Monday, April 20, 2020

CUCU TERKANDAS MUSIM PKP




Tanggal 13 Mac hingga 16 Mac 2020, kami menghabiskan masa di pulau peranginan  Pulau Pinang. Kebetulan waktu itu Papa mengikuti kursus perubatan untuk mendapat 20 mata ganjaran bagi memperbaharui  lesen praktis perubatannya. Maka kami bertemu di Hotel Royal Chulan untuk menghabiskan percutian. Waktu ini wabak covid tengah merebak di seluruh negara, kami pun tidak begitu selesa berada di luar bilik hotel, apabila ramai pengunjung berada di lobi. Boleh dikatakan kebanyakan penghuni memakai mask terutamanya semasa di lobi, begitu juga semasa di coffee house. Budak-budak memang suka makan pagi dengan bermacam-macam jenis makanan, makan sampai tak berhenti, masha Allah, syukur pada Allah mereka sihat dan berselera. Nikmat manakah lagi yang kami dustakan, ya Allah ampuni kami ya Allah.



Kami lebih banyak menghabiskan masa di bilik bersama anak cucu yang datang bertandang bersama kami. Pagi-pagi kami menikmati suasana pagi di balkoni, dan melihat sunrise dan kesibukan perahu-perahu dan kapal-kapal di pelabuhan. Pagi-pagi memang terasa sungguh tenang dan bahagia, sambil menyedut udara laut yang nyaman. Berada di Penang kalau tidak ke pantai tidak lengkaplah kunjungan ke Pulau Mutiara itu. Jadi pagi Ahad itu kami ambil peluang ke pantai,  memenuhi pujukan anak cucu yang tak berhenti merengek untuk ke tepi pantai. Kami juga ambil peluang menikmati makanan eksotik, yang lama dah teringin kami nak makan. Setiap malam kami makan cucur udang Penang, cucur udang kegemaran turun temurun yang telah kami nikmati sejak 30 tahun yang lalu. Kami juga makan mee goreng mamak, mihun goreng, kueteau goreng dan tidak ketinggalan nasi kandar juga.




Memang sangat sesuai dengan selera kami, lagi pun kami dah lama tak bercuti dengan abang long yang selalu tak boleh mendapat cuti. Terasa baru saja kami  bercuti bersama anak-anak ke Penang. Masa itu  mereka masih di bangku sekolah, tapi selepad mereka ke universiti, dan bekerja sangat sukar kami menacari masa yang sesuai untuk cuti bersama. Tambahan pula kami ada tanggung jawab yang perlu dibereskan di rumah. Tak sampai hati meninggalkan emak di rumah untuk bercuti dan bersenang-senang.


Selesai urusan hari Ahad 16 Mac, kami meninggalkan Pulau Pinang. Abang Long balik ke KL, Hayyan, Hannah dan Hadeja ikut kami balik ke Alor Setar. Mereka memang selalu bercuti di kampung bersama kami masa musim cuti sekolah. Ali menangis cemburu dan tak mau balik KL. Tapi dia masih belum berdikari, masih tidur dengan emak jadi tak bolehlah ikut tok balik kampung. Dengan berat hati kami semua mengucapkan selamat tinggal dengan harapan akan berjumpa lagi raya nanti insyaAllah.

Tapi siapa tahu kita hanya merancang Allah yang menetukan. Rupanya itu kali terakhir kami berjumpa, kerana mulai 18 Mac 2020, kerajaan telah mengumumkan seluruh rakyat Malaysia dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Maka terkandaslah Hayyan, Hannah, dan Hadeja di Alor Setar bersama kami. Mereka tidak boleh dijemput pulang, dan emak mereka pun tak boleh balik ke kampung. Kasihan Hadeja dia membilang hari namun bila sampai harinya PKP dilanjutkan lagi, dia tidak dapat dijemput oleh maminya. Sesekali dia menangis bila video-call, tapi lama kelamaan dia mula faham, dia terpaksa akur dengan takdir yang ditetapkan Allah untuk semua. Alhamdulillah mereka terkandas dengan kami.

