Monday, April 20, 2020

CUCU TERKANDAS MUSIM PKP




Tanggal 13 Mac hingga 16 Mac 2020, kami menghabiskan masa di pulau peranginan  Pulau Pinang. Kebetulan waktu itu Papa mengikuti kursus perubatan untuk mendapat 20 mata ganjaran bagi memperbaharui  lesen praktis perubatannya. Maka kami bertemu di Hotel Royal Chulan untuk menghabiskan percutian. Waktu ini wabak covid tengah merebak di seluruh negara, kami pun tidak begitu selesa berada di luar bilik hotel, apabila ramai pengunjung berada di lobi. Boleh dikatakan kebanyakan penghuni memakai mask terutamanya semasa di lobi, begitu juga semasa di coffee house. Budak-budak memang suka makan pagi dengan bermacam-macam jenis makanan, makan sampai tak berhenti, masha Allah, syukur pada Allah mereka sihat dan berselera. Nikmat manakah lagi yang kami dustakan, ya Allah ampuni kami ya Allah.



Kami lebih banyak menghabiskan masa di bilik bersama anak cucu yang datang bertandang bersama kami. Pagi-pagi kami menikmati suasana pagi di balkoni, dan melihat sunrise dan kesibukan perahu-perahu dan kapal-kapal di pelabuhan. Pagi-pagi memang terasa sungguh tenang dan bahagia, sambil menyedut udara laut yang nyaman. Berada di Penang kalau tidak ke pantai tidak lengkaplah kunjungan ke Pulau Mutiara itu. Jadi pagi Ahad itu kami ambil peluang ke pantai,  memenuhi pujukan anak cucu yang tak berhenti merengek untuk ke tepi pantai. Kami juga ambil peluang menikmati makanan eksotik, yang lama dah teringin kami nak makan. Setiap malam kami makan cucur udang Penang, cucur udang kegemaran turun temurun yang telah kami nikmati sejak 30 tahun yang lalu. Kami juga makan mee goreng mamak, mihun goreng, kueteau goreng dan tidak ketinggalan nasi kandar juga.




Memang sangat sesuai dengan selera kami, lagi pun kami dah lama tak bercuti dengan abang long yang selalu tak boleh mendapat cuti. Terasa baru saja kami  bercuti bersama anak-anak ke Penang. Masa itu  mereka masih di bangku sekolah, tapi selepad mereka ke universiti, dan bekerja sangat sukar kami menacari masa yang sesuai untuk cuti bersama. Tambahan pula kami ada tanggung jawab yang perlu dibereskan di rumah. Tak sampai hati meninggalkan emak di rumah untuk bercuti dan bersenang-senang.


Selesai urusan hari Ahad 16 Mac, kami meninggalkan Pulau Pinang. Abang Long balik ke KL, Hayyan, Hannah dan Hadeja ikut kami balik ke Alor Setar. Mereka memang selalu bercuti di kampung bersama kami masa musim cuti sekolah. Ali menangis cemburu dan tak mau balik KL. Tapi dia masih belum berdikari, masih tidur dengan emak jadi tak bolehlah ikut tok balik kampung. Dengan berat hati kami semua mengucapkan selamat tinggal dengan harapan akan berjumpa lagi raya nanti insyaAllah.

Tapi siapa tahu kita hanya merancang Allah yang menetukan. Rupanya itu kali terakhir kami berjumpa, kerana mulai 18 Mac 2020, kerajaan telah mengumumkan seluruh rakyat Malaysia dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Maka terkandaslah Hayyan, Hannah, dan Hadeja di Alor Setar bersama kami. Mereka tidak boleh dijemput pulang, dan emak mereka pun tak boleh balik ke kampung. Kasihan Hadeja dia membilang hari namun bila sampai harinya PKP dilanjutkan lagi, dia tidak dapat dijemput oleh maminya. Sesekali dia menangis bila video-call, tapi lama kelamaan dia mula faham, dia terpaksa akur dengan takdir yang ditetapkan Allah untuk semua. Alhamdulillah mereka terkandas dengan kami.

Ya Allah Engkau maha mengetahui, Engkau maha halus pengurusan, Engkau maha pengasih lagi maha penyayang. Allah telah takdirkan mereka berada dengan kami sepanjang PKP ini. Rasanya dengan kami mereka lebih terurus. Barangkali ini yang diaturkan Allah. Engkau telah membantu kami memudahkan segalanya, syukur ya Allah, kami amat bersyukur kepadaMu. Ampuni kami ya Allah, rahmati kami ya Allah dan redhalah ke atas kami ya Allah.








No comments:

Post a Comment