Sunday, February 10, 2019

KAJI SELIDIK PETANI 24 DIS -26 DIS 2018 (1)


HARI 1:  24 DISEMBER 2018
ALOR SETAR  - SAMNAK OK (BUKIT TEBUK) - PATTANI 
BAHAGIAN 1

Semua ahli kaji selidik di Ban Prakop
8.30 pagi:
Pagi yang dingin tapi cerah, selepas semua peserta berkumpul, taklimat perjalanan disampaikan oleh  Dr Kasri Saidon. Kemudiannya diselaraskan pula semua tuagasan bagi setiap jawatan kuasa.  Alhamdulillah, daripada laporan ketua-ketua AJK, semua tugasan sudah diselesaikan. Kecuali ketua bahagian hadiah Dr Ismail tidak dapat dihubungi. Jadi urusan hadiah diambil alih oleh Dr Ibrahim Bakar, iaitu membawa Buku Attarikh Salasilah Negeri Kedah sebagai hadiah dan cenderamata semasa lawatan kajian. Kos akan dibiayai oleh PSMCK. Selepas selesai taklimat dan penyelarasan tugas, ahli kumpulan kaji selidik, sudah siap siaga untuk memulakan perjalanan.   Kemudiannya,  doa dibacakan oleh Dr Ibrahim Bakar, dan kami pun memulakan perjalanan dengan ucapan Bismillaa hirrohmaa nirrohiimmm.

9.00 pagi:
Anggota rombongan kaji selidik seramai 12 orang semuanya. Kami menaiki dua buah van iaitu van sumbangan dari Muzeun Negeri Kedah dan Perbadanan Perpustakaan Negeri Kedah. Van akan menghantar kami hingga ke sempadan, kemudian kami akan bertukar van di sempadan, untuk meneruskan perjalanan di Thailand. Dengan penuh syukur dan bersemangat kami bertolak ke sempadan Durian Burung. Cuaca pagi itu sungguh elok. Awan kelihatan kebiruan, cuaca cerah dan terang. Di kiri kanan jalan kelihatan padi menghijau bagaikan permaidani gebu yang terhampar luas. Cantik dan menyejukkan mata memandang.

10.00 pagi:
Alhamdulillah, kami sampai di sempadan  Durian Burung dengan selamatnya. Suasana pagi  masih segar dan nyaman. Keadaan di sempadan agak tenang kerana pelancong yang akan ke Thailand tidak ramai. Deretan kereta yang menunggu untuk urusan Imegresen juga tidak banyak. Alangkah leganya kami disambut mesra dan  dijemput oleh Hj Ramli Apirat Pegawai Pengiring kami, di Banprakop sempadan  di sebelah Thailand.  Segala urusan cop passport, telah diaturkan jadi sungguh pantas, sekejap saja kesemua 12 orang peserta rombongan telah dapat melintas sempadan Malaysia Thailand. Selepas bertanya khabar dan bergambar kenangan, Tuan Haji Ramli memberikan taklimat ringkas tentang perjalanan yang akan dilalui untuk kajian di hari pertama. 

11.00  pagi:
Dalam dingin pagi di negara gajah putih ini, dua buah van yang disewa khas  bergerak dari Banprakop meredah lebuh raya. Di kiri kanannya masih hutan tebal. Kami dapat lihat perbezaannya dengan Malaysia, walaupun jalan bengkang  bengkok, tapi ia bertaraf lebuh raya 4 lorong. Barangkali Thailand sudah bersedia untuk menambah laluan masuk di Durian Burung ini untuk mengelak kesesakan trafik di Bukit Kayu Hitam yang sangat sibuk dan sesak. Terasa seperti di pihak Malaysia masih kurang bersedia dan kurang perancangan untuk laluan baru ini, alangkah ruginya jika peluang ini tidak digunakan, nampaknya Thailand akan mengaut keuntungan besar seperti apa yang telah berlaku di Pekan Danok yang jauh lebih maju dan terancang daripada Pekan Bukit Kayu Hitam, yang suram dan kurang meriah. Sungguh amat jelas, kita Malaysia kurang menggunakan peluang perniagaan di Durian Burung sempadan Malaysia Thailand yang baru ini, untuk perkembangan industri pelancongan. Alangkah malangnya. 