Ya Allah Engkau maha mengetahui, Engkau maha halus pengurusan, Engkau maha pengasih lagi maha penyayang. Allah telah takdirkan mereka berada dengan kami sepanjang PKP ini. Rasanya dengan kami mereka lebih terurus. Barangkali ini yang diaturkan Allah. Engkau telah membantu kami memudahkan segalanya, syukur ya Allah, kami amat bersyukur kepadaMu. Ampuni kami ya Allah, rahmati kami ya Allah dan redhalah ke atas kami ya Allah.








Tuesday, April 14, 2020

LOCKED-DOWN COVID 19


LOCKED-DOWN
1.  18 MAC -  31 MAC 2020
2.  1 APR    -  14 APR  2020
3.  15 APR  -  28 APR 2020

Ya Allah di saat aku menulis ini, Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP telah masuk hari ke-28, dalam PKP fasa kedua. Nanti akan dilanjutkan lagi PKP fasa ketiga pula.  PKP ini dikatakan cukup baik untuk memutuskan jaringan covid 19 daripada terus merebak. Rakyat diarahkan untuk duduk diam di rumah. Jika ada sebarang keperluan untuk membeli barangan keperluan hanya ketua keluarga atau seorang daripada wakil keluarga yang boleh keluar. Mereka yang hendak keluar ke mana saja tujuan penting mesti memakai tutup muka dan mematuhi peraturan jarak sosial yang ditetapkan. Pasaraya dan kedai runcit dibuka. Tapi untuk masuk ke pasaraya perlu diambil langkah keselamatan. Telah dihadkan jumlah pengunjung yang akan masuk untuk membeli barangan. Misalnya Pasaraya Maidin menetapkan masa 30 minit untuk setiap pelanggannya, dan hanya 50 orang saja yang boleh masuk dan mencari dan membeli barang-barang keperluan pada satu-satu ketika. Dan semasa membayar, pelanggan yang berada dalam barisan, perlu beratur dalam jarak 1 meter antara satau sama lain.

Di samping itu, kalau ada keperluan untuk ke bank, pelanggan perlu beratur di luar bank, juga 1 meter antara satu sama lain. Hanya 3 orang pelanggan sahaja dibenarkan pada satu-satu  masa. Pelanggan yang yang menggunakan mesin ATM boleh meminta kebenaran pengawal keselamatan bertugas, mereka tidak perlu beratur jika tiada pelanggan menggunakannya. Sebelum masuk ke bank, pelanggan diminta menggunakan pencuci tangan (hand sanitizer) terlebih dahulu. Setelah selesai urusan juga diberkan pencuci tangan sebelum keluar. Terima kasih kepada petugas yang menjaga keselamatan pelanggan. Alhamdulillah kami rasa agak selamat  dengan langkah-lang keselamatan itu.

Di Farmasi pula sebelum masuk pelanggan diperiksa suhu badan terlebih dahulu oleh anggota RELA yang ditugaskan khas. Kemudian yang sihat dibenarkan masuk. Dimulakan dengan menggunakan pencuci tangan, kemudian mengikut laluan yang ditunjukkan, dan diingatkan supaya jaga jarak1 meter semasa mencari barang dan semasa membuat bayaran di dalam kedai. Keluar dari kedai sebelum balik diarahkan cuci tangan sekali lagi. Alhamdulillah selamat rasanya berurusan semasa PKP ini di farmasi. Alhamdulillah selamat juga rasanya semasa berada di farmasi. Klinik swasta yang beroperasi juga melaksanakan langkah keselamatan. Pesakit akan beratur di luar, diperiksa suhu badan, dan pesakit yang memerlukan rawatan biasa saja yang boleh berjumpa Doktor. Namun pesakit tidak masuk menunggu di dalam klinik, mereka duduk menunggu di koridor klinik dalam jarak 1 meter antara mereka. Jika ada pesakit yang mengalami sakit tekak, batuk dan demam dan ada kontek dengan pesakit covid mereka akan dirujuk ke hospital dengan serta merta untuk saringan covid.

