan Pak Camat Medang Deras. Beliau mengucapkan syukur dan melahirkan rasa gembira atas kesudian kami bertandang ke tempatnya, dan berharap kerjasama akan diteruskan pada masa-masa akan datang. Pihak PSMCK diwakili Pengurusinya Dr Ibrahim memberi ucapan balas mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian merai, menyambut, membantu dan melibatkan diri sama-sama dalam menjayakan kajian. Acara dimeriahkan lagi dengan upacara pemberian cenderamata kepada yang terlibat sebagai tanda terima kasih dari kami. 

Kemudian team Dr Ibrahim telah bergerak ke lapangan untuk mencari makam-makam. Ada yang naik kereta, bersama Pak Dian dan Ibu Halimah. Ada yang bermotorsikal kerana jalan ke makam agak sukar dan sempit. Dan ada satu makam mereka terpaksa naik bot kerana tiada jalan dan terletak di tepi kuala sungai. 

Sementara kami yang tinggal mengadakan open-forum untuk mendapatkan maklumat sejarah dan  budaya serta hubungan masyarakat melayu Pagu Rawan dengan Kedah. Moderatornya Tuan Mokhtar bersama  Dr Kasri dan Dr Mohd Ali cuba mencungkilkan perkara tersebut dengan mengemukakan pelbagai soalan untuk merungkaikan persoalan. Team penyelidik pula mencatat mana-mana yang perlu seta merakamkan foto untuk dokumentasi kajian kami. 

Lebih kurang jam 5 petang majlis selesai, penduduk bersurai dan kami pun meninggalkan majlis semasa azan asar sedang berkumandang. Kami bergerak perlahan, di celah-celah jemuran ikan kering di sepanjang jalan untuk keluar ke jalan besar menuju ke Batu Bara. Kami sempat berjumpa Team A yang masih belum selesai tugas. Mereka akan ke satu lagi makam yang terpaksa menggunakan bot. Kami meninggalkan team A menuju ke Batu Bara terlebih dahulu.

Dalam ven semua menyepi, barangkali terlampau letih dan mengantuk sebab perjalanan kami bermula sejak  jam 3.30 pagi lagi, bermula di Raia Hotel di Pulau Pinang untuk kami dapat terbang jam 7.00 pagi ke Medan. Dari Pagu Rawan jalan sangat sibuk petang itu. Kononnya lebuhraya ini laluan ke semua bandar besar, jadi banyaklah lori dan pelbagai kenderaan keci besar  berpusu-pusu ke destinasi masing-masing. Akhirnya kami sampai di Singapore City Hotel Batu Bara, setelah 2 jam di perjalanan, ketika azan maghrib sedang berkumandang. 

Selepas makan malam kami berhimpun di lobi. Dr Ibrahim membuat rumusan dapatan kajian yang di temui di situs makam yang telah dikunjungi. Laporang lanjut akan disediakan oleh team yang bertugas. InsyaAllah, mudah-mudahan ia bakal menjadi ilmu yang bakal membawa manfaat kepada bangsa dan agama..

No comments:

Post a Comment