Tuesday, May 6, 2014

AKTIVITI HUJUNG MINGGU


Setiap hujung minggu hari Jumaat, masa anak-anak masih di sekolah rendah, dipenuhi dengan aktiviti keluarga. Selalunya pagi Jumaat kami makan-makan di luar - roti canai, atau nasi lemak. Masih segar dalam ingatan, along kalau roti canai mesti dua biji, kalau tidak semua termasuk angah dan alang, akan minta roti canai telur. Selepas itu setiba di rumah bermulalah tugas rutin setiap hujung minggu.

Mula-mula semua akan rendam baju putih. Kemudian mereka beruslah kolar baju putih masing-masing, dan lepas itu mereka berus stokin putih pula, sebelum dimasukkan ke mesin. Seperti biasa naluri anak-anak akan bermain-main air sambil buat kerja. Tapi kerja tetap siap. Akhir sekali basuh kasut sekolah dan letak kapur kasut, supaya putih bersih. Siap tugas hujung minggu hari Jumaat.

Rutin ini kadang kala kurang disenangi anak-anak. Apatah lagi apabila mereka membandingkannya dengan rakan mereka di sebelah rumah. Dia tidak pernah sekalipun kelihatan menguruskan dan membersihkan baju sendiri. Aku selalu beritahu mereka, 'tak apa nanti bila besar, bila hidup sendiri jauh dari mama, mesti semua anak mama sudah biasa mengurus diri'. Masa itu mesti dirasakan mudahnya semua kerja yang pernah dibuat, dan sudah tentu tidak akan menimbulkan stress, dan susah bila sudah biasa buat kerja sendiri. Selalu juga aku ingatkan 'orang perempuan kerja apa pun akan jadi isteri dan tidak boleh lari dari mengurus rumah, dan salah satunya mengurus baju-baju yang dipakai setiap hari', kalau sudah biasa mesti nanti tak jadi masalah'.

Hari Sabtu juga hari cuti hujung minggu. Selalunya anak-anak akan membantu membersih bilik air. Ada yang berus lantai, berus dinding, bersih sink dan mangkok tandas, semuanya dibuat bersama, dan sekejap saja bilik air sudah bersih berseri. Kemudian mereka akan bermain dalam 'bath tub'  sehingga puas. Aktiviti ini dirasakan amat penting sebagai sebahagian daripada sosialisasi pembentukan sifat dan sikap anak-anak. Sebenarnya membiasakan anak-anak menjaga kebersihan bilik air memang amat penting dalam pemupukan sifat pentingkan kebersihan. Bukan itu saja, melaksanakan tugas bersama-sama menggalakkan toleransi dan sifat kasih sayang yang berpanjangan antara anak-anak insyaa Allah.

Begitulah yang pernah dibuat bersama anak-anak semasa mereka masih kecil dan awal  remaja. Dan bila mereka sudah dewasa dapat dilihat perkara yang dipupuk sejak kecil, menjadi amalan dalam kehidupan seharian mereka. Alhamdulillah......




PENDIDIKAN SEBENAR


Semasa kecil-kecil di kampung dalam lingkungan umur tujuh atau lapan tahun, budak-budak dihantar mengaji Quran. Selalunya dalam satu kampung akan ada seorang guru yang mengajar mengaji Quran. Anak muridnya pula adalah antara sepuluh hingga lima belas orang. Kebetulan bila sudah masuk sekolah aku tak sabar untuk dihantar mengaji Quran. Suatu hari emak bawa aku untuk diserahkan mengaji kepada tok guru mengaji. Semua kami panggilnya Kak Om. Hari itu emak bawa pulut kuning dengan gulai ayam. Emak pesan supaya aku mengaji rajin- rajin, dan emak pesan supaya aku  diajar  agar pandai baca quran dan boleh sembahyang.