Di jalan raya pula kereta perlu mengikut laluan jalan yang ditetapkan kerana ada antara jalan yang ditutup. Jalan menju ke bandar Alor Setar, banyak yang ditutup. Jadi pengguna yang keluar masa PKP perlu patuh arahan di jalan raya. Oleh kerana tiada pengangkutan awam maka jalan agak lengang. Orang ramai yang keluar hanya seorang saja dalam kenderaan yang dinaiki dan kebanyakanya semu bertopeng muka. Jadi perjalanan ke mana saja destinasi menjadi lebih jauh dan sukar kerana sekatan-sekatan jalan raya yang dibuat untuk menjamin PKP dipatuhi. Tapi yang nampak ketara ramai pengusaha food-panda dan penghantaran makanan segera, di jalan raya kerana perkhidmatan mereka sangat perlu masa PKP ini.

Oleh kerana pergerakan dihadkan maka ada pula penghataran barangan keperluan ke rumah dibuat secara atas talian. Ada penghantaran barangan basah seperti sayuran, ikan dan daging. Ada juga  penghantaran tong gas menggantikan tong gas yang sudah habis gasnya. Pendek kata walaupun PKP tapi rakyat tidaklah mengalami kesukaran untuk membeli barang keperluan dan membuat urusan penting yang perlu. Syaratnya mesti mengikut arahan yang ditetapkan semasa keluar rumah untuk sebarang urusan.

Alhamdulillah walaupun masih terdapat kes-kes baru tapi pesakit yang sembuh menunjukkan angka yang sungguh memberangsangkan iaitu 47.3%,  sehingga telah mendapat pujian dari TV  di Jepun. Beberapa negeri seperti Kedah, Perlis, Wilayah Persekutuan Labuan, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang tidak mempunyai kes-kes baru lagi pada hari ini alhamdulillah, syukur padaMu Ya Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang. Ya Allah tolonglah kami, berilah kesembuhan kepada kami ya Allah, kami pohon ampun atas segala kesalahan kami, sesungguhnya kami ini adalah orang-orang yang zalim. Jika engkau tidak mengampuni kami tiada daya upaya kami untuk berbuat kebaikan atau berbuat kejahatan. Ya Allah kami redha atas segala takdir yang diberikan kepada kami dan bantulah kami untuk keluar dari masalah ini,  ya Allah ya rahiim ya rahmaan, ya zaljalaa liwalikraam.


Monday, April 6, 2020

QURAN TIME MUSAADAH COVID 19 (1)


Lukisan Gambar Hayyan, Di Musim Covid 19 tok wan melukis gambar kembali gambar cucu-cucu

Ya Allah di pagi yang nyaman ini ku panjatkan syukur ke hadhrat Mu. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahiim Ya Zaljalaa liwalikraam. Ya Allah, sesungguhnya  Engkau menjadikan segalanya di muka bumi ciptaan Mu ini berpasang-pasang. Engkau ciptakan langit dan Engkau ciptakan bumi. Diciptakan olehMu bulan dan juga matahari, siang dan malam, lelaki dan perermpuan, api dan air, hidup dan mati, juga qadha dan qadar manusia seluruhnya. Sesungguhnya segalanya berada dalam ilmu dan aturanMu yang maha halus lagi maha bijaksana, Ya Allah yang maha pengasih lagi maha mengasihani. Ya Allah kami amat sedar dan kami amat yakin, 'sesungguhnya tiada daya upaya kami untuk berbuat kejahatan melainkan dengan keizinan Mu dan tiada daya upaya kami untuk berbuat kebaikan melainkan dengan keizinanMu jua ya Allah'. Oleh itu ya Allah kami pohon ampun ya Allah, sesungguhnya kami ini tergolong daripada orang-orang  yang zalim,

