Wednesday, April 10, 2013

HARAPAN NAN MENGGUNUNG


Sudah berkali-kali dia muncul di hadapan pejabat. Petugas kaunter cepat-cepat memberitahu akan kehadirannya. Terasa keronkong tersekat. Entah apa pulalah yang bakal dipinta. Entah apa pulalah hajat besarnya yang bakal dipohon. Terkadang terasa mahu melarikan diri saja, supaya tidak perlu berhadapan dengan waris ini. Tapi dia jenis orang yang tidak pernah hilang semangat, apatah lagi boleh bertputus asa, tidak sama sekali. Beritahulah apa pun yang sebenarnya; yang fakta, dan yang jelas dan nyata, dia akan tetap dengan permintaannya, dia tetap dengan pendiriannya jua.

Mengenang segala permintaanya, memang terasa dia seorang yang sangat aneh dan ganjil. Mula-mula minta anaknya dapat diberi kebenaran untuk mengambil peperiksaan bagi mata pelajaran Bahasa Mandrin  untuk PMR. Kalau dia minta anaknya mengambil peperiksaan bagi mata pelajaran Bahasa Tamil memang tidak ganjil, dan suatu yang memang biasa. Puas dinasihat, tapi jawapannya tetap sama, tetap dengan permintaannya jua. Akhirnya bila keputusan PMR keluar, anaknya gagal Bahasa Mandrin itu. Tiadalah gunanya lagi kerana gagallah anaknya dalam PMR itu.

Gambar hiasan saja
Kini, sudah sekian kali datangnya, membawa hajat minta anaknya dimasukkan ke kelas aliran sains. Anaknya mendapat A dalam Sains. Berkali-kali sudah dijelaskan, berkali-kali sudah diberitahu, semua pelajar dalam kelas aliran sains itu mendapat 6A ke atas, sedangkan anaknya cuma mendapat 1A sahaja. Dicadangkan kepadanya, kalau tetap mahukan aliran sains, mungkin di sekolah lain boleh diberi pertimbangan, kerana pelajar yang mendapat 6A ke atas sangat kurang. Tapi masalahnya, dia tidak mahu meninggalkan sekolah ini. Apa lagilah yang dia mahu, anaknya sudah pun bersetuju untuk duduk di kelas sains sosial. 

Merenung wajahnya yang kemerahan aku pun rasa serba salah. Apalah pula yang tidak kena sehingga dia datang lagi, dan apalah pula isu yang dibawa pada hari ini, setelah berkali-kali bertandang ke pejabatku ini.. Selepas mendengar dengan sabar, dan memberi perhatian dengan tenang, barulah dapat kufahami tingkah lakunya yang selama ini dirasakan pelik. Kasihan... alangkah tersentuhnya hatiku ini. Alangkah sebak di hati ini. Mendengar ceritanya, tergenang air mata, tidak dapat ditahan lagi. 

Rupanya sangat tinggilah harapannya, dan sangat besarlah cita-citanya terhadap anak itu. Dia sudah tiada apa-apa lagi selain anaknya yang diharapkan dapat berjaya dalam pelajaran dan dan dapat mengubah nasibnya dan nasib keluarganya, keluar dari kepompong yang perit ini, kerana ditipu adik kandungnya sendiri. Dia bekerja sangat kuat, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, dan bekerja siang dan malam untuk beri pelajaran kepada anaknya. Harapannya tidak lain dan tidak bukan supaya anaknya boleh masuk ke universiti, boleh menjawat jawatan tinggi dan boleh bekerja menyara diri. Selagi kuderatnya ada dia akan bekerja supaya anaknya tidak susah, kerana dia rasa sangat bersalah kepada anak-anaknya, yang terpaksa hidup susah kerana menjadi mangsa ditipu keluarga sendiri.