Maka bermulalah suatu kehidupan baru selepas itu. Setiap hari selepas balik sekolah, selesai makan aku terus pergi mengaji. Kami di pesan  siapa  tiba awal, tolong angkut air dari telaga masukkan dalam tempayan di tepi tangga, guna untuk membasuh kaki sebelum kami naik ke rumah untuk mengaji. Seorang setimba sudah cukup  kerana tempayan sederhana besar itu hanya mampu menampung lima timba air sahaja untuk kegunaan kami. Jika ada lagi yang awal, kerja lain pula dibuat seperti menyapu daun dan sampah di halaman. Kemudian kami akan diajar mengaji beramai-ramai. Pelajar baru akan diajar oleh tok guru membaca muqaddam bermula alif, baa, taa. Kemudian kami akan mengaji membaca berulang kali sehingga dapat kenal hurul dan menguasai apa yang diajarkan. Setiap rakan yang mengaji tahapnya tidak sama, ikut tahap kebolehan, dan ikut masa yang diserahkan mengaji. Jika rakan yang yang dah tamat muqaddam dan sudah naik quran, dan sudah melebihi juzuk lima belas, mereka akan menjadi pembantu kepada tok guru. Mereka akan mengajar rakan-rakan lain yang masih baru naik quran atau yang dah banyak baca muqaddam. Akhir sekali barulah tok guru akan ajar rakan pembantu itu, kemudian kami semua akan balik bersama-sama. Kadang-kadang jika kami diminta tolong membasuh pinggan,  yang lelaki akan tolong susun kayu api. Ada yang kuat akan tolong belah kayu api. 

Pada waktu itu kami ikut saja apa yang disuruh. Tapi sebenarnya semua itu telah menjadi sebahagian daripada proses sosialisasi pembentukan jati diri remaja waktu itu. Melaluinya terbentuk sikap dan rasa hormat kepada orang yang lebih tua, terutamanya yang dipanggil guru seorang yang amat dihormati. Juga berperanan membentuk sikap bertanggung jawab melaksanakan tugas yang diberikan. Selain itu memupuk juga kemahiran berkomunikasi atau softskill untuk dapat bersosial  dengan sesama remaja dan orang tua, dengan baik. Dapat juga dilihat satu sikap yang turut terbentuk, iaitu bertolak ansur dalam pergaulan, dan bertolah ansur dalam mengaturkan dan melaksanakan tugas yang diberikan. Dan yang paling berkesan ialah memupuk sifat kepimpinanan dan 'self-confident' dalam diri setiap remaja yang berupaya dan diminta menjadi pembantu tok guru mengajar rakan yang lain mengaji.

Satu hari kami mengaji bukan saja waktu tengah hari tapi juga waktu malam. Sebelum maghrib kami sudah tiba di rumah tok guru siap berwudhuk dan bertelekung. Kami sembahyang maghrib berjumaah kemudian mengaji beramai-ramai dan tamat selepas waktu isyak. Buat penerang jalan untuk balik ke rumah kami pakai jamong. Apinya yang terang dapatlah menyuluh jalan dan kami pulang beramai-ramai, jadi tidaklah kami merasa takut walaupun malam sangat gelap gulita. Begitulah setiap petang dan malam kami tekun mengaji quran, tidak pernah tahu jemu dan bosan, sehinggalah kami khatam, dan akhirnya mengulang buat kali kedua pula. Selalunya bila sudah tamat dua kali khatam, kami kebanyakannya sudah masuk ke sekolah menengah. Jadi kami akan buat majlis khatam quran. Kami baca quran beramai-ramai semasa majlis khatam itu. Rasa sunguh bangga dan terharu dapat tamat mengaji Quran sebanyak dua kali ulang. Yang kami paling ingat ialah kenduri makan pulut kuning dengan gulai ayam. Kemudian tok guru pula dihadiahkan dengan kain batik dan telekung. Selepas itu kami tamat mengaji kerana di sekolah menengah kami bersekolah waktu petang semasa tingkatan satu dan dua.

Demikianlah suatu pendidikan secara tidak formal yang dilalui di kampung, dalam tahun-tahun enam puluhan semasa usia meningkat remaja dahulu. Ia dapat membentuk pelbagai kemahiran membaca Quran, amali solat, dan juga pemupukan nilai murni yang menjadi pegangan juga membantu mengukuhkan jati diri remaja waktu itu.