Rupanya Tok Wan dah lukis gambar Hannah, dia lupa bila Hannah komplen dia tiada ada gambar lukisan
Dengan kesedaran itu kami redha dengan ketentuanMu Ya Allah, menurunkan Covid 19 ke seluruh alam maya ini, kepada seluruh manusia di alam maya tidak terkecuali bangsa dan keturunan, negara kecil atau besar, maju atau mundur, kulit putih atau hitam, semuanya terkena serangan virus pembawa maut ini, termasuklah negara Malaysia tercinta ini. Nampaknya semua penduduk dunia tidak berupaya berbuat apa-apa lagi melainkan hanya dapat berserah dan mengingatMu, bertawakkal kepadaMu dan bermohon hanya kepadaMu.

Oleh itu di Malaysia ini dalam usaha menangani covid 19, maka media massa turut berperanan besar membantu rakyat mengisi masa dalam menjalani Program Kawalan Pergerakan PKP.. Untuk mengawal virus merebak kerajaan mengenakan PKP bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020, dan kemudian melanjutkannya 1 April hingga 14 April 2020. Dalam jangka masa satu bulan ini maka TV Al-Hijrah mengadakan siaran QURAN TIME setiap hari pada jam 12.00 hingga 1 tengah hari. Diharapkan dengan mengalunkan bacaan ayat suci Al-Quran dan bertadabbur serta mengambil iktibar daripada pesanan Allah ini, akan dapat membantu manusia seluruhnya mendekatkan diri dengan Allah Azzawajal.


Sesungguhnya QURAN TIME telah memilih surah-surah pilihan yang sering dibaca oleh kita semua. Bermula dengan surah  Al-Fatihah, Al-Rahman, Yaasin, Al-Kahfi, Yusuf dan Al-Waqiah. Melalui ummul kitah Al-Fatihah, Allah memberitahu kita Dia Allah Pencipta, yang maha berkuasa lagi maha pengasih. Dan kita manusia adalah hambanya. Maka kita tertakluk atas kekuasaanNya, yang menentukan segalanya. Kita tiada pilihan melainkan menerima ketentuan itu dalam bersyukur dan bermohonlah akan rahmatNya dalam apa jua ketentuanNya. 

Sementara dalam surah Al-Rahman Allah menunjukkan kepada kita nikmat-nikmat yang Allah sediakan kepada kita. Namun berapa ramai antara kita yang benar-benar bersyukur kepada kurniaanNya itu?. Manusia memang selalu melupakan nikmat yang Allah berikan. Namun manusia akan sentiasa berkeluh kesah dengan qadha dan qadar Tuhan, yang Allah tetapkan kepada kita. Semoga Allah menjadikan kita orang yang sentiasa redha dan bersyukur dalam apa jua keadaan, kerana semua ketetapan Allah itu, itulah yang terbaik aturanNya kepada manusia semesta Alam.

Ya Allah jadikan kami orang-orang yang sentiasa bersyukur dengan ketentuan Mu, kami menjalankan PKP dengan redha atas perintah pemimpin-pemimpin yang Engkau tentukan ya Allah. Ya Allah mudah-mudahan Engkau beri kesabaran kepada Doktor-Doktor, Jururawat dan Petugas hospital, serta pegawai-Pegawai Di Kementerian Kesihatan dan Frontliners lain  yang bertugas di  lapangan masing-masing. Mereka mendedahkan diri mereka kepada wabak berhahaya ini, tapi mereka ikhlas bekerja demi bangsa dan negara. Berikan ganjaran yang sewajarnya di sisiMu ya Allah. Hanya Engkau yang mengetahui segalanya lindungi mereka dan rahmatilah mereka ya Allah ya Rahman ya Rahiimm. Aaamin ya Robbal aalamiiin.