Aduhai.... sungguh kasihan. Barangkali dia sudah tiada siapa-siapa untuk mengadu nasib, jadi pada hari ini dia mencurahkah segala isi hatinya seikhlas hati. Barangkali hari ini segala yang terbuku di hati telah terpancul keluar, barangkali juga hari ini segala penanggungannya  terlerai dan meringankan bebanannya selama ini. Patutlah selama ini harapannya menggunung tinggi.......



Friday, April 5, 2013

YANG TINGGAL DAN YANG PERGI


Alangkah mudahnya jika terbuka hati tinggal bersama kami
 Seawal jam 7 pagi kami sudah bertolak ke Lapanagn Terbang Bayan Lepas. Penat memanglah terasa tapi dek tanggung jawab mesti digagahi jua. Pagi ini bibik kami barang kali sedang bergembira di hatinya. Barangkali tidak lena tidur, mengenang emak ayah dan anak tercinta yang sudah sekian lama ditinggalkan. Barangkali juga Kalau punya sayap sudah terbang tinggi melayang ke kampung halamannya nun jauh di seberang lautan. Begitulah barangkali perasaanya yang dapat dibayangkan, bagi yang bakal berangkat pergi.

Tapi perasaan kita bagaimanalah pula? Jauh di sudut hati dapat dibayangkan, tingallah seorang ibu tua, tinggallah dia dengan kehidupannya seharian sendiri-sendiri. Puas dipujuk, puas dirisik, dan puas dicari, tapi siapa pun tidak ada yang sanggup, tidak ada yang mahu, apatah lagi menerima tawaran. Kalau dilihat memang tiada kerja yang dibuat, dan  tiada pendapatan yang dapat. Tapi menjadi pembantu di rumah orang, biar susah tak makan, biarlah ...... Asal tidak menjadi "hamba orang", kononnya.

Di manakah silapnya kita? Kalaulah dapat dibetulkan persepsi kita, maka tidaklah kita terpaksa bergantung kepada orang luar. Tidaklah kita terbelenggu dengan sindrom 'bibik' yang tanpa kita sedari tidak boleh tidak, amat diperlukan.

Monday, April 1, 2013

MEMBURU KEMANISAN IMAN



TAZKIRAH PAGI, 28 MAC 2013
OLEH PN RAUDHAH ABDULLAH

Menurut ulamak,  iman manusia hanyalah senipis kulit bawang. Ia boleh bertambah dan juga boleh berkurang ikut suasana dan keadaan. Iman boleh ditingkatkan melalui berzikir dan mengingat Allah. Juga iman dapat ditambah jika kita benar-benar mahu memburu meningkatkan keimananan. Keimanan yang bertambah akan menjadikan kita dapat merasakan manisnya beriman kepada Allah. Seorang yang ingin merasai kemanisan iman, di samping bersungguh mengingat dan mencintai Allah,  hendaklah berusaha  mengingat dua perkara dan melupakan dua perkara seperti berikut iaitu,
  1. Ingat kebaikan orang kepada kita - orang yang menolong kita,  yang memberi nasihat, menderma wang ringgit, menyumbang tenaga dan apa saja yang diberi orang untuk kebaikan kita, hendaklah selalu diingat-ingat supaya kita boleh memaafkan mereka dan sentiasa mendoakan mereka.
  2. Ingat kesalahan kita kepada orang - apa saja kesalahan sama ada kecil atau besar, perlu sentiasa diingat supaya kita boleh meminta maaf kepada mereka itu. Yang paling perlu ialah mengingat kesalahan kita kepada Allah supaya kita insaf dan takut kepada Allah.
Gambar hiasan sahaja
 Di samping itu kita akan terasa kemanisan iman jika kita melupkan dua perkara seperti berikut;
  1. Lupakan kebaikan kita kepada orang -  jangan sekali-kali mengungkit, dan mengenang apabila kita membuat kebaikan kepada orang lain, cuba rasakan seolah-olah kita tidak pernah berbuat baik kepadanya, kita akan selamat daripada perasaan ujub, riyak dan bangga diri.
  2. Lupakan kejahatan orang kepada kita - anggaplah tiada siapa yang bersalah dengan kita, supaya dapat mengawal rasa marah dan dendam. Jika kita disakiti anggaplah kita layak untuk disakiti, dan segala ujian dan kesusahan semuanya daripada Allah untuk 'memujuk' manusia kembali kepadaNya.
Sahabat handai menambahkan kemanisan hidup membawa kepada kemanisan iman

