Thursday, May 6, 2010

KAMU MACAM MELAYU

'Cik gu ingat tak saya? Dulu cik gu selalu suruh saya tolong cik gu, lepas tu cik gu belanja kami minum di kantin'
Merenung muka, dan susuk tubuh yang masih segar dalam ingatan, manalah boleh aku lupakan budak nakal yang tak mau masuk kelas, tak boleh baca, suka melewar, suka kacau cik gu, dan entah apa-apa lagi karenah yang tidak disukai oleh guru.

'Dulu cik gu selalu kata saya macam melayu. Cik gu suruh saya masuk Islam. Cik gu kata mai jadi anak cik gu kat saya'
Masya Allah! Takkanlah aku boleh lupa. Memang masih segar dalam ingatan, walaupun sudah beberapa tahun yang lalu.

Mengimbau masa yang telah berlalu memang terasa sangat pantas. Memanglah, macam mana budak ni tidak dijaga, dia memang tidak suka duduk dalam kelas. Dalam kelas dia bising, cikgu akan marah. Paling lama dia boleh tahan, sampai jam 9.00 pagi saja. Lepas tu, dia mula kacau kawan dan kacau guru.Last sekali mulalah nak gaduh, lagi teruk, suka gaduh Cina Melayu.

Jadi nak selamat keadaan lepas rehat hantar pada guru disiplin. Dia canggkul tanah, dia kutip sampah, dia trim pokok atau tanam pokok bunga, dengan cik gu disiplin. Lepas buat kerja siapalah tergamak melihat mereka keletihan, dan haus? Sebab tulah dijamu untuk minum sebagai penghilang dahaga. Mereka pun bangga, cik gu belanja. Keadaan sekolah pun terjaga, tak ada yang melilau tak tentu hala, masa cik gu mengajar.Masa tu suraulah jadi tempat operasi. Surau dinaik taraf, surau dihiasi pokok tanaman. Sangat sesuailah. Siapa tak mau belajar bawa ke surau untuk bantu.

Setiap kali muka yang sama juga dibawa guru disiplin untuk tolong di surau. Mendengar telor dan gaya pertuturan, dia bukan orang Melayu.
'Kamu India ka Cina?'
'Cina cik gu, tapi emak saya India.'
'Patutlah kamu macam Melayu.'
'Kalau tengok muka, orang mesti kata kamu Melayu.'

‘Kamu jadi anak cik gulah. Mai masuk Melayu.’
Sangat jelas kata-kata itu dalam ingatanku.
’Cik gu ingat saya tak?’
Tersedar aku dari lamunan mengenang kisah silam.
’Eh mestilah saya ingat. Mari masuk.’
’Saya dah masuk Islam cik gu, tulah saya datang jumpa cik gu.’

Alhamdulillah, syukur pada Allah kerana telah memberikan hidayah, membuka pintu hatinya melihat kebenaran. Tidak pernah terduga bahawa gurauan dengan budak-budak menimbuklan kesan mendalam dalam jiwa seorang anak. Tidak pernah terduga air minum yang disedekahkan menjadi penawar yang mengalirkan iman dalam diri seorang anak muda. Tidak pernah terduga suasana surau yang didedahkan, juga menjadi suatu ilham menuju keimanan jiwa seorang remaja. Besarnya peranan guru dalam jiwa seorang remaja. Masya Allah semoga iman yang baru berputik akan menjadikan dia seorang kamil yang terus mendapat kesejahteraan di dunia dan akhirat. Amin.

Tuesday, May 4, 2010

DATANG LEWAT

Selalu sangat mendengar rungutan guru bertugas tentang pelajar datang lewat dalam mesyuarat. PK HEM selalu membangkitkan isu yang sama. Yang paling tidak disukainya ialah muka-muka yang sama saja yang masih datang lewat, walaupun sudah diberi amaran berkali-kali. Satu hari semasa meninjau-ninjau kedatangan pelajar waktu pagi, memang ada juga beberapa orang, masih datang selepas loceng berbunyi, ada yang bas rosak, bapa sakit, emak baru balik kerja malam dan lain-lain yang masih boleh diberi pertimbangan dan diberi teguran, nasihat dan amaran.

'Kenapa lewat?'
Dia diam tunduk membisu, kerana dia memang tahu dia sebenarnya salah. Dia tak berdaya untuk berkata walau sepatah kata pun. Dia memang tahu, dia sepatutnya datang lebih awal.Dan dia pun memang tahu dia telah berulangkali melakukan kesalahan itu. Sejak akhir-akhir ini selepas gempur datang lewat, memang sudah tidak ramai pelajar yang datang lewat lagi.

'Awak bangun lewat ya?'
Dia hanya mampu menggelengkan kepalanya yang masih tunduk.
'Pukul berapa bangun?'
'Pukul lima cik gu.'
'Kalau bangun awal kenapa tak datang awal?'
Dia terus diam kaku. Dapat dilihat bajunya basah dek peluh. Peluh di dahinya juga merenek seperti orang baru lepas berjoging. Tapi dia datang bermotosikal. Pelik betul budak ni.

'Awak buat apa pagi tadi?'
'Cuba cakap betul-betul dengan saya.'
Bahunya yang basah dek peluh dipegang memberi keyakinan. Ditepuk perlahan memberi harapan, supaya dia dapat menyatakan sesuatu. Barang kali dia perlu dibantu. Barangkali dia sudah lama menanggung sesuatu.
'Saya tolong mak tolak kereta sorong, pi goreng mee di pasar borong. Pukul tujuh baru balik rumah, siap datang sekolah'
'Bapa pergi mana?'
'Bapa sudah mati.'
Tersentak aku mendengar jawapannya. Aduhai anak yang malang. Rupanya amat berat penanggungan, besarnya pengorbanan, dan besarnya kesusahan yang ditanggung oleh anak semuda kamu.

'Kamu anak yang baik, kamu tolong mak kamu, dan bantu mak cari duit. Kamu memang sangat baik.'
'Tapi sekarang kamu sekolah. Kamu mesti ikut peraturan. Datang sekolah mesti sebelum 7.30. Boleh tak datang 5 minit lebih awal? Cuba boleh tak?'
'Dan yang lebih penting kamu perlu sekolah rajin-rajin. Kalau kamu berjaya kamu boleh ubah hidup kamu. Kamu boleh bantu mak kamu bila kamu dapat kerja yang baik.'
'Saya cuba cik gu.'