Thursday, August 26, 2021

MUSIBAH ZAMAN COVID

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasihani. Ya Allah kami tahu kami sangat dhaif dan tidak berdaya. Kami tahu kami banyak dosa. Malah ada antara kami yang masih belum sedar-sedar juga. Barang kali kerana itulah Engkau jentik hati-hati kami dengan covid 19, supaya kami tahu diri dan kembali