JURANG API NERAKA


TAZKIRAH PAGI, 27 MAC 2013
OLEH USTAZAH PAZIAH SAAD

HADITH KESEMBILAN - BETAPA DALAMNYA JURANG API NERAKA
Pengajaran;
  1. Kita tidak dapat menghitung dalamnya jurang api neraka, yang ditempuhi oleh perjalanan kecepatan batu besar yang jatuh dan memakan masa tujuh puluh tahun lamanya untuk sampai jatuh ke dasarnya.
  2. Jurang yang teramat dalam itu, dipenuhi dengan bermacam-macam siksaan.
  3. Sampai saatnya pintu neraka akan ditutup serapat-rapatnya, dan segala penghuninya akan terus menerima siksaan demi siksaan dengan tiada kesudahannya.
Nabi Mohamad saw pernah bersabda, Malaikat Jibril mengatakan. " Demi Allah yang mengutusmu dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa nescaya akan terbakar orang yang berada di hujung timur kerana bersangatan panasnya (tersangat panas api neraka). Neraka jahanam itu sangat dalam dan perhiasannya adalah besi, minumannya adalah air panas campur nanah dan pakaiannya adalah potongan-potongan api."

Rasulullah  saw dalam wasiat baginda menyebut antara penghuni neraka ialah seperti berikut;
  1. Orang yang lemah pemikiran dan tidak suka berfikir, jadi dia gagal bertindak mengikut pertimbangan yang wajar, dan hanya menurut kehendak dan perbuatan orang lain.
  2. Pemalas yang tidak mahu bekerja  bagi mencari nafkah hidup dirinya serta keluarga, suka mengharapkan ihsan orang lain dan mencari jalan mendapat keuntungan dengan mudah.
  3. Pengkhianat yang tamak hingga sanggup menikam sesiapa saja dari belakang, tanpa mengira masa, tempat dan siapa yang menjadi mangsanya, demi keuntungan sendiri.
  4. Tangkai jering atau mereka yang sangat bakhil dengan harta dan kesenangan, seolah-olah diperolehi dengan tanga mereka sendiri.
  5. Orang yang suka melontarkan kata-kata nesta dan makian kepada orang lain.
Marilah kita jauhi golongan yang disebutkan oleh Nabi saw dan sama-samalah kita memohon hidayah Allah, agar kita mendapat pertolonganNya di hari akhirat nanti.

HADITH KESEPULUH, PENGHUNI SYURGA DAN NERAKA
Pengajaran;

Nabi bersabda, "Aku melihat ke dalam syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah daripada kalangan orang-orang yang faqir, dan aku melihat ke dalam neraka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah daripada golongan perempuan"

Mari kita lihat siapakah yang dijanjikan Allah akan syurgaNya, Di antara ciri-ciri wanita syurga adalah seperti berikut;
  1. Bertaqwa
  2. Beriman kepada Allah, Maklaikat, Kitab, Rasul, Hari Qiamat,  qadha dan Qadar ketentuan Tuhan
  3. Bersaksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Mohamad saw pesuruhNya, mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa dan menunaikan haji
  4. Ihsan iaitu beribadah kpd Allah seolah-olah kita melihatNya, dan mengetahui Allah melihat diri kita
  5. Ikhlas  dan bertawakkal kepada Allah, takut kpd azabNya, mengharap rahmatNya, bertaubat kepadaNya, sabar atas segala taqdirNya,dan mensyukuri nikmatNya
  6. Gemar membaca AlQuran, berusaha memahaminya, berzikir mengingat Allah dan berdoa hanya kepada Allah
  7. Mengamalkan suruhan Allah dan menjauhi larangan Allah dalam keluarga dan masyarakat
  8. Berbuat baik kepada tetangga, anak yatim, fakir miskin serta seluruh makhluk
  9. Menyambung tali persaudaraan dengan orang yang memutuskannya dan memaafkan orang yang menzalimi kita
  10. Adil dalam segala perkara
  11. Berinfak baik ketika lapang mahupun ketika sempit
  12.  Menepati janji dan amanah
  13. Berbakti kepada kedua orang tua
  14. Menyambung silaturrahim dengan kaum kerabat, sahabat handai yang jauh dan dekat
Semoga dengan mengenali ahli syurga, dan penghuni syurga Allah, mudah-mudahan kita akan mendapat manafaat daripadanya. Sama-samalah kita memohon hidayah Allah supaya   kita dijauhi daripada balasan api neraka dan ditempat di syurgaNya kelak.

