Tuesday, April 14, 2020

LOCKED-DOWN COVID 19


LOCKED-DOWN
1.  18 MAC -  31 MAC 2020
2.  1 APR    -  14 APR  2020
3.  15 APR  -  28 APR 2020

Ya Allah di saat aku menulis ini, Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP telah masuk hari ke-28, dalam PKP fasa kedua. Nanti akan dilanjutkan lagi PKP fasa ketiga pula.  PKP ini dikatakan cukup baik untuk memutuskan jaringan covid 19 daripada terus merebak. Rakyat diarahkan untuk duduk diam di rumah. Jika ada sebarang keperluan untuk membeli barangan keperluan hanya ketua keluarga atau seorang daripada wakil keluarga yang boleh keluar. Mereka yang hendak keluar ke mana saja tujuan penting mesti memakai tutup muka dan mematuhi peraturan jarak sosial yang ditetapkan. Pasaraya dan kedai runcit dibuka. Tapi untuk masuk ke pasaraya perlu diambil langkah keselamatan. Telah dihadkan jumlah pengunjung yang akan masuk untuk membeli barangan. Misalnya Pasaraya Maidin menetapkan masa 30 minit untuk setiap pelanggannya, dan hanya 50 orang saja yang boleh masuk dan mencari dan membeli barang-barang keperluan pada satu-satu ketika. Dan semasa membayar, pelanggan yang berada dalam barisan, perlu beratur dalam jarak 1 meter antara satau sama lain.

Di samping itu, kalau ada keperluan untuk ke bank, pelanggan perlu beratur di luar bank, juga 1 meter antara satu sama lain. Hanya 3 orang pelanggan sahaja dibenarkan pada satu-satu  masa. Pelanggan yang yang menggunakan mesin ATM boleh meminta kebenaran pengawal keselamatan bertugas, mereka tidak perlu beratur jika tiada pelanggan menggunakannya. Sebelum masuk ke bank, pelanggan diminta menggunakan pencuci tangan (hand sanitizer) terlebih dahulu. Setelah selesai urusan juga diberkan pencuci tangan sebelum keluar. Terima kasih kepada petugas yang menjaga keselamatan pelanggan. Alhamdulillah kami rasa agak selamat  dengan langkah-lang keselamatan itu.

Di Farmasi pula sebelum masuk pelanggan diperiksa suhu badan terlebih dahulu oleh anggota RELA yang ditugaskan khas. Kemudian yang sihat dibenarkan masuk. Dimulakan dengan menggunakan pencuci tangan, kemudian mengikut laluan yang ditunjukkan, dan diingatkan supaya jaga jarak1 meter semasa mencari barang dan semasa membuat bayaran di dalam kedai. Keluar dari kedai sebelum balik diarahkan cuci tangan sekali lagi. Alhamdulillah selamat rasanya berurusan semasa PKP ini di farmasi. Alhamdulillah selamat juga rasanya semasa berada di farmasi. Klinik swasta yang beroperasi juga melaksanakan langkah keselamatan. Pesakit akan beratur di luar, diperiksa suhu badan, dan pesakit yang memerlukan rawatan biasa saja yang boleh berjumpa Doktor. Namun pesakit tidak masuk menunggu di dalam klinik, mereka duduk menunggu di koridor klinik dalam jarak 1 meter antara mereka. Jika ada pesakit yang mengalami sakit tekak, batuk dan demam dan ada kontek dengan pesakit covid mereka akan dirujuk ke hospital dengan serta merta untuk saringan covid.

Di jalan raya pula kereta perlu mengikut laluan jalan yang ditetapkan kerana ada antara jalan yang ditutup. Jalan menju ke bandar Alor Setar, banyak yang ditutup. Jadi pengguna yang keluar masa PKP perlu patuh arahan di jalan raya. Oleh kerana tiada pengangkutan awam maka jalan agak lengang. Orang ramai yang keluar hanya seorang saja dalam kenderaan yang dinaiki dan kebanyakanya semu bertopeng muka. Jadi perjalanan ke mana saja destinasi menjadi lebih jauh dan sukar kerana sekatan-sekatan jalan raya yang dibuat untuk menjamin PKP dipatuhi. Tapi yang nampak ketara ramai pengusaha food-panda dan penghantaran makanan segera, di jalan raya kerana perkhidmatan mereka sangat perlu masa PKP ini.

Oleh kerana pergerakan dihadkan maka ada pula penghataran barangan keperluan ke rumah dibuat secara atas talian. Ada penghantaran barangan basah seperti sayuran, ikan dan daging. Ada juga  penghantaran tong gas menggantikan tong gas yang sudah habis gasnya. Pendek kata walaupun PKP tapi rakyat tidaklah mengalami kesukaran untuk membeli barang keperluan dan membuat urusan penting yang perlu. Syaratnya mesti mengikut arahan yang ditetapkan semasa keluar rumah untuk sebarang urusan.

Alhamdulillah walaupun masih terdapat kes-kes baru tapi pesakit yang sembuh menunjukkan angka yang sungguh memberangsangkan iaitu 47.3%,  sehingga telah mendapat pujian dari TV  di Jepun. Beberapa negeri seperti Kedah, Perlis, Wilayah Persekutuan Labuan, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang tidak mempunyai kes-kes baru lagi pada hari ini alhamdulillah, syukur padaMu Ya Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang. Ya Allah tolonglah kami, berilah kesembuhan kepada kami ya Allah, kami pohon ampun atas segala kesalahan kami, sesungguhnya kami ini adalah orang-orang yang zalim. Jika engkau tidak mengampuni kami tiada daya upaya kami untuk berbuat kebaikan atau berbuat kejahatan. Ya Allah kami redha atas segala takdir yang diberikan kepada kami dan bantulah kami untuk keluar dari masalah ini,  ya Allah ya rahiim ya rahmaan, ya zaljalaa liwalikraam.


No comments:

Post a Comment