Tuesday, December 20, 2016

SUATU KETIKA DAHULU DI SAS




MENGIMBAU KENANGAN 
TAHUN 70AN DI SUTANAH ASMA SCHOOL (SAS)


Dulu-dulu kalau dapat melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam, memang suatu yang sangat besar. Tidak ramai pelajar dapat masuk ke tingkatan enam, berbanding jumlah pelajar yang mengambil peperiksaan SPM atau MCE di tingkatan lima.  Menduduki tingkatan enam waktu itu, bermakna memasuki sekolah ternama seperti Sultanah Asma. Dalam tahun 1973 setelah menduduki peperiksaan MCE, dan lulus mendapat Gred 2, dengan pencapaian agreget  sebanyak 24,  saya dan rakan-rakan yang lain seramai tujuh orang, telah berhijrah ke sekolah baru, waktu itu lebih popular  dikenali sebagai SAS atau Sultanah Asma School, oleh kerana di  Sekolah Menengah Pulau Nyior  tidak ada kelas Tingkatan Enam. Kemudian dalam tahun 1974 bermulahlah era baru dalam arus pembelajaran, saya telah berjaya melanjutkan pembelajaran ke Tingkatan 6  Rendah di Sekolah  Sultanah Asma. 

Tahun-tahun sebelum ini, pelajar dari Pulau Nyior di hantar ke Kolej Sultan Abdul Hamid untuk melanjutkan pelajaran Tingkatan Enam Rendah. Jadi pada tahun itu, merupakan tahun pertama penempatan Tingkatan Enam dari sekolah-sekolah luar bandar ditempatkan ke SAS. Kedatangan saya dan rakan-rakan buat pertama kalinya, dari kawasan pedalaman seperti Kodiang, Jitra, Changlun dan Pendang ke SAS, merupakan suatu kejutan kepada pentadbir sekolah. Ini kerana kami terpaksa memohon untuk menginap di asrama, kerana rumah kami terlalu jauh untuk kami berulang-alik  setiap hari ke sekolah. Pihak sekolah terpaksa dengan segera menambah jumlah katil di asrama, untuk menampung jumlah pelajar Tingkatan Enam Rendah yang baru mendaftar. Ini pun merupakan satu sejarah juga, kerana sebelum ini tidak pernah ada pelajar Tingkatan Enam yang menginap di asrama.

Pengalaman hidup di asrama, tidak banyak berbeza dengan kehidupan asrama pelajar sekarang. Segala peraturan dan masa yang ditetapkan perlu dipatuhi, tidak ada kompromi. Kami seperti pelajar lain patuh dan akur kepada semua undang-undang asrama. Tambahan pula kami diminta untuk memberikan contoh supaya menjadi teladan kepada adik-adik pelajar yang junior. Tapi yang paling mengesankan hingga kini ialah, menanti  dan menikmati mee goreng mamak yang dibawa oleh kereta sorong pada setiap malam masa kami sedang prep malam. Sungguh klasik menunggu kedatangan mamak mee yang seolah menjadi rutin harian kebanyakan pelajar semasa prep. Dia selalunya akan memukul kualinya dari jauh lagi, melalui lorong yang betul-betul di belakang pagar asrama.  Bila dia tiba kami dah siap kertas order dan siap dengan duit bayaran sekali, diberikan kepada mamak mee. Bila dah siap dia akan panggil nama ketua yang menghantar pesanan. Ketika itu mee mamak panas terasa sungguh sedap, macam ketagih pula, setiap hari kami hendak saja membelinya. 

Pada hujung minggu pula kami ada outing boleh keluar ke Bandar untuk jalan-jalan atau membeli barang keperluan. Jadi kami akan berjalan kaki dari asrama ke pasaraya atau ke kedai buku atau kadang-kadang tengok wayang beramai-ramai. Satu yang paling diingati ialah makan mee bandung di gerai depan sekolah sebelah masjid Derga. Jadi pelajar yang tidak ke mana-mana kami akan keluar beramai-ramai menikmati mee bandung istimewa itu. Pada waktu itu terasa sungguh sedap dan istimewa menikmati mee bandung panas-panas. Kadang-kadang kami makan di situ, kadang-kadang kami bungkus bawa balik makan di asrama.

