Monday, June 29, 2020

RUMAH MAK 2020


Lama kami tak balik kampung di Tunjang, Kampung Rumput Minyak yang kini tinggal kenangan cuma. Terasa tawar hati nak jengah ke kampung tengok-tengok rumah mak yang ditinggalkan. Rumah yang banyak menyimpan kenangan sejak kami kecil hingga kami tua, sekarang tidak lagi berseri. Ia tidak lagi diserikan dengan hirok pikok suara anak cucu, tidak lagi diserikan dengan hilai tawa kami waktu berhimpun, tidak lagi diserikan dengan pelbagai masakan mak untuk anak cucunya, dan tidak lagi diserikan dengan tetamu yang datang bertandang.

Sesekali aku paksakan diri menjenguk juga rumah kesayangan mak itu. Hancur luluh perasaan melihat rumah yang dulunya terjaga rapi, kini sepi. Dulunya kelihatan kehijauan rumput yang sentiasa disantuni. Dulunya kelihatan indah halaman yang diserikan dengan rambutan anak sekolah dan lekang nyok yang rangup lagi  manis di sekeliling rumah. Diramaikan lagi dengan pokok ulam-ulaman beluntas, putat, cemumak dan daun kari  yang segar pohonnya tersusun rapi. Ia menjadi salah satu menu kami bila berhimpun, ulam sambal belacan. Kini sudah tiada lagi pokok ulam-ulaman itu, semuanya telah diliputi pokok liar sehingga tiada lagi serinya.

Dan yang lebih meruntun hati ialah melihat keadaan rumah yang yang sangat usang. Bukan saja usang tapi sudah seperti bangsal usang. Perabot memang kami sudah kosongkan. Arwah adik Jo sudah bawa lori angkut semua barang di dalamnya bawa balik pi ke Penang. Alhamdulillah tidaklah kami terkenang-kenang barangan di dalam rumah tu, takut dikebas orang. Rupanya dah tak ada perabot untuk dikebas, semua wayar elektrik pula menjadi mangsa. Wayar elektrik seluruh rumah ditarik habis. Semua lampu dan kipas dicabut dengan ganas. Tingkap dipecahkan aluminium dikopek, dan grill dicolek, maka bermaharaja-lelalah mereka dalam rumah mak. Astagfirullah hal aziim, itu saja yang dapat dikatakan, maka berderailah air mata, apa pun tak dapat dikatakan lagi. Lepas itu aku jarang-jarang balik lagi.

Tapi lepas PKPP bulan Jun 2020 aku teruja untuk balik kampung. Rindu memang sangat rindu pada rumah kami. Rumah itu kami benarkan Bang Udi guna untuk buat pusat berzikir. Bang Udi dah cuci kawasan,dan halaman dah nampak hijau semula. Rumah dah bersih, pendawaian elektrik dah dibuat, lampu dan kipas dah dipasang semula dan kepala paip dah disiapkan. Alangkah seronoknya melihat rumah mak dah sempurna semula. Karpet dah dipasang dan kami dapat bejemaah semula di rumah mak. Alhamdulillah syukur padaMU ya Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang.