Saturday, December 28, 2013

MAJLIS PERSARAAN WARGA PENDIDIKAN DAERAH KOTA SETAR



Setelah hampir dua bulan bersara, terasa sungguh gembira dan syukur tidak terhingga menerima jemputan majlis meraikan pegawai pendidikan yang telah tamat tempoh bekerja. Terima kasih kepada PPD Kota Setar yang meraikan kami, tak tau pula bila JPN Kedah akan buat majlis yang serupa. Mengikut surat jemputan kami dijemput melaporkan kehadiran, jam 10 pagi, di Hotel Star City, Alor Setar. Tepat jam 10.00 pagi, setibanya di lobi hotel, kelihatan Puan Ariyati sudah mengambil tempat di sofa dan bingkas bangun menyambut kami (Pn Ku Zamsiah dan Pn Faridah yang kebetulan sama-sama tiba). Kami semua bekas warga Bahiyah tertawa besar, apabila melihat atur cara majlis terpampang di lobi, menunjukkan majlis bermula jam 11 pagi. Semua kami tertawa pada diri sendiri, biar sudah lama tidak bertugas, tapi budaya menepati masa tetap sebati mendarah daging, walau di mana dan pada setiap waktu dan ketika.

Selepas pendaftaran kami bersalaman dengan teman-teman yang semuanya kelihatan ceria adanya. Sementara menunggu majlis bermula kami dihiburkan dengan cerita-cerita meriahnya menjadi orang bersara. Tidak lupa kami bertanya khabar sesama sendiri. Dan kami akhirnya bertumpu di meja mendengar cerita kisah suka duka dari seorang teman, yang juga telah lama bersara sejak awal tahun lagi. Melihat kepada wajahnya yang ceria, dan pada susuk tubuhnya yang kelihatan sihat sejahtera, sesiapapun tidak menyangka juga tidak pernah  terduga bahawa beliau adalah bekas pesakit kanser paru-paru tahap empat. Sambil mendengar ceritanya, masih jelas terbayang wajahnya yang layu tak bermaya sebelum beliau menjalani rawatan kanser sebelum ini. Semasa dia menjalani rawatan dulu, apabila hadir mesyuarat, kami selalu diingatkan agar berdoa akan kesihatan beliau. Walaupun ketika itu beliau sakit tapi masih hadir mesyuarat Pengetua Guru Besar. Masih jelas dalam ingatan, sejak dulu semasa diserang kanser sehingga sekarang, sudah selesai menjalani rawatan, dia masih tetap sama, sentiasa ceria dan sentiasa banyak cerita, walaupun kelihatan tubuhnya sudah sedikit susut.

Dengan selamba beliau berkata, 'saya ni entah berapa kali mati hidup semula.' Semasa saya sakit dulu sel kanser sudah merebak ke otak, jadi terpaksa menjalani rawatan infra red, radioterapi dan kimoterapi, serta bermacam lagi bentuk rawatan yang diaturkan. Beliau pernah tidak berupaya berjalan, dan sebulan di tempat tidur, dibantu semua aspek kehidupan oleh anak isteri dan juga warga hospital. Di samping itu lama juga dia berulang-alik ke Pulau Pinang untuk rawatan bersama follow-up dengan Doktor Pakar. Dan sudah pastinya dia tidak lupa masuk keluar wad di Hospital Sultanah Bahiyah yang entah sekian kali banyaknya. 



Selepas mengikuti beberapa sesi kimoterapi beliau sangat lemah. Pada waktu itu sangat teringin di hatinya untuk menjadi tetamu Allah, menunaikan haji. Tidak ada seorang doktor pun yang sanggup memberikan kebenaran, untuk dia berangakat ke tanah suci pada waktu itu, kerana keuzurannya yang amat sangat. Tetapi dengan izin Allah, oleh kerana kesungguhannya merayu, dan kesediaannya menanggung sebarang risiko, dia telah dibenarkan untuk berangkat ke Mekah, walaupun dia hanya mampu berjalan dengan bertongkat. Risiko yang paling tinggi sudah tentulah kematian. Tapi bagi seorang Islam sudah tetulah mati di tanah sucilah yang paling didambakan. Keyakinannya hanya satu, tidak ada daya kita untuk membuat kebaikan, dan tidak ada daya kita melaksanakan keburukan melainkan hanya dengan izin Allah semata-mata. Seorang teman yang dikenalinya sebagai sahabat semasa sakitnya datang berpesan,
'setiap penyakit tentu ada ubatnya, bersabarlah dan redhalah, mintalah doa hanya kepadaNya, bangunlah tahajjud setiap malam, bertaubatlah, mintalah ampun bagi segala dosa kita, Allah pasti akan mendengar kesusahan kita dan Allah sentiasa bersedia memakbulkan permintaan kita, hambaNya yang lemah, yakinlah.....'

Akhirnya tibalah dia  menjadi tetamu Allah. Semasa di sana entah berapa kali berita tersebar dia telah kembali kerahmatullah. Setiap kali dia ditanya dia minta anaknya buat kenduri di rumah anak yatim, dan minta mereka anak-anak yatim mendoakan kesihatannya. Boleh dikatakan tidak berhenti anak-anak yatim mendoakannya. Juga dia tidak tahu entah berapa banyak doa dipanjatkan ke hadhrat Allah di  hadapan Kaabah adanya. Di samping dia berserah dan redha dengan ketentuan yang ditimpakan kepadanya. Akhirnya dia amat bersyukur dia telah kembali sihat selepas itu sehinggalah kelihatan seperti sekarang adanya. Jadi kalau kita ditimpa musibah jangan putus asa, Allah bersama kita, jangan mengeluh kecewa kerana Allah sangat kasihkan kita. 

Sekarang dia lebih sibuk daripada jawatan Guru Besar dulu. Dia diminta berkongsi pengalaman, perasaan, memberi motivasi dan perbengkelan. Dia amat bersyukur kerana boleh juga membatu rakan yang senasib diserang kanser untuk meneruskan kehidupan. Pada waktu kita ditimpa kesusahan itu kadang-kadang kalau silap jalan kita boleh hilang pedoman.