Saturday, April 11, 2009

Refleksi 1

Lawatan ke Jepun

14th MARCH 09
Sampai di Nagoya pukul 8.00 pagi waktu Jepun. Kelihatan hujan di landasan dari kapal terbang. Kapal terbang bergerak sepanjang landasan bersebelah laut yang biru, nampak sangat cantik. Urusan imigresen agak makan masa dengan pelbagai soalan – nampak sangat ketat untuk orang luar masuk, tambahan pelawat dari negara Dunia Ketiga. Selesai imigresen, keluar saja dari arrival hall sudah nampak Angah tersenyum lebar menunggu. Lega rasa hati dan sangat gembira kerana sangat rindu. Kami minum kopi di Starbuck Airport dan makan bihun yang angah masak – sedap juga sebab dalam flight muslim food yang disajikan langsung tak sedap dan tak selera nak jamah – menu yang diber bihun kuah kacang yang sangat pelik rasanya.

Lepas minum kami naik train, kemudian change train di satu stesen dan akhirnya kami terus ke Takashi. Dari interchange itu kami ambil masa lebih kurang 45 minit lagi perjalanan dengan tren. Sampai di Takashi hujan lebat menyambut kami, dan angin pula sangat kuat. Basah kuyub jugalah kami semasa berjalan menuju ke kereta. Naik kereta lebih kurang 10 minit kami sudah sampai ke rumah angah – Erumi Hall Sanbongi Cho. Lepas makan kami berehat, dan tidur sekejap untuk menghilangkan lelah dan lenguh-lenguh badan. Perjalanan yang jauh itu agak melelahkan kami.

Selepas bangun, dan solat asar, petang itu kami keluar pergi seight-seeing melawat dan melihat-lihat ke universiti angah Universiti Toyohashi, Suasana petang itu sangat sejuk kerana angin sangat kuat. Tak pernah aku lihat di Malaysia angin yang sekuat itu, sampai basikal semua jatuh rebah menimpa satu sama lain. Dulu hanya aku pernah lihat di televisyen angin yang sekuat itu, tapi aku macam tak percaya, dan tergelak-gelak melihatnya. Memang terasa sangat pelik, tapi ini memang terjadi di depan mata sendiri. Masha Allah Engkau maha berkuasa atas segalanya. Alhamdulillah syukur Ya Allah Engkau aturkan perjalan hidup kami dapat juga melawat Universiti tempat anak kesayanganku menuntut ilmu. Nabi pernah bersabda tuntutlah ilmu hingga ke negeri China, dan angah Engkau hantarkan ke negeri matahari terbit menimba ilmu di Jepun ini. Tidak pernah kubayangkan tapi Engkau Ya Allah Maha Halus mengaturkan segalanya. Aku amat bersyukur, subhanallah, alhamdulillah.

Dulu semasa remaja aku selalu mengidamkan untuk berkunjung ke luar negara. Tapi tidak pernah ada dalam kotak fikiranku, anak kampung seperti aku, untuk dapat peluang belajar ke luar negara seperti yang Kau aturkan kepada anak-anakku yang tercinta. Takdir yang Kau tentukan tiada siapa dapat menelah, dan tiada siapa dapat menghitung. Begitulah segalanya ditakdirkan dengan rahim dan rahmatMu jua. Aku amat bersyukur, Ya Robb yang maha pengasih lagi maha mengasihani, maha mengetahi lagi maha besar pengetahuanMu. Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah, dan Nabi Mohamad pesuruhNya.

Aku tenggelam dalam lamunan sendiri buat seketika. Tersedar dari lamunan, aku lihat di sekitar kawasan universiti  pokok-pokok semuanya tidak berdaun. Ketika ini hujung musim sejuk dan hampir masuk ke musim bunga yang dinantikan oleh semua orang di sini.  Semasa peralihan musim ini, cuaca jadi  tidak menentu, kadang-kadang hujan kadang-kadang panas. Kadang-kadang pula didatangi angin yang kuat.

Apabila hujan reda kami jalan-jalan di sekitar Fakulti Kejuruteraan. Macam biasalah bangunan Universiti terasakan kesunyian kerana semua orang bercuti panjang. Tambahan pula kami berada di situ selepas waktu pejabat. Maka tiadalah kelibat sesiapa pun di situ. Hanya pengawal saja yang setia bertugas dengan penuh dedikasi, kerana orang Jepun memang bekerja dengan rasa suka akan pekerjaan mereka. Dan mereka menamakan pekerjaan mereka dengan nama yang boleh  menaikkan semagat kerja dan meningkatkan harga diri dan martabat pekerjaan yang disandang.  Ini istimewanya orang-orang Jepun ni.

Selesai melihat-lihat universiti, kami beredar balik ke rumah. Kami melalui kawasan kebun-kebun sayuran yang baru ditanam, seluas mata memandang. Ada juga tanaman yang sedang dituai, kelihatan lori sedang memungut kobis-kobis yang sudah dituai. Menurut angah hasil-hasil tanaman dipasarkan kepada peniaga-peniaga di kawasan itu juga. Jadi tanaman akan sentiasa segar kerana tidak melalui perjalanan yang jauh yang boleh melayukan sayuran. Begitulah lain padang lain belalang, itulah pengalaman

Sampai di rumah hari sudah malam. Kami tak kemana lagi kerana di Jepun ini tiada night life. Jadi kami terus merehatkan diri mengumpulkan tenaga untuk hari esok pula.