Saturday, May 29, 2021

CERITA MAK AYAH

 

MAK AYAH 1 

Selepas ayah meninggal, tinggal emak sorang diri di rumah tinggalan ayah. Dia tidak mahu ke rumah siapa-siapa. Ada rumah anak lelakinya di sebelah rumah, itulah tempat dia bergantung harap. Makan minum dihantar ke rumahnya, namun semua urusan diri dibuatnya sendiri. Dia rasa sangat mampu, tapi dia tidak berupaya dan tidak mampu menguruskan rumah besarnya itu. Tenaganya sudah tiadak mengizinkannya. 

Tidak berapa lama dia semakin uzur. Tenaga semakin lemah, dan mata pun tak nampak. Dia enggan tinggal dengan enak lelakinya itu. Mereka pun barang kali tidak bersungguh mengajak emak tinggal bersama mereka. Akhirnya dibawalah emak ke rumah anak perempuannya di bandar. Ada seorang lagi anak lelaki emak yang tingggal tidak jauh dari situ.  Tapi tidak pernah dibawa emak ke rumahnya. 

Kalau difikir secara logik ada tiga orang anak, sudah pasti boleh bergilir-gilir menjaga emak. Tapi tinggal anak perempuan seorang saja yang menjaga emak, sedangkan dia masih kerja dan tiada orang gaji pula untuk urus emak yang tidak berdaya bergerak lagi. Akhirnya si anak menghantar emak untuk dijaga di Pusat Rawatan, kerana dapat membantunya memberikan keselesaan kepada emak. Daripada ditinggalkan seorang diri di rumah, lebih baik berada di Pusat Rawatan kerana makan minum, pakai dan keselamatan terjaga.

Anak rasa dia telah bagi yang terbaik kepada emaknya. Emak rasa bagaimana walluaklam bissawab. Hanya Allah saja yang maha mengetahui tentang segalanya.

EMAK AYAH 2

Ayah telah diserang stroke, dia tidak boleh berdiri, tidak mampu bangun atau pun berjalan. Sebelah bandannya telah lumpuh. Dia hanya tinggal dengan emak di rumahnya semua anak telah berumah sendiri. Ayah dibawa ke rumah anaknya yang perempuan. Anak lelaki yang tinggal berhampiran, setiap hari membantu menguruskan mandi di waktu pagi dan waktu malamnya. Dia pergi bermalam di rumah kakaknya, dan pulang bekerja di waktu paginya selepas membersihkan ayah. 

Selepas beberapa bulan begitu, dengan persetujuan semua, ayah dibawa balik ke rumahnya sendiri. Dia dijaga pula oleh abang yang sulung pula. Abang berpindah ke rumah ayah bersama keluarganya. Dua orang anaknya yang masih belajar, bergilir-gilir, membantu apa yang perlu. Ada seorang pembantu datang mandikan di waktu paginya. Maka ayah pun rasa selesa di rumahnya sendiri, apatah lagi emak juga rasa lebih tenang dan betah dengan environmen yang biasa sudah sekianlama. Tinggal dengan anak menantu dan cucu-cucunya sudah tentulah lebih bermakna. Sayang tak berapa lama abang surrender. Dia minta adik-adiknya pula menjaga ayahnya kembali. Dengan memberikan short notis, dia berpindah balik ke rumahnya, tinggallah ayah yang sakit ditemani emak sorang diri. Konon cerita abang kata, anaknya pun mahukan life mereka sendiri, dan anak-anaknya sudah terasa stress duduk di rumah tok yang sakit. Sebab itulah dia terpaksa pindah balik ke rumahnya. Adik-adik di KL buntu sebab PKP membantutkan pergerakan. Mereka tidak boleh balik sewenangnya. Mesti minta kebenaran polis untuk rentas negeri, dengan segala susah payahnya.

Sementara itu emak yang hiba terus menangis rasa sedih dan kecil hati. Ayah sudah pastilah lebih lagi, sebab dia yang sakit, dia yang tidak bermaya sudah sekian lamanya. Subhaa nallah maha suci Allah, Engkau maha mengetahui tentang segalanya Ya Allah Ya Rahman Ya Rahiim.

