Sunday, August 29, 2021

SEMUA SAMA CERITA

Mulai bulan Mei 2021, ada bibik baru pula membantu menjaga emak yang tidak sihat. Ini bibik yang ketiga. Aku sudah tak kuasa lagi, memang terpaksa menyimpan bibik untuk bantu urus orang sakit. Lemas memang lemas. Rimas pun ada dan terganggu lagi ada. Apa kan daya sudah suratan takdir relakan saja. Allahu Robbi, Allah maha mengetahui akan segalanya. Waufawwi dhu amri ilallah, innallahha basiirul bil ibaad.  

Setiap hari dengar cerita yang sama, banyak hutang, orang minta hutang, orang tak bayar hutang, dan hampir selalu orang telefon tanyakan kot-kot boleh diberi sedikit hutang. Tak faham betul masyarakat depa ni. Manusia macam mana kehidupan mereka, sehingga semuanya nak berhutang. Dulu pun bibik yang sebelum ini juga bawa cerita yang sama. Setiap bulan kirimkan wang gaji untuk bayar hutang, hampir setiap bulan. Kerja dapat gaji bayar hutang, bayar hutang dan bayar hutang. Setahun kerja bayar hutang saja setiap bulan. 

Kemudian adik kakak di Indon bila tak ada nak makan, pergi pinjam duit, bibik pula kena bayar hutangnya. Kakak nak kahwin pinjam duit buat kenduri kahwin bibik juga yang kena bayar. Suami kakak tak kerja, hutang lagi, telefon minta bibik bayarkan. Kakak nak beranak bibik juga bayarkan hutang yang kakak ambil dari jiran dan saudara. Bapa mati buat kenduri tujuh hari, pinjam wang saudara, bibik hantar lagi duit untuk bayar hutang. Kononnya bapa berhutang semasa hidupnya, bibik juga sediakan duit buat bayar hutang bapa kononnya.

Yang sekarang pula, anak nak sekolah hutang beli baju, dan hutang beli segala persediaan masuk pesanteren. Lepas tu bayar hutang yuran persekolahan pula. Aduh hutang apa ni macam-macam hutang. Pening dengar cerita hutang. Lepas tu hutang pula nak beli motor buat anak yang tengah, guna untuk berulang alik ke kedai dan tengok adik di sekolah. Aduh anaknya tak ada kerja, tapi nak pakai motor juga, betul-betul  menghabiskan duit bibik. Anak yang sulung pula hutang nak beli kebun pinang, bibik juga yang bayarkan. Bekas suami nak raya tak ada duit minta hutang dengan bibik juga. 

Begitulah cerita bibik dengan hutang mereka, memang tak faham. Budaya tak sama cara hidup tak sama, tapi berhutang itu tidak baik, berhutang itu menyusahkan, memang suatu nilai yang sama. Ada telinga dengarkan saja jangan masuk dalam kepala. Ya Allah Engkau maha mengetahui apa sebenarnya cerita mereka. Semua mereka datang dari negeri yang sama dan membawa cerita yang sama saja, Barang kali itu satu retorik meraih simpati, aku pun tidak tahu. Ya Allah bantulah mereka, tunjukki mereka  jalan yang benar, beri hidayah kepada mereka.

 

No comments:

Post a Comment