Sunday, September 18, 2022

KEBUN YANG DITINGGALKAN

Lebih kurang 20 tahun yang lalu masih kekal dalam ingatan papa mencari tanah kebun untuk kami. Puas dicari di Bukit Wang, di Perik, di Kuala Nerang, di Kampung Moktan dan banyak lagi. Setiap petang selepas balik kerja papa bawa mama pergi tinjau tanah-tanah yang dikatakan orang nak jual. Boleh dikatakan setiap hari masuk hutan, hampir senja baru balik. Masa yang ada pun tak banyak, cuma pergi selepas asar dan balik sebelum maghrib.

Papa mengidamkan tanah yang ada sungai. Selain buat dusun boleh juga dijadikan tempat berekreasi anak beranak bila masa terluang. Syarat itu menjadikan kami tak banyak pilihan. Ada tanah dusun tak ada sungai. Ada tanah ada sungai tapi terlalu dalam sungainya. Ada tanah pula sungainya dalam kebun getah. Ada tanah ada sungai tapi jalan terputus dek derasnya laluan sungai di situ. Namun aturan Allah sangat halus, kami bersyukur ditakdirkan membeli sekeping tanah dusun di Kampung Pasir Putih, Tualak, berhampiran Puncak Janing Kuala Nerang. Dusun itu ada laluan air sungai dalam kebun. Pokok buah tak banyak, ada langsat tua dan ada dua tiga pokok durian tua. Tanah pun tak besar sangat lebih kurang 5 relung. Alhamdulillah. Kami sungguh amat bersyukur ya Allah yang maha pengasih lagi mah pemurah.

Kami pun setiap minggu berada di kebun. Menebang, menebas, membuat pagar, buat rumah dan buat sistem air paip dari bukit. Sambil itu kami tanam pokok dokong, pokok durian dan macam-macam lagi pokok exotik yang kami suka. Banyak modal telah dilaburkan untuk minat yang digemari itu. Kami perbaik jalan supaya mudah laluan ke kebun. Pokok buah semakin subur membesar. Rumah pun dah ada api letrik dibantu seorang kawan yang memudahkan urusannya.

Kemudian kami ada seorang pembantu Pak Broheng dari Kampung Bukit, Bayas, Pattani. Dia ditemani isteri dan anak perempuannya Soraya. Dusun kami jadi semakin cantik dan menyenangkan. Kami terus mengusahan mana yang patut. Malangnya selepas pokok dokong dah hampir berbuah Pak Heng balik kampungnya. Kami pun sudah semakin sibuk dengan urusan kerja pula. 

Bila tiba musim buah, dokong berbuah lebat, berputik, kemudian berkembang menghijau dan bertukar menjadi sedikit kekuningan apabila hampir masak. Kami berkira-kira minggu seterusnya kami dapat menuai hasil usaha kami selama ini. Dengan penuh bersemangat minggu berikutnya kami membawa segala peralatan untuk memetik buah dokong yang banyak itu. Masya Allah hanya Tuhan saja yang tahu segala kejadian yang berlaku dan segala yang telah ditakdirkan untuk kami lalui. Sampai di kebun lemah longlai kaki, tak bermaya lagi nak menapak. Tiada kata yang dapat dikeluarkan. Semua kami terduduk kecewa, sedih dan sayu. Buah dokong yang begitu banyak sebiji pun tiada lagi di pokok. Alangkah sedihnya kami. Sampainya hati, tergamaknya hati, orang yang dipanggil manusia, sedikit pung tidak berperasaan dan sedikit pung tidak berhati perut. Sanggupnya mereka mengaut segala hasil yang diusahakan dengan titik peluh dan wang ringgit yang tak terbilang jumlahnya. Tergamaknya mereka, tergamaknya mereka, manusia apakah mereka, sebiji pun tak ditinggalkan untuk dirasa oleh tuan yang mengusahakan, Masya Allah tabarokallah.

Selepas itu kebun  kami tinggalkan begitu saja. Tak ada perasaan untuk menjenguknya lagi. Tidak kami kunjungi. Tidak kami tanya lagi. merajuk hati dengan orang kawasan itu. Tak boleh dibuat kawan, tak boleh dikira sama, tidak kira haram halal, ikut nafsu serakahnya saja. Maka terbiarlah ia. Kami selalu iklan untuk dijual tapi selalu tak jadi, tiada siapa yang sanggup beli. Kami cuma nak balik kos usaha kami yang beratus ribu telah dicurah di situ, tapi malangnya Tuhan tak bukakan rezeki. Maka terbiarlah ia berpuluh tahun menjadi tinggalan. Semoga Allah gantikan rezeki yang lebih baik untuk segala penat lelah kami. Allah maha pengasih semoga aniaya kami digantikan afiah untuk kami insyaAllah aamiin.

No comments:

Post a Comment