Thursday, July 8, 2010

HERE WE COME .......



Suara riang burung camar yang riuh rendah, meramaikan waktu pagi di Liverpool, seolah-olah menyambut ketibaan kami. Angin dingin waktu pagi bagai mengucapkan selamat datang kepada kami. Bangunan bata merah di sepanjang jalan masuk ke Liverpool bagi barisan penyambut tamu menanti dan meraikan kami. Jam 9.00 pagi waktu tempatan selamatlah kami berdiri di hadapan rumah tiga tingkat, milik anak muda kami untuk sementara dia masih menyewa.

21 Clarence Street

Pemandangan hadapan rumah Along dari tingkap

Pertama-tama masuk ke rumah, along menjamah KFC, oleh kerana kelaparan tak sempat dipanaskan, terus makan ayam yang sejuk itu. Kami pun terus makan nasi dengan ayam, kerana memang terasa lapar dalam keadaan cuaca yang sejuk.

Selesai makan kami meluruskan belakang sekejap, selepas berbelas-belas jam duduk. Aduhai sangatlah rasa selesa berbaring melunjurkan badan yang sangat kepenatan, sambil bercerita dan bertanya khabar kerana lama sudah tidak berjumpa. Sedar-sedar kami sudah tidur dengan nyenaknya hingga ke tengah hari.

Lepas makan tengah hari dan solat zohor, mulalah ekspedisi meninjau-ninjau sekitar bandar, sebuah pekan yang nyaman dan aman, sebuah pekan yang unik, dengan bangunan klasik yang masih dipelihara, dan dijaga, dan diadunkan dengan pembangunan bangunan moden, menjadikannya sangat anggun dan mempesonakan.


Clarence Street menuju ke Pusat bandar

Menelusuri Clarence Street, kami berempat (termasuk Zul kawan along) menuju ke Church Street dan terus ke pusat bandar. Jalan raya tidak sesak, orang ramai berjalan ke destinasi masing-masing. Kami menyertai orang ramai yang berjalan-jalan di kawasan pedestrian walk.


Menikmati udara segar kota waktu petang

Musim panas ini banyak jualan murah di kedai-kedai dan pasaraya. Bukan itu saja, ramai juga orang pusing-pusing bersama keluarga, menikmati suasana segar kota, dan melayan anak-anak dengan aktiviti keluarga di dataran tengah kota.



Kelihatan kanak-kanak kecil besar berlari-lari di bawah pancutan air terjun dengan leka dan seronoknya, tanpa sedikitpun terasa sejuk, atau menggigil kesejukan. Air terjun terbuka di dataran itu, dihiasai dengan sajak tentang air di kelilingnya. Suasana dingin waktu petang di harmoniskan lagi dengan tiupan merdu pemain seksafon jalanan. Lagu-lagu klasik - antaranya sway dan qisas qisas menjadikan suasana petang terasa sungguh syahdu dan indah.



Pancutan air di tengah kota

Berjalan-jalan di bandar Liverpool, cuma sekadar seightseeing melihat-lihat kota, merakamkan gambar, apa yang menarik perhatian dan menikmati udara segar tepi laut yang mengasyikkan. Hari semakin petang menjadikan suasana semakin sejuk dek tiupan angin laut sepoi-sepoi bahasa. Kami minum kopi untuk memanaskan badan sebelum balik. Kami juga seperti orang lain di Liverpool kebanyakannya mahu cepat-cepat balik untuk menonton world cup Spain lawan Holland. Sepanjang jalan ramai juga orang Spain menuju ke pub untuk menonton bola beramai-ramai, siap dengan bendera dan lain-lain benda yang melambangkan Perancis - warna rambut, cat muka, mufla dll.

Malamnya selepas tengok bola dan Spain menang 1-0, kami jemput Zul dan Shashi makan malam - ayam goreng, masak cabai sotong, salad dan tuna goreng black bean. Sebelum balik Shashi main gitar beberapa buah lagu dan along ikut Zul lepak-lepak dengan kawannya, sampai pagi baru balik.

LIVERPOOL TRIP 6 JULAI 2010

Sibuk sungguh, hingga packing untuk mengunjungi along di Liverpool, terpaksa di buat last minute. Terpaksalah berjaga malamnya untuk persiapan mana yang perlu sahaja. Memang tak banyak nak dibawa pun, cuma pakaian saja. Tapi yang banyaknya makanan dalam tin, kot-kot dapat membantu, bila trip ke London dan Amsterdam. Paginya semua selesai, tunggu perjalanan pergi saja. Makan pun kat airport, memang relak sungguh, dan tepat jam 3.20 petang kami terbang dengan selamatnya ke KL.

