Friday, July 8, 2011

DAY 6 JAPAN - 19 MAC – TRIP TO TOKYO (1)

Kami turun awal dari Erume Hall Sanbongi ke stesen tren Takeshi. Selesai menyimpan kereta di kawasan parking awam, tepat jam 7.20 pagi, tren Kodama Super Express sudah bertolak ke Toyohashi Central, Dalam masa perjalanan yang sangat singkat, ada yang ambil kesempatan memejamkan mata dan ada banyak yang membaca. Terlihat tanda ’dilarang bercakap telefon’ di dalam tren. Agaknya mereka tidak mahu suasana tenang waktu pagi yang nyaman, diganggu dengan perbualan telefon. Memang wajar pun kerana perbualan telefon dalam perjalanan memang sangat mengganggu. Dalam lebih kurang 10 minit perjalanan, kami tiba di stesen Toyohashi Central yang ternyata sangat sibuk pada waktu pagi. Pekerja pejabat dari segenap lapisan, dan budak-budak sekolah semuanya naik tren ke destinasi masing-masing dan dengan pantas bergegas keluar menuju destanasi masing-masing apabila tren berhenti.

Di Toyohashi kami cepat-cepat mendapatkan tiket ke Tokyo. Alangkah gembiranya, kerana kami dapat tiket dengan harga pakej keluarga, lebih kurang JY15, 405 (RM 616.00) pergi balik. Perjalanan ke Tokyo dengan shin kan sen (bullet train) mengambil masa selama satu jam empat puluh lima minit. Jika dibandingkan jauh perjalanan seperti dari Alor Setar ke Johor Bharu lebih kurang 600 km. Ruang dan tempat duduk shin kan sen sangat selesa. Tepat jam 8.00 shin kan sen memulalan perjalanan. Antara stesen –stesen bandar besar yang dilalui ialah Hamamatsu, Kakagawa, Shizuoka, Shin Fuji, Mishima, Odawara, Shin Yoko Hama dan Shinagawa.

Perjalanan selama dua jam menyajikan kami pelbagai pemandangan melambangkan sosio ekonomi dan budaya masyarakat di negara Jepun. Melewati Hamamatsu, dapat dilihat pemandangan sebuah bandar tepi pantai yang maju dan cantik. Bila melalui kawasan Kakagawa yang dipenuhi lereng bukit, dapat dilihat ladang-ladang teh menghijau tersusun barisnya bagai diatur. Selepas itu, kira 45 minit di perjalanan, kami dapat lihat dari jauh Gunung Fuji diselaputi salji, yang sangat klasik semasa melepasi bandar Shin Fuji. Sementara semasa berhenti di Odawara, kelihatan banyak gadis berpakaian kimono untuk menghadiri graduation day. Nampak sangat jelita dan anggun, tanpa sedikit pun rasa segan dan silu. Kalau di Malaysia sudah pasti tidak pernah dapat dilihat remaja berpakaian songket naik bas, keretapi atau kapalterbang. Memang suatu yang sangat janggal jika adapun – bukan kebiasaan dan kurang sesuai kerana cuaca yang panas pula tu. Tapi yang lebih penting kita tidak pernah diajar bangga dengan budaya kita yang agong. Keagongan budaya kita hanya pada saat dan ketika tertentu sahaja, bukan sesuatu yang membudaya dalam hidup.

No comments:

Post a Comment