Friday, August 30, 2013

BERAYA DI BRUNEI, BERAYA DI BEKENU


Sungguh tidak pernah diduga, kami beraya di negara Brunei Darussalam. Sebenarnya kami dalam rangka lawatan ke Maktab Pengeran Duli, di Bandar Seri Begawan. Program ini tidak lain sebagai menyahut program penantarabangsaan yang dianjurkan oleh KPM. Tapi ketentuan Yang Maha Esa siapalah yang dapat menjangkakan? Tiada daya upaya kita untuk menentukan kebaikan melainkan Allah jua yang berhak menetukannya. Begitulah yang terjadi dan diaturkan Allah dengan sangat cantik menjadi qadha dan qadar kami.
Sebelum bertolak ke Maktab Pengeran Duli Brunei
Tanpa kami duga Allah menyediakan rezeki untuk kami menjamu selera di Restoran Aneka Rasa, Bandar Seri Begawan. Sebaik selesai lawatan kami dijemput makan tengah hari. Seorang teman kepada ahli rombongan kami, telah bermurah hati, berkenduri untuk dapat kami menikmati jamuan yang sungguh enak sekali, jauh di perantauan. Syukur alhamdulillah, ikatan silaturrahim yang telah sekian lama terjalin, dapat menyalurkan rahmah dan rezeki untuk kami tumpang menikmatinya. Semoga Allah melipatgandakan rezekinya yang sudah melimpah ruah. 

Selepas makan tengah hari, rupanya tidak semuanya  selesai di situ. Kami amat bersyukur dan sungguh rasa terharu apabila diundang pula untuk beraya di rumahnya, tidak jauh dari bandar. Selesai pusing-pusing menikmati panorama di Bandar Seri Begawan yang indah dan mewah itu, kami tiba di rumahnya yang tersergam indah. Bermacam kuih raya yang disajikan, siap dengan ketupat dan rendang sekali. Kami diraikan, seperti hadir di rumah terbuka jamuan hari raya. Suasana syawal masih terasakan dan kami beraya di Brunei tanpa pernah diduga. Begitulah ketentuan Allah adanya.

Mendengar taklimat Pengetua Us Fauze, dalam majlis sambutan
Bersama menikmati jamuan raya deng Pn Rohaya PK SMKB
 Keesokan harinya, mengikut aturcara majlis, kami berkunjung ke Gua Niah Sarawak. Kemudian kami ke SMK Bekenu di Miri. Rupanya lawatan balas kami ke Bekenu telah menjadi sejarah juga. Kami telah diraikan dalam dalam satu lagi majlis sangat bermakna, meriah dan mesra, oleh guru-guru dan Pengurusannya. Menambahkan serinya lagi, kami diraikan dalam Jamuan Hari Raya bersama semua warga Bekenu. Juadah yang disajikan dimasak sendiri oleh guru-guru di Bekenu, sungguh eksklusif. Ketupat rendang memang sudah mesti. Ditambah lagi laksa sarawak, mee kolok, soto makasar, nasi lauk, dan pelbagai jenis kuih muih, biskut raya, kek lapis sarawak, kuih muih tempatan dan pelbagai macam buah-buahan.

Bergambar kenangan dengan Pengetua dan warga SMKB
Begitulah ketentuan yang ditetapkan. Kami beraya di Brunei dan beraya juga di Bekenu. Semoga hubungan dua hala akan meningkatkan lagi silarurrahim antara kedua buah sekolah demi menuju kecemerlangan pendidikan dalam era menuju  trasformasi pendidikan yang diharapkan.

Sedang menunggu bas untuk pulang ditemani Pengetua dll