Syukur alhamdulillah transit kat KLIA, dapat jumpa angah dan ayoi sekejap. Dapatlah hilang rindu sedikit. Alang baru ja balik tak apalah, dia pun sibuk. Perjalanan bermula selepas kami makan, kedua-dua anak menantu menghantarkan. Lapang dada, anak-anak bahagia, kami pun turut bahagia. Sebelum terbang kami sembahyang di terminal 2 siap-siap, sebab departure jam 9.35 malam, eloklah selesaikan tanggungjawab supaya tak tertangguh.
Perjalanan ke Liverpool tidak direct, kami transit di Abu Dhabi. Selepas 6 jam 40 minit berada di awan biru, selamatlah kami mendarat dibumi yang kaya itu. Terminal utama masih lagi sama seperti beberapa tahun yang lalu. Masih jelas ingatan berada di situ, shopping area yang bulat mengelilingi sebuah binaan berbentuk payung yang unik.

Kami terus menuju ke pintu 32 seperti yang di arahkan. Rupanya balai berlepas 31 hingga 47 sangat jauh, mungkin new wing yang baru agaknya. Tepat jam 2.25 pagi 7 Julai kami terbang ke Manchester, dengan penumpang yang penuh, dan perjalanan kali ini pula mengambil masa 8 jam. Lepas 3 kali Makan, tidur yang panjang, baca buku, dan sembahyang subuh, kami selamat tiba di Manchester tepat jam 7.oo pagi waktu Manchester. Urusan imigresen dan mengambil bagasi tidaklah cerewet nampaknya - 7. 30 pagi kami sudah boleh menyedut udara Manchester yang nyaman (suhu 16 C), di pintu balai ketibaaan, menunggu along yang masih dalam perjalanan dengan bas.

Pandangan depan Pintu Balai Ketibaan
Along sampai, kami terus buat keputusan untuk mengambil teksi pulang ke Liverpool. Dengan harga 55 BP, kami dibawa keluar dari Manchester airport menuju Flat 3, 21 Clarence Street, Merseyside, Liverpool, tempat along bermastautin selama 6 tahun, tempat along bergelut menuntut ilmu bagi mendapatkan segulung ijazah, tempat yang banyak menyimpan sejarah suka duka anak perantuan, dalam usaha mengejar cita-cita untuk menjadi seorang doktor. Alangkah, alangkah lamanya, alangkah saratnya sejarah hidup seorang anak muda, mengharungi zaman remajanya sendiri-sendiri di perantauan.
Bangunan unik dan indah di Liverpool
Bandar Liverpool menyambut kami dengan bangunannya yang sungguh unik, seolah-olah berbaris menyilakan kami ke persadanya. Angin laut yang nyaman, bertiup sepoi-sepoi bahasa, menambah nyaman suasana waktu pagi itu. Walaupun summer, tak terasa langsung suasana panas Inggeris seperti yang selalu digambarkan. Burung-burung camar laut (sea gull) berterbangan dengan cerianya seolah menyapa kami dengan ramah dan gembiranya.

Pandangan  dari tingkap belakang rumah, kelihatan bumbung gereja terbesar
Rumah sewa along, flat tiga tingkat di Clarence Street, sebenarnya sangat dekat dengan bandar, lima minit berjalan ke pusat bandar. Along tinggal di tingkat mezanine bersama Shashi dan Vivak di tingkat bawah. Ruang tamu yang agak selesa, dan dapur yang agak luas juga di kongsi dengan mereka seadanya. Depannya bangunan Kolej Komuniti Liverpool, dan sekolah rendah Pleasant Street tersegam indah. Di belakangnya, berdiri dengan gagahnya gereja terbesar di Liverpool. Oleh kerana terlalu dekat maka sangat jelas bunyi loceng gereja berkumandang, menghiasai bandar Liverpool. Tidak seperti di Malaysia bunyi azan berkumandang menghiasi ruang di sana sini bila masuk waktu solat,

Saturday, July 3, 2010

MAHA SUCI ALLAH


Makan kenduri hari ini, penuh dengan pelbagai perasaan bercampur baur - syukur, gembira, terharu, sedih, dan juga duka. Syukur sebab sudah sampai jodohnya sepasang kekasih yang sudah lama suka menyukai. Terhindarlah mereka daripada sebarang maksiat yang menggoda anak remaja. Terbinalah sebuah kehidupan yang menjadi impian setiap yang bernama remaja yang sedang dilamun cinta. Ternoktahlah hidup dalam segala ketidaktentuan, dalam segala pancaroba yang tidak menentu. Terciptalah sejarah sebuah mahligai cinta yang penuh dengan harapan indah, tinggi menggunung tak tercapai mata. Terhimpunlah segala kemanisan hidup yang didambakan oleh sepasang adam dan hawa, yang mengharapkan dan menantikan saat disatukan dua hati dalam satu rumah tangga. Sungguh, bersyukur padaMu ya Allah, tiada tempat disandarkan kesyukuran itu. Sungguh gembira meraikan kedua mempelai. Semua pun turut gembira. Walaupun semuanya diuruskan serba simple, serba kekurangan, tapi terpancar kegembiraan semua orang tanda lega. Sebagai seorang yang bernama ibu sudah tentulah perkahwinan amat diharapakan untuk seorang anak muda, walau pun bukan kita yang menjadi ibu untuk keduanya, untuk yang diraikan pada hari ini.

Tapi alangkah terharunya untuk kedua kekasih ini. Tiada rombongan mengiringi pengantin lelaki. Tiada dulang hantaran menghiasi datangnya pengantin. Semua suram, semua diam, semua terkedu - semua buat tidak peduli walaupun sebenarnya hati terdetik juga. Tapi semua pun turut berdoa untuk kesejahteraan kedua mempelai, pasangan pengantin baru yang diraikan. Semua terharu mengenangkan tiada restu ibu bapa pengantin lelaki. Semua terharu hati seorang ibu sudah terluka. Semua pun terharu - sampai hati seorang anak yang ditimang sejak kecil, tapi telah sanggup melanggar kata ibunya. Telah sanggup pula membuang ibu bapanya, telah membelakangkan kedua orang tua, di hari bahagianya. Alangkah, alangkah sedihnya, di hari bahagia, orang yang patut turut merasa bahagia, berendam air mata mengenangkan qada dan qadar ketentuan Allah. Maha suci Allah yang maha mengetahui ketentuan yang telah ditakdirkan. Maha besar Allah yang amat memahami atas apa yang diaturkan, dan amatlah dhaif dan kerdilnya kita, untuk memahami ketentuanNya itu. Melainkan menjadi sabar dan redha sajalah untuk segala yang tidak difahami ini.

Thursday, July 1, 2010

MARILAH SEMBAHYANG


Nabi Mohammad pernah bersabda pukullah anak jika pada umur 10 tahun dia engkar untuk sembahyang. Sembahyang itu tiang agama. Semua orang Islam tahu. Tapi yang peliknya bukan semua orang buat macam tu. Kadang-kadang sangat pelik melihat orang Islam, yang pada dasarnya percaya Tuhan itu maha mengetahui, maha melihat, maha mendengar, tapi tidak sembahyang; cuma seorang dua kes terpencil, dan jarang-jarang sekali tapi ada. Bukan kerana terlupa atau terlalai, tapi sengaja-sengaja tidak sembahyang.

Yang lagi pelik bila diingatkan dan disuruh sembahyang, tak mahu, diajak sembahyang pun tak mahu. Sungguh pelik, diajak sembahyang, mengelat, lari tunggang langgang., Allahlah yang maha melihat seorang dua murid seperti ini. Bila ditanya macam-macam alasan. Pelik bin hairan. Rasa macam depa tu tak rasa dan tak percaya adanya Tuhan, Allah yang maha esa. Rasa macam tak ada bezanya depa tu dengan yang bukan Islam. Orang Cina dan India pun tahu manusia kena sembahyang, tahu orang Islam kena sembahyang dan tahu mudahnya orang Islam sembahyang, tanpa perlu berbelanja seperti mereka. Inilah yang pelik, orang yang dilahirkan Islam, mak bapa Islam, masyarakat sekeliling Islam, tapi bila diajak sembahyang lari tungging langgang, Apa nak jadi? Dunia sudah akhir zaman agaknya.....

Tapi kami tetap tidak mengalah, susah mana pun sembahyang jemaah mesti dilaksanakan juga, ini suatu tuntutan, ini suatu amanah dan tanggung jawab, kami tidak akan menyerah. Kami tetap akan bersatu. Memang sukar menegakkan kebenaran, memang sukar menyeru kepada kebaikan dan kebajikan. Tapi amanah tetap akan dilaksanakan.

ALAHAI ANAK


Sedih betul dengar cerita tentang seorang kawan yang kononnya sangat susah. Dia anak yang sangat baik. Masa tingkatan 1 dia selalu kelihatan sangat comot - baju lusuh sangat, kasut pun kotor memanjang - hari Ahad lagi kasut dah kotor. Rasa hairan betul, jarang budak cina nampak macam tu. Kebanyakan budak cina selalunya nampak hebat, kawan yang ini sangat berbeza. Pakaian memang sah-sah tidak seperti budak cina yang lain. Yang paling terharu sikap pun sangat berbeza, macam langit dengan bumi. Dia sopan, humble, low profile dan sangat baik. Kalau budak cina lain kelihatan nampak jelas superiority complex, yang kadang-kadang kelihatan sangat sombong dan egois. Yang ini baik dengan semua orang, disenangi oleh semua orang.

Rupa-rupanya ada cerita di sebalik semua itu. Rupa-rupanya dia memang sangat susah, duduk nun sangat jauh dari sekolah. Datang sekolah naik basikal, jalan tanah merah, becak, mengotorkan kasutnya yang putih pada setiap hari - tambah-tambah lagi hari hujan. Tapi semua tu tidak menjadi halangan untuk dia sama-sama serasi, dengan rakan lain, dan sangat harmonis pula menjadi rakan sedarjah.

Dan pada satu pagi, dia ditegur oleh guru kelas kerana masih tidak membayar yuran yang sangat tinggi baginya. Bukan saja yuran tahun ini, tapi yuran tahun lepas pun masih belum langsai lagi. Alangkah, alangkah sedihnya cerita ini. Jarang-jarang ditemui anak cina tak mampu bayar yuran. Jarang ditemui anak cina hidup sesusah ini. Mudah-mudahan dia dapat dibantu. Anak sebaik itu, anak secemerlang itu, patutnya dia dibantu......