EMAK AYAH 3

Emak sudah sendirian ditinggalkan ayah sudah lebih 10 tahun. Oleh kerana anak masih kerja emak tinggal dengan bibik, tapi 2 tahun saja. Kemudian tiada lagi bibik, tapi mak ditunggui oleh peneman pada waktu malamnya, silih berganti, sorang lepas sorang hingga genap 3 orang. Malangnya lepas itu emak diserang stroke, sebelah badannya lumpuh, hanya anggota sebelah kanan saja yang boleh bergerak. Emak masih boleh makan sendiri sendiri dengan tangan kananya alhamdulillah. Oleh kerana anak mak sudah tidak bekerja, mak dibawa balik ke rumah anaknya, anaknya yang jaga sendiri

Tak berapa lama anak mak cari bibik buat pembantu. Anak yang jaga dibantu oleh bibik silih berganti dengan bayaran yang agak tinggi, tapi dia tiada pilihan. Dengan senang hati dia ada bibik. Hal ehwal mak dijaga oleh bibik dalam pengawasan anaknya. Basuh berak kencing dan mandi di katil semua dibuat oleh bibik silih berganti. Selepas itu mak tidak boleh makan macam biasa lagi, dia minum susu saja ikut tiub. Itu pun dibantu oleh bibik juga, dengan pengawasan anaknya.

Dengan itu kesihatan emak terurus, kebersihan emak terjaga dan emak ada peneman bila  anak mak sibuk. Walaupun gaji bibik tinggi, susu mak mahal, pampers mak juga banyak belanja, tapi semuanya anak mak uruskan dengan baik. Emak nampak sihat, bersih dan terurus walaupun mak sudah tidak begitu baik ingatanya. Alhamdulillah mak masih merasakan kehidupan di tengah hilai tawa anak menantu dan hiruk pikuk, jeritan dan tangisan anak cucu. Emak terasa cukup bahagia bila anak cucu pulang berkumpul, subhanallah alhamdulillah.

EMAK AYAH 4 

Emak ada dua orang anak perempuan. Selepas ayah meninggal dia duduk dengan anak bongsunya. Emak kelihatan sungguh gembira. Pagi dibawa keluar makan pagi oleh anaknya, atau kadang-kadang makan sarapan di rumah saja. Kadang-kadang dibawa keluar makan tengah hari di luar, atau sekadar jalan-jalan ambil angin saja. 

Anak mak tidaklah terpelajar, suri rumah dan suaminya tidaklah kerja besar, gaji kecil saja tapi emak hidup sempurna dengan mereka anak beranak. Cucu mak tiga orang turut menghibur mak di akhir hayatnya. Emak sihat saja tapi selalu letih kerana kencing manisnya tinggi. Tapi mak tak risau sebab makan pakai dan dirinya anaknya yang uruskan. Dia kuat dia bangun, buat apa yang dia suka, tak kuat dia tidur saja, bangun bila lapar dan untuk sembahyang. 

Begitulah rutin kehidupan emak sehinggalah mak menghembuskan nafanya yang terakhir di rumah anaknya. Pemergian mak diiringi kasih sayang anak cucu yang mengasihinya. Alangkah bahagianya mak di akhir hayatnya dia dibelai dan dijaga anaknya, dengan penuh kasih sayang. Alhamdulillah syukur dengan takdir dan ketentuan Tuhan untuk dirinya. Wallahu aklam.

EMAK AYAH 5 

Emak tinggal dengan ayah di usia tuanya. Mereka tiada anak hasil perkahwinan selama bertahun-tahun. Tapi mereka ambil seorang anak Cina dan memeliharanya sebagai anak angkat dengan penuh kasih sayang. Setelah mereka tidak kuat mereka selalu diajak untuk tinggal di rumah anak angkatnya itu. Tapi mereka tetap tidak mahu menyusahkan anaknya.

Kemudian emak jatuh sakit diserang stroke. Emak tak boleh bergerak apatah lagi bangun atau berjalan. Emak dibawa oleh anak angkatnya untuk rawatan dan tinggal di rumahnya. Kalau diikutkan dia cuma anak angkat tapi dia menjaga emaknya itu dengan baik dan sempurna. Alhamdulillah bahagialah emak dirumah anaknya dijaga dan dipelihara dengan baik sehingga ke akhir hayatnya. Syukur teramat sangat, alhamdulillah, wallahu aklam.




