Saturday, September 24, 2022

MEMBANTU

 

Banyak kali berurusan mendapatkan bibik pembantu,  untuk menguruskan emak yang terlantar sudah 6 tahun, inilah kali pertama pengurusannya dipermudahkan Allah. Segalanya berjalan lancar, terasa lurus tidak terasa diperbodoh atau ditipu. Terasa keikhlasan bibik yang datang ingin membantu, terasa seperti ingin bekerja seadanya, bukan mengambil kesempatan atas kesusahan yang kita sedang alami. Orang yang menguruskan pun kelihatan mahu membantu, tidak terlihat 'hanky-panky' seperti selalunya sebelum ini. Alhamdulillah ada juga orang Indon yang tidak banyak akal, tidak kelihatan menipu, tidak terlihat seperti ambil kesempatan, tidak kelihatan seperti orang yang telunjuk lurus kelingking berkait macam  selalu yang ku alami. Mudah-mudahan apa yang ku rasakan ini betul, Allah saja yang tahu. Ya Allah tolong uruskan aku dan pembantu ku ini, agar dia dapat membantu aku, membantu menguruskan emak yang sudah tidak bermaya lagi, yang setiap masa perlu diurus, dan tidak boleh ditinggalkan sendirian. Dia sudah tidak berdaya lagi seperti yang dijanjikan Allah dalam kitab suci, 'manusia dilahirkan, membesar, ramaja, tua, dan kemudian kembali tidak bermaya, memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan sebelum kembali menemui pencipataNya. Ya Allah aku sangat tidak berdaya menguruskan diriku, dan menguruskan nasibku, janganlah engkau biarkan aku sendirian mengendalikan nasib kehidupanku walaupun sekelip mata. Bantulah aku ya Allah ya Rahman ya Rahim ya Zaljalaa liwalikroom.

Maka 18 Ogos 2022, bermulalah seorang bibik yang datang membantu, Puteri Marito, Kami panggil dia Kak Put, dia pun sangat senang dengan panggilan itu, dan kami pun senang dengannya. Semoga dia dapat terus membantu, dengan bantuan yang Allah takdirkan kepada ku insyAllah. Syukur ya Allah hanya aku saya yang kurang bersyukur, jadi ampunilah aku dan aku mohon pertunjuk dan hidayahMu, agar aku sentiasa dibantu dalam apa jua keadaan hidupku ini, aamiim.

Sunday, September 18, 2022

KEBUN YANG DITINGGALKAN

Lebih kurang 20 tahun yang lalu masih kekal dalam ingatan papa mencari tanah kebun untuk kami. Puas dicari di Bukit Wang, di Perik, di Kuala Nerang, di Kampung Moktan dan banyak lagi. Setiap petang selepas balik kerja papa bawa mama pergi tinjau tanah-tanah yang dikatakan orang nak jual. Boleh dikatakan setiap hari masuk hutan, hampir senja baru balik. Masa yang ada pun tak banyak, cuma pergi selepas asar dan balik sebelum maghrib.

Papa mengidamkan tanah yang ada sungai. Selain buat dusun boleh juga dijadikan tempat berekreasi anak beranak bila masa terluang. Syarat itu menjadikan kami tak banyak pilihan. Ada tanah dusun tak ada sungai. Ada tanah ada sungai tapi terlalu dalam sungainya. Ada tanah pula sungainya dalam kebun getah. Ada tanah ada sungai tapi jalan terputus dek derasnya laluan sungai di situ. Namun aturan Allah sangat halus, kami bersyukur ditakdirkan membeli sekeping tanah dusun di Kampung Pasir Putih, Tualak, berhampiran Puncak Janing Kuala Nerang. Dusun itu ada laluan air sungai dalam kebun. Pokok buah tak banyak, ada langsat tua dan ada dua tiga pokok durian tua. Tanah pun tak besar sangat lebih kurang 5 relung. Alhamdulillah. Kami sungguh amat bersyukur ya Allah yang maha pengasih lagi mah pemurah.

