Friday, July 8, 2011

DAY 6 JAPAN - 19 MAC – TRIP TO TOKYO (2)

Semakin menghampiri bandar Tokyo kelihatan sawah padi - bendang-bendang yang agak luas bertebaran di sana sini. Lepas itu rumah-rumah kediaman kelihatan semakin padat, dan akhirnya memasuki ke bandar Tokyo jelas kelihatan bangunan pencakar langit yang gah. Tepat jam 10.15 pagi kami menjejakkan kaki di Bandaraya Tokyo yang moden dan cantik. Maha suci Allah, maha agong Allah, kami telah berada di bandar Tokyo. Di stesen Tokyo Central kelihatan ramai petugas mengawasi cctv bagi memantau penumpang-penumpang shin kan sen, untuk tujuan keselamatan. Nampaknya keselamatan orang awam dijaga dan dipantau dengan rapi di tempat awam. Kita rasa sungguh selamat dan memang ternyata sangat selamat.

Selepas menikmati pemandangan di sekitar Tokyo Central, dan meninjau-ninjau suasana yang indah dan nyaman, kami pilih untuk city tour naik tren yang ternyata lebih murah. Berpandukan peta bandaraya Tokyo, kami telah memilih beberapa destinasi yang sesuai untuk dilawati. Meneruskan perjalanan kami membeli one-day ticket tren JR LINES. Kami boleh naik mana-mana keretapi JR Lines ke mana-mana destinasi dalam Tokyo. Destinasi pertama kami ialah Tokyo Tower. Untuk ke sana, dari Tokyo Central kami turun di Hamatsu. Kemudian kami berjalan kira-kira 1 kilometer. Sebelum Tokyo Tower terdapat sebuah Tokong yang besar dan dijaga bersih kerana ramai pengunjung singgah di tokong itu sebelum ke Tokyo Tower. Setelah puas bergambar dan melihat-lihat di situ, kami makan tengah hari di taman bersebelahan. Makan dalam cuaca sejuk dan nyaman memang menyelerakan. Habis mee goreng yang kami bawa. Kemudian kami teruskan destinasi dengan berjalan ke stesen Hamatsu, sangat jelas kelihatan suasana bandaraya Tokyo waktu tengah hari (1 t.h.) tidak sesak dengan barisan kenderaan seperti di Kuala Lumpur atau bandar lain di Malaysia. Inilah hasilnya jika kenderaan awam sangat maju, selesa, mencukupi dan dapat memenuhi cita rasa semua lapisan masayarakat.

Perjalanan pergi dan balik ke Tokyo Tower menyaksikan budaya masyarakat Jepun yang unggul. Tokyo Tower menyaksikan ramai pengujung tempatan. Kami empat beranak hanya sebahagian kecil pelancong luar, di tengah-tengah kesesakan pelancong bermata sepet. Terdapat sekumpulan pelancong Jepun, penggemar photo hunting, dengan kamera dan lensa yang hebat dan mahal dengan pelbagai aksi merakamkan gambar-gambar di situ. Aktiviti fotografi memang sangat popular di mana-mana, sebagai sebahagian daripada cara hidup moden dan maju, untuk dapat merakamkan khazanah budaya bangsa, sebagai kebanggaan dan untuk menjadi dokumentasi yang berharga, di samping untuk tujuan komersial juga.

No comments:

Post a Comment