SEBUTIR BINTANG TETAP BERSINAR


PERSARAAN PUAN ARIYATY BASIRON
GURU CEMERLANG BAHASA MELAYU SMKSB
31 MAC 2013

Suasana suram menyelubungi, warga SMK Sultanah Bahiyah pada tengah hari itu. Cuaca memang agak panas tapi ternyata kesuramannya. Majlis seperti biasa dirancang dengan tetili dan meriah. Tidak terdaya untuk berucap panjang, dan terasa peti suara lemah tidak bermaya, kerana memang terlalu banyak yang nak diucapkan.Tambah lagi memang sukar menahan sebak yang tersembunyi jauh di sudut hati, tapi dijaga rapi supaya tidak terluahkan. Maka terukirlah senyuman buat mengiringi seorang serikandi, seorang guru berjiwa besar, seorang sahabat setia, seorang peneraju ke arah kecemerlangan, seorang penunjuk jalan kebenaran, seorang tunggak yang bertunjang teguh di belakang tabir pengurusan, untuk apa jua yang dihadapi - susah, senang, derita, sengsara dan gembira atau bahagia.

Tapi Allah sajalah yang maha mengetahui, betapa sayunya melepaskan seorang yang sangat banyak berkorban, dan tidak pernah meletakkan kepentingan peribadinya di hadapan. Sungguh meruntun perasaan, sungguh tidak terdaya melepaskannya pergi, tapi bersara itu benar, ketentuan Allah jua tidak dapat disangkalkan, benar adanya. Dalam senyuman yang payah itu, tidak terasakan, dan tanpa kusedari, mengalir jua air mata yang halus membasahi pipi, mengiringi pemergiannya itu.

Puan Ariyaty, entah bila akan datang pengganti? Setiap hari, mengajar tanpa henti, membimbing dengan teliti, dan mengasuh tidak terperi. Yang padai menuju kualiti, yang sederhana menapak penuh pasti, yang lemah perhatian diberi. Perjalanannya saban hari, sedikit demi sedikit lama-lama jadi bukit, dan bukitnya emas permata hadiah untuk pelajar berjaya. Kata orang tak kenal maka tak cinta, begitulah dia adanya. Hari ini, tiada lagi suara lantang, memecah suasana. Hari ini sunyi terasa tanpa kehadirannya lagi.

Di mana kan ku cari ganti?  Di mana dapat dicari,  tugas diberi langsung menjadi, yang sukar dilerai, yang tiada menjadi ada, yang salah dibetul, yang kurang diadun, dan istimewanya  belum dipanggil sudah datang, dan belum disuruh sudah buat. Mata melihat yang dekat, hati melihat nun jauh di hadapan, meretasi dan melampaui tembuk sempadan.

Biar sudah tidak bersama lagi, kehadirannya masih tetap terasa sampai bila-bila. Bagai bintang menyinari malam sehingga pagi, begitulah dia di hati kami. Semoga semua sumbangan baktinya akan mendapat balasan yang sebaiknya, dari Allah yang maha esa, yang maha mengasihani, insyaa Allah.