Di samping itu, pembelajaran dalam kelas pun  merupakan satu kejutan kepada kami. Kami pelajar luar bandar yang baru masuk ditempatkan di Kelas Enam Rendah B. Dulu-dulu di sekolah lama kami diberi nota, diajar dengan penuh bimbingan dan mendapat perhatian daripada guru-guru. Di Tingkatan Enam cik gu bagi tajuk-tajuk penting kemudian minta kami baca, buat perbincangan kumpulan dan buat assignment secara berkumpulan untuk dibentangkan dalam kelas. Semua itu dapat dilalui dengan mudah selepas beberapa waktu.
Namun selepas  beberapa bulan belajar, timbul isu tentang mata pelajaran yang ditawarkan kepada kami. Antara mata pelajaran yang ditawarkan ialah Sejarah Eropah iaitu Sejarah Kertas 2, di samping Kertas 1, Sejarah Malaysia. Kami dapati Sejarah Eropah ini kurang relevan dengan kami dan tidak membantu pelajar untuk lulus pada waktu itu. Tambahan pula mengikut analisis yang diberikan guru yang mengajar, jarang-jarang pelajar boleh mencapai kelulusan cemerlang mendapat gred A, bagi mata pelajaran tersebut. Malah didapati ramai yang gagal dalam mata pelajaran sejarah. Ini amat membimbangkan kami kerana kami amat memerlukan kelulusan cemerlang, bagi mata pelajaran Sejarah untuk melayakkan kami dapat masuk ke universiti. Jadi kami perlu lulus cemerlang dalam Kertas 1 dan Kertas 2 untuk mendapat gred cemerlang. 

Jadi selepas itu, semua pelajar Enam Rendah B telah mencapai kata sepakat untuk memohon kepada pihak sekolah agar membenarkan kami dapat belajar mata pelajaran Sejarah Islam dan menduduki peperiksaan bagi mata pelajaran Sejarah Islam dalam peperiksaan Higher School Certificate (HSC). Hasrat kami itu disampaikan kepada Penyelia Tingkatan Enam terlebih dahulu, tapi beliau tidak boleh memberi keputusan. Kemudian kami telah menghantar wakil berjumpa Pengetua Cik Maimudah, untuk menyatakan hasrat kami itu. Dalam perjumpaan itu barangkali beliau kurang yakin permintaan itu merupakan permintaan ramai dan sebulat suara. Jadi beliau meminta agar semua pelajar Enam B dapat berjumpanya pada hari dan masa yang telah ditetapkan.

Perjumpaan dengan Pengetua sungguh merupakan perjumpaan yang bersejarah. Majlis berlansung di bilik kelas. Ia lebih berupa dialog dua pihak – antara pelajar-pelajar dan Pengetua. Penyelia Tingkatan Enam yang turut serta cuma menjadi pemerhati, tidak pun memberikan sebarang komen. Kami diminta  mengemukakan sebab-sebab dan alasan, kenapa kami minta diajarkan mata pelajaran Sejarah Islam, menggantikan Sejarah Eropah. Selesai bersoal jawab, Pengetua memberitahu kami, sekolah tidak dapat mengajar mata pelajaran yang kami minta kerana tiada guru opsyen itu. Kami merayu kepada Pengetua agar dapat memberikan kebenaran kepada kami untuk dapat mendaftar dan mengambil mata pelajaran itu dalam  peperiksaan HSC nanti. Kalau sekolah tidak dapat menyediakan guru kami sanggup mencari guru mata pelajaran itu untuk membantu kami belajar. Tidak sangka pula Pengetua marahkan kami dengan cadangan yang dikemukakan itu. Katanya duit biasiswa yang kami dapat, jumlahnya sedikit untuk kegunaan beli buku, untuk bayar yuran asrama, untuk tambang bas dan untuk belanja keperluan harian. Mana nak dicari duit untuk bayar guru tuisyen. Jadi bukankah lebih baik, belajar mata pelajaran yang diajarkan di sekolah tanpa mengeluarkan belanja tambahan kepada guru tuisyen Sejarah Islam.

Sampai di situ kami pun terkedu juga. Tapi Allah telah membantu kami, memberikan idea dan kami memberitahu Pengetua bahawa kami hanya perlu belajar beberapa kali saja. Selainnya kami akan belajar sendiri menggunakan masa Sejarah Eropah, dan waktu petang, untuk membuat perbincangan dan pembentangan topik-topik yang yang kami pelajari dari guru tuisyen kami itu. Kami juga memberitahu Pengetua kami sudah aturkan tuisyen itu diadakan di sekolah, jadi tidak perlu kos pengangkutan lagi. Akhirnya Pengetua bersetuju memberikan kebenaran untuk kami belajar Sejarah Islam dan menduduki peperiksaan mata pelajaran itu dalam HSC.

Peluang yang diberikan itu kami gunakan sebaiknya. Kamu menghadiri kelas tuisyen dengan cik gu Othman seorang guru Sejarah di KSAH yang berpengalaman luas dan amat mahir dalam subjeknya.. Bayaran yang dikenakan sangat minimum, iaitu RM10 untuk sekali hadir ke kelasnya. Kami hanya diperlukan hadir empat kali saja, mengikuti kelasnya. Kelas yang pertama beliau memberikan keseluruhan silibus bagi mata pelajaran Sejarah Islam yang akan kami ambil peperiksaan nanti. Menurut cik gu Othman dengan mengetahui silibus, pelajar dapat mengetahui topik-topik yang akan dipelajari. Di samping itu dapatlah pelajar memberi tekanan kepada topik-topik penting yang masih belum disoal  dalam peperiksaan. Kelas yang kedua kami diberikan pendedahan  topik-topik yang ada dalam dalam Bahagian A dan topik-topik yang perlu diberi penekanan untuk persediaan menghadapi peperiksaan dalam bahagian ini. Seterusnya dalam kelas yang ketiga kami didedahkan pula dengan topik-topik dalam bahagian B dan topik penting yang perlu dibaca dengan mendalam kerana dijangkakan akan ada soalan dari topik berikut. Akhir sekali kelas yang keempat cik gu Othman membawakan kepada kami kertas soalan Sejarah Islam bagi 10 tahun ke belakang. Beliau membantu kami membuat analisis soalan-soalan tersebut. Kemudian beliau membantu kami membuat pemilihan topik-topik yang perlu kami berikan fokus untuk belajar dalam kumpulan supaya kami dapat sama-sama bantu membantu bagi pembelajaran sendiri tanpa guru dalam kelas. Beliau telah membantu kami memeriksa jawapan yang kami jawab secara kumpulan dengan memberikan tunjuk ajar tentang kelemahan-kelemahan untuk dibaiki, supaya kami boleh mendapat markah cemerlang. 

Alhamdulillah segala usaha kami dibantu Allah, dan kami yang mengambil mata pelajaran Sejarah Islam kebanyaknya lulus cemerlang dalam mata pelajaran Sejarah berbanding pelajar yang mengambil mata pelajaran Sejarah Eropah. Kami mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Puan Pengetua yang bermurah hati membenarkan kami mendaftar dan mengambil mata pelajaran Sejarah Islam di sekolah walaupun tanpa guru. Sebelum kami pulang daripada mengambil keputusan peperiksaan HSC, Puan Penyelia Tingkatan Enam membisikkan kepada kami, dia akan membuka kelas mata Pelajaran Sejarah Islam untuk pelajar Tingkatan Enam Rendah yang baru mendaftar selepas kami. Alhamdulillah kami amat bersyukur, dengan perjuang kami itu, pelajar lain telah mendapat manfaat. Sejak tahun itu SAS telah berusaha mendapatkan guru untuk mata pelajaran Sejarah Islam bagi pelajar Tingkatan Enam untuk mata pelajaran Sejarah.