Kami pun setiap minggu berada di kebun. Menebang, menebas, membuat pagar, buat rumah dan buat sistem air paip dari bukit. Sambil itu kami tanam pokok dokong, pokok durian dan macam-macam lagi pokok exotik yang kami suka. Banyak modal telah dilaburkan untuk minat yang digemari itu. Kami perbaik jalan supaya mudah laluan ke kebun. Pokok buah semakin subur membesar. Rumah pun dah ada api letrik dibantu seorang kawan yang memudahkan urusannya.

Kemudian kami ada seorang pembantu Pak Broheng dari Kampung Bukit, Bayas, Pattani. Dia ditemani isteri dan anak perempuannya Soraya. Dusun kami jadi semakin cantik dan menyenangkan. Kami terus mengusahan mana yang patut. Malangnya selepas pokok dokong dah hampir berbuah Pak Heng balik kampungnya. Kami pun sudah semakin sibuk dengan urusan kerja pula. 

Bila tiba musim buah, dokong berbuah lebat, berputik, kemudian berkembang menghijau dan bertukar menjadi sedikit kekuningan apabila hampir masak. Kami berkira-kira minggu seterusnya kami dapat menuai hasil usaha kami selama ini. Dengan penuh bersemangat minggu berikutnya kami membawa segala peralatan untuk memetik buah dokong yang banyak itu. Masya Allah hanya Tuhan saja yang tahu segala kejadian yang berlaku dan segala yang telah ditakdirkan untuk kami lalui. Sampai di kebun lemah longlai kaki, tak bermaya lagi nak menapak. Tiada kata yang dapat dikeluarkan. Semua kami terduduk kecewa, sedih dan sayu. Buah dokong yang begitu banyak sebiji pun tiada lagi di pokok. Alangkah sedihnya kami. Sampainya hati, tergamaknya hati, orang yang dipanggil manusia, sedikit pung tidak berperasaan dan sedikit pung tidak berhati perut. Sanggupnya mereka mengaut segala hasil yang diusahakan dengan titik peluh dan wang ringgit yang tak terbilang jumlahnya. Tergamaknya mereka, tergamaknya mereka, manusia apakah mereka, sebiji pun tak ditinggalkan untuk dirasa oleh tuan yang mengusahakan, Masya Allah tabarokallah.

Selepas itu kebun  kami tinggalkan begitu saja. Tak ada perasaan untuk menjenguknya lagi. Tidak kami kunjungi. Tidak kami tanya lagi. merajuk hati dengan orang kawasan itu. Tak boleh dibuat kawan, tak boleh dikira sama, tidak kira haram halal, ikut nafsu serakahnya saja. Maka terbiarlah ia. Kami selalu iklan untuk dijual tapi selalu tak jadi, tiada siapa yang sanggup beli. Kami cuma nak balik kos usaha kami yang beratus ribu telah dicurah di situ, tapi malangnya Tuhan tak bukakan rezeki. Maka terbiarlah ia berpuluh tahun menjadi tinggalan. Semoga Allah gantikan rezeki yang lebih baik untuk segala penat lelah kami. Allah maha pengasih semoga aniaya kami digantikan afiah untuk kami insyaAllah aamiin.

Saturday, September 10, 2022

SYUKUR SEADANYA

24.6.2016 masih segar dalam ingatan emak diserang stroke. Sejak itu selepas 2 minggu di hospital, 1 Mei 2016 bermulalah episod baru dalam hidup keluargaku. Emak dibawa balik ke rumah dan dijaga sepenuhnya dengan bantuan kami kerana emak sudah tidak boleh bergerak kaki dan tangannya yang sebelah kiri. Tangan kanan dan kaki kananya, masih boleh bergerak. Emak masih boleh duduk, tapi tidak lagi boleh berjalan. 

Mula-mula aku jaga sendiri - makan minum, lap mandi, dan salin lampin. Lama-lama tenaga sudah tidak mampu dan emosi pun sudah kurang stabil menjaga emak. Semuanya memerlukan tenaga dan komitment yang memakan sepenuh masa yang ada dan tenaga. Aku minta bantuan papa untuk mencarikan seorang pembantu. Alhamdulillah selepas ada pembantu, Tilla namanya, keadaan menjadi semakin baik. Urusan lap mandi, salin lampin dan makan emak di ambil alih bibik. Aku masak, dan menyediakan keperluan asas emak seperti lampin,  tisu dan segala yang berkaitan dengannya. Alhamdulillah lega sikit, kesibukan dapat dibantu. Jadi kehidupan dapat diteruskan seperti biasa. Walaupun tidak dapat ke mana-mana dan tidak pula dapat meninggalkan rumah ikut sesuka hati. Itu saja rezeki yang Allah bukakan kepada ku, syukur alhamdulillah. Namun kelegaan itu tidak kekal lama, hampir 2 tahun (2018) Tilla terpaksa balik ke Palembang.

Jadi selepas itu bermulalah rutin lama menguruskan emak sendirian tanpa siapa-siapa. Sebulan dua bulan hinggalah berbulan-bulan. Puas berdoa mengadu pada Yang Esa. Allah maha mendengan dan maha pengasih, datang pula Herawati membantu mengadun emak bersama ku. Alhamdulillah. Syukur padaMu ya Allah Engkau titipkan aku pembantu yang meringankan sedikit tanggunganku, menjaga dan merawat orang yang amat ku kasihi, orang yang banyak berjasa menjadikan aku dapat menjalani kehidupan sebaiknya, alhamdulillah aku amat berterima kasih dan bersyukur adanya. Malangnya Wati juga tidak lama, cukup 2 tahun (2020) dia juga mohon untuk kemali ke kampungnya di Bandung. Aku pasrah, tidak boleh memaksanya dan tidak lagi dapat memujuknya kerana emaknya juga diserang stroke.

Keadaan menjadi semakin rumit, dan semakin sukar. Zaman pendamik covid 19 pintu sempadan ditutup jadi akau tidak lagi dapat mencari pembantu terus dari Indon. Maka ligatlah kami menjari pembantu yang masih ada di Malaysia. Tambahan lagi untuk menjaga orang tua sakit tak ramai pembantu yang sanggup. Akhirnya melalui agen di Johor, kami dapat seorang pembantu dengan bayaran RM7K. Bulan puasa April 2021, datanglah seorang lagi pembantu Musnaini. Kami panggil kak Ani kelahiran dari Acheh. Yang ini kerjanya aduh pening kepala. Tapi mengenangkan perlu bantuan untuk mengurukan emak yang sakit, pejamlah sebelah mata. Bersyukurlah dengan apa yang ada, ini ujian untuk aku. Mudah-mudahan dengan segala kesusahan ini akan gugurlah segala dosaku, insyAllah aamin. Allah maha pengasih dan maha mendengar keluhan isi hati ku yang amat susah menanggung perangai orang gaji yang baru ini. Akhirnya Allah susun aturkan Kak Ani minta balik ke Acheh dalan bulan puasa 2022. Aku memang akan susah dengan ketiadaan pembantu, tapi aku rasa lega kerana kak  Ani banyak buat perangai dan banyak karenah. Aku pun pening kepala dan tidak senang hati, dengan perangai dia, serabut fikiran. Mana emak sakit, pembantu pula banyak akal, jadi bila dia minta nak balik aku amat bersyukur. Halus aturan Allah menguruskan kehidupanku ini, syukur alhamdulillah. Engkau maha mendengar bisikan hati hambaMu yang dhaif dalam kesusahan ini, alhamdulillah.

Puaslah aku mengadu mohon kepada Allah. Mohon diberikan seorang yang dapat membantu, mohon seorang yang tidak memeningkan kepala, mohon bantuan dan takdir yang baik untuk dapat mengadun emak yang sudah semakin tidak bermaya. Alhamdulillah bulan ogos 2022, Allah kurniakan seorang pembantu lagi Puteri yang kami panggi Put. Dia masih muda cepat belajar dan kurang karenah, tak banyak akal sangat dalam mengendalikan kerja-kerja menjaga emak dan membant kerja-kerja rumah. Ya Allah semoga Engkau permudahkan segala urusan ku selagi emak masih ada bersama ku. Hanya padaMu tempat aku berserah dan hanya padaMu tempat aku memohon agar mendapat petunjuk dan hidayah Mu ya Allah ya Rahiim ya Rahman. Aku bersyukur dengan segala nikmatMu, Engkau maha pemurah cuma aku saja yang kurang bersyukur. Lailaha illa anta subhaa nakainnii kun tuminadhoo limiiin.