 

Wednesday, May 5, 2021

2020 Vs 2021

 

Segala puji bagiMu ya Allah Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang. Selawat dan salam kepada KekasihMu Ya Allah Nabi junjungan besar, Nabi Mohamad saw. Sesungguhnya aku redha atas segala ketentuan yang telah Engkau aturkan Ya Allah dan aku redha atas apa yang Engkau takdir bagi kami hamba yang lemah, hamba yang sangat dhaif . Tiada daya upaya kami untuk berbuat apa pun kebaikan melainkan dengan keizinan Mu, dan tiada daya upaya kami untuk berbuat sebarang kejahatan melainkan dengan keizinanMu jua adanya. Aku redha ya Allah, bantulah aku dengan rahim dan rahmat Mu ya Allah. 

Ya Allah bagaimana harus aku katakan, tahun ini gelombang baru covid 19 melanda untuk kesekian' kalinya. Entah bagaimana, kurang jaga SOP kah, kurang pekakah, atau kurang apa? Dengan tiba-tiba jumlah pesakit meningkat di seluruh negara. Aku pun jadi pening. Rasanya dah lebih setahun aku tidak ke mana-mana, duduk saja di rumah. Rasanya dah setahun aku tak ke kelas-kelas pengajian sepenuhnya. Kalau pergi pun duduk jarak-jarak, pakai pelitup muka dan pakai pembersih tangan. Dah setahun jugalah aku tidak pergi jalan-jalan ke mana-mana. Biasa saja aku rasa, tak ada apa pun masalah duduk di rumah. Sesekali kalau perlu keluar, pergi  ke kedai saja mencari barang keperluan apa yang perlu.

Tak tau pula di mana silapnya, kita dah ambil semua langkah berjaga-jaga tapi, jumlah kes tetap mencanak tinggi setiap hari. Tahun lepas menghadapi bulan puasa kami semuanya duduk di rumah, sembahyang tarawih di rumah, berbuka di rumah dan solat sunat aidil fitri juga di rumah. Waktu itu kami semua seolah-olah jadi panik menghadapi suasana norma baru berkaitan covid 19. Semua jadi bingung dan tak tau untuk bertindak bagaimana. Tapi kehidupan tetap terus berjalan. Dalam diam kami berdoa, 'Ya Allah semoga tahun hadapan kami boleh beraya bersama-sama anak-anak cucu, insyaAllah.'

Namun tahun ini tahun 2021, suasana masih seperti biasa anak cucu masih tak boleh balik juga. Ya Allah rindunya kepada anak cucu yang telah lama tak dapat bersama kami di hari raya. Ya Allah, Engkau pasti tahu bagaimnan perasaan hati kami, kerana Engkau maha mengetahui walaupun cuma di hati kecil kami. Ya Allah ampuni dosa kami, kami banyak dosa ya Allah, bebaskan kami daripada wabak yang ganas ini ya Allah. Seburuk mana pun kami, seteruk mana pun jua tingkah kami, amapuni kami ya Allah ya Rahim, ya Razzak. Jangan Engkau uji kami dengan perkara yang tak tertanggung oleh kami ya Allah. 

Kami sedar Engkau sedang mengajar kami. Ya Allah Engkau sedang menjadikan kami semakin menjarak dengan dunia yang bakal kami tinggalkan tidak lama lagi. Kami redha ya Allah kerana Engkau sedang mendidik jiwa-jiwa kami supaya semakin hari semakin kami boleh menerima dan boleh bersenang hati dengan suasana  sunyi, kerana sesungguhnya berada di alam kubur itu amat sunyi sesunyinya. Sayu di hati ini mengenangkan hal itu, namun ia  menjadi berkurang bila mengenangkan hukum alam yang yang Allah aturkan.

Ya Allah tahun ini kami masih dalam PKP tapi bezanya kini kami boleh dibuat di surau dan di masjid. Di masjid jumlah jemaah yang dibenarkan ialah 50 orang sahaja, manakala di surau cuma dihadkan 20 orang jemaah.  Memang kami meraikan kejayaan menunaikan puasa sebulan Bulan Ramadhan, tapi Allah masih belum beri keizinan kepada kami, Allah masih belum mengangkat wabak ganas yang di turunkan kepada kami. Ya Allah kami mohon ampun, kami banyak dosa, ampuni kami, hapuskan wabak ini dari kami ya Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang, ya Allah ya Zaljalaaliwalikrom.