Sesi temubual dengan informan Haji Ramli  di rumahnya

Sambil melayan fikiran van kami terus meluncur ke destinasi yang dituju iaitu Daerah Samnak Ok. Di situ kami akan meninjau laluan tradisi dari Padang Sanai Kedah melintas sempadan Bukit Tebuk menuju ke Thailand di daerah Samnak Ok. Alhamdulillah kami selamat  sampai di Ban Thung Sai Chee atau Kampung Padang Jerai Kunci. Pertemuan telah diaturkan dengan seorang imforman bernama Haji Ramli bin Sulong yang tinggal di hadapan masjid kampung itu.

12.00 tengah hari:
Dalam temu bual itu menurut  Hj Ramli bin Sulong (70 tahun), kampung mereka tidak jauh dengan sempadan Malayisa. Pada zaman dulu-dulu, mereka masih boleh mendengar suara azan dari sebelah kampung di Malaysia. Kg Padang Jerai Kunci ini dibuka oleh mereka sejak berpuluh tahun dahulu. Mereka diberikan tanah yang diusahakan sebanyak 20 hektar seorang. Kebanyakan mereka menanam getah sebagai sumber mata pencarian sehinggalah sekarang. 

Menurutnya lagi dulu mereka sering berulang-alik dari Thailand ke Malaysia melalui Genting Pahat. Mereka berjalan  melalui kebun getah kemudian terus sampai ke sempadan dan masuk ke Malaysia. Orang Malaysia juga sering menggunakan laluan yang sama mengunjungi mereka di sebelah Thailand pada waktu dahulu. Oleh kerana jarak yang tidak begitu jauh, sering juga mereka terdengar bunyi kokok ayam dari kampung-kampung di sebelah sempadan Malaysia. Kami sungguh rasa teruja mendengar cerita itu. Alangkah terasa dekatnya hubungan masyarakat Thailand dan Malaysia. Melihat riak muka Haji Ramli dan kebanyakan jirannya yang turut hadir meraikan kami, sungguh amat terasa banyaknya  kesamaan mereka dengan masyarakat Melayu di Kedah. Melihat susuk tubuh dan raut muka, warna kulit dan cara berpakaian serta lenggok pertuturan mereka, amat dirasakan kesamaan yang ketara sebagai satu rumpun bangsa Melayu. Tambah lagi dengan melihat budi bahasa melayan tamu,  dan menyajikan air dan makanan seadanya, sungguh amat terasa seperti berada di kampung sendiri. Begitulah satu rumpun bangsa yang melalui sejarah silam, dipisahkan menjadi  masyarakat dua negara.

Berjalan ke kawasan Bukit Tebuk atau Genting Pahat
12.45 tengah hari:
Selesai temu bual dengan penduduk kampung di situ, kami kemudiannya memulakan perjalanan menuju ke Genting Pahat atau dikenali juga sebagai Bukit Tebuk. Dengan bersemangatnya kami mula berjalan ikut lorong dalam kebun getah. Kononya jarak ke sempadan Genting Pahat itu tidak jauh, jadi walaupun kebanyakan kami warga emas, kami sanggup berjalan ke situ. Tapi setelah berjalan agak jauh, dan bertanya khabar dari penduduk yang lalu lalang di situ, mereka menasihatkan kami untuk pergi ke situ dengan menaiki van, jadi kami pun menuggu van  yang disewakan berharga TB 500, membawa kami ke destinasi yang dihajati. Rupanya perjalanan kami ditakdirkan menaiki van pacuan 4 roda. Alangkah mencabarnya laluan lorong yang sempit, ada kalanya  yang curam dan licin yang kami tempuhi itu. Menempuhi perjalanan itu barulah kami tahu bukanlah dekat sangat sempadan Bukit Tebuk itu, untuk kami sampai dengan berjalan kaki. Walaupun jaraknya lebih kurang 2 kilometer, tetapi laluan itu tidak sesuai untuk pergi ke situ dengan berjalan kaki, terutamanya bagi kami yang sudah lanjit usia. Terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan kepada Haji Ramli Apirat yang menyewakan van pacuan 4 roda untuk kami. Kami sungguh terhutang budi kepada pemandu pacuan 4 roda yang memandu dengan cekap dan hati-hati sehingga kami sampai di Genting Pahat. Ada kalanya terasa seperti berada dalam filem National Geografik kerana laluan yang sungguh mencabar. Kami melalui jalan yang sempit, bukit yang curam berlumpur dan licin serta muatan yang ramai. Terasa berdebar-debar juga kami sehingga ada antara kami yang terpaksa turun, untuk membolehkan van terus bergerak di tempat yang curam lagi licin.

