Friday, October 14, 2022

TANAM GETAH

 

Selepas bayar premium tanah Rm 35 000 untuk tanah usaha di Kuala Nerang, bermulalah episod baru hidup kami. Mula-mula kami isi borang untuk ubah syarat dari dusun ke getah. Dusun di Pasir Putih Tualak ini sudah dikirakan sebagai tidak ekonomik dan tidak komersial lagi. Pokok-pokok buah semuanya sudah tua dan tinggi merenjong. Pokok-pokok hutan sudah mendominasi pokok-pokok buah yang ditanam 20 tahun lalu. Kalau pun nanti diletak baja barangkali buahnya tidak semeriah dulu-dulu, lebat dan dapat dipetik dengan tangan saja. Sungguh sangat seronok mengenangkan dusun yang dulunya sangat cantik, pokok-pokok yang menghijau tersusun berbaris, cerah dan kemas  merimbun, bagaikan padang golf saujana mana memandang. Sungguh nostalgik. 

Sesungguhnya banyak kenangan tertumpah di situ. Banyak masa terhabis di situ. Sungguh bermakna masa yang diluangkan kami berdua. Di situlah kami sama-sama memanjat bukit. Sama-sama meleraikan paip air bergulung-gulung. Sama-sama mengumpul dan menyusun batu-batu sungai dalam sangkar di puncak bukit menjadikan sumber air untuk di alirkan ke dusun. Sama-sama kami menyediakan tangki air di teres bukit. Sama-sama kami berusaha mengalirkan air ke pokok durian dan pokok dokong yang dibelai sehingga subur dan membesar, menggunakan sistem paip. Sama-sama kami makan nasi berkelah di hari Jumaat selepas dengan sabar pula menunggu kepulangan dari solat Jumaat. Kini semunya cuma kekal dalam memori kami berdua. Alhamdulillah Tuhan berikan nikmat berkasih sayang dengan sama-sama mengusahakan dusun yang kami sangat-sangat bersyukur dengan anugerah yang Allah kurniakan. Tanah yang beralun dihiasi anak sungai itu memang menjadi idaman kami berdua semasa kami masih muda. Puas dicari merata-rata, akhirnya dianugerahkan sebidang tanah yang di dalamnya mengalir air sungai yang sungguh mendamaikan dan menyamankan hati. Setiap minggu tak ada lain kerja lagi, melainkan ke dusun buat apa yang patut, menebang, menebas, mencuci menanam, membaja dan macam-macam lagi. Alhamdulillah nikmat apa lagi yang kau dustakan, maha suci Allah yang maha mengetahui akan hati sanubari setiap insan ciptaannya.

Tapi itu dulu, sekarang selepas diubah syarat tanah, kami berdaftar dengan RISDA  sebagai pekebun kecil. Kami pohon bantuan tanam semula. Diberi subsidi penyediaan tanah untuk buat teres, diberi bantuan anak benih, bantuan baja dan juga bantuan racun. Bermulalah era baru menanam getah. Ia menjadi serampang dua mata, pertama untuk hasil getah dan kedua supaya tanah dusun yang kami sayangi menjadi cerah asbab pokok getah yang perlu dirawat dan dijaga. Dengan itu dapatlah kami menghabiskan masa di rumah dusun yang telah sekian lam merindui kami. Alhamdulillah, jika ada rezeki akan kami kongsikan rumah kebun ini dengan orang yang rindukan kehijauan hutan dan kedamaian serta inginkan keseronokan berendam air sungai yang dingin, in sya Allah.

Jadi kami pun berusaha keras pula mengurus anak-anak getah yang sudah ditanam. Selepas ditanam dibajakan supaya akarnya subur dan dapat tumbuh subur. Diletakkan racun supaya tidak diganggu serangga akarnya, dibersihkan rumput diperdunya dan diracun rumput di dada antara barisan anak getah yang ditanam. Semuanya dibuat dengan tekun dan penuh hati. Sesungguhnya Allah tidak pernah mungkir janji jika berbudi dengan tanah. Semoga ia dapat memberi manfaat kepada agamaMu ya Allah. Restuilah usaha kami aamiin