Monday, August 29, 2011

RAYA


Ramadhan tahun ini sudah sampai ke penghujungnya. Sedih terasa Ramadhan meninggalkan kita. Pilu juga ada, dia berlalu dengan segala rahmat dan keberkatannya. Masih baru rasanya Ramadhan dan syawal yang lalu, aku berkira-kira membawa abah terbang ke KL menghadiri kenduri saudara selepas raya. Dia sangat gembira, terus bertukar menjadi sihat dan ceria. Semua orang pun turut bergembira dengan perubahan yang nyata. Hari raya itu menjadi sangat bermakna kerana dia berasa sudah sep erti sihat sejahtera daripada sakit yang ditanggungnya.

Ramadhan tahun ini kami sudah tidak bersamanya lagi, dia sudah dijemput pergi. Tiada lagi beli baju melayu dan sampin buat hadiah hari raya untuknya. Tiada lagi bunyi telefon jemput balik berbuka puasa. Tiada lagi minta tambah buah kurma kegemarannya. Tiada lagi tawa anak cucu bersamanya di pagi raya. Tiada lagi bertanya bila nak mai raya. Segalanya tinggal kenangan semata. Segalanya cuma dapat dirasa saja. ......

Raya tahun ini tiada abah, tiada juga anak-anak yang bekerja. Raya tahun ini aku masih ada bonda yang sudah tua. Sebenarnya aku pun sudah menjangkau usia tua. Sudah terasa masa hampir sampai ke penghujungnya. Mudah-mudahan aku dapat terus meniti masa memberikan kebahagiaan kepada orang tua yang masih ada. Mudah-mudahan dapat dinikmati juga suasana bahagia bersama anak-anak yang sudah dewasa......