Sambil mendengar penerangan dalam perjalanan ke Genting Pahat
Akhirnya kami sampai di sempadan Bukit Tebuk di sebelah Thailand. Dr Kasri dan semua ahli kaji selidik, sangat gembira dan sungguh berpuas hati kerana hajat untuk meninjau sempadan Bukit Tebuk tercapai. Beberapa orang anggota yang telah membuat kajian di sebelah sempadan Malaysia, dengan gembiranya menunjukkan pokok besar yang ditandakan sebagai sempadan. Mereka telah berjaya menjejak sempadan dari dua negara Malaysia dan Thailand. 

Kawasan ini dahulunya menyimpan sejarah menjadi laluan ekonomi masyarakat kedua-dua negara untuk berulang-alik bagi aktiviti perniagaan. Masyarakat Thailand membawa barangan untuk berjualan di sebelah Malaysia, begitu juga masyarakat Malaysia, turut menjalankan urusan perniagaan dengan masyarakat di Thailand sejak sekian lama. Di samping aktiviti-aktiviti ekonomi, kawasan ini juga menjadi laluan sosial yang menghubungkan masyarakat yang mempunyai pertalian keluarga dan  pertalian sosial yang terjalin sejak sekian lama juga. Ini sejarah silam yang tersimpan dalam lipatan sejarah masyarakat setempat. 


Melihat denai laluan gajah purba yang dijejaki
Laluan purba yang yang bersejarah
Seterusnya jika ditinjau jauh lebih lama lagi, laluan ini juga menjadi saksi kepada aktiviti yang lebih besar. Inilah laluan yang pernah dilalui oleh rombongan YTM Sultan Ahmad Tajuddin  Raja yang memerintah  negeri Kedah untuk perjalanan ke Bangkok. Mereka menaiki gajah dan melalui denai atau jalan gajah untuk perjalanan pergi dan balik ke Bangkok, seperti yang tercatat dalam Kitab Attarikh Salasilah Negeri Kedah. Alangkah terharunya kami. Inilah jalan yang menghubungkan Sultan negeri Kedah dengan Raja Thailand di Bangkok. Dapat dibayangkan bagaimana laluan itu menjadi sungguh bersejarah kerana Tuanku Sultan bercemar duli melalui denai ini, bersama-sama dengan ahli-ahli rombongan diraja. Sudah tentulah ahli rombongan jumlahnya ramai, termasuk pembesar-pembesar, pengiring, petugas dan rakyat jelata yang turut serta.  Sudah tentulah denai ini mencatat sejarah agungnya yang tidak akan dilupakan. Kami rasa sungguh bersyukur dapat menjejaki laluan purba ini. Sungguh bersyukur kerana dipertemukan laluan ini walaupun susah dan dengan agak sukar sekali, alhamdulillah. Tahniah kepada Biro Kaji Selidik PSMCK yang berusaha untuk mengimbau sejarah silam ini.

2.30 petang:
Sebelum meninggalkan laluan bersejarah itu, kami berhenti singgah  sekejap di Masjid Nurul Huda Kg Padang Jerai Kunci itu. Kami tertarik untuk merakamkan gambar masjid itu yang masih mengekalkan tulisan jawi di Papan tandanya. Selepas meraikan kejayaaan menemui jalan denai laluan purba, kami pun beransur meninggalkan denai bersejarah itu lebih kurang jam 2.30 petang.  Letih memang letih. Panas dan dahaga tidak tak payah kata. Namun demi cintakan sejarah semua kami sungguh bangga dan lega. Syukur tidak terkira. Alhamdulillah untuk menjimatkan masa, kami makan roti lapik perut seadanya di atas van dalam perjalanan ke Yala.  Kami akan makan tengah hari di Yala, dijemput oleh sebuah Pesantren  yang berbesar hati untuk memberikan makan tengah hari. Alhamadulillah. 
Bersedia meneruskan perjalanan lagi




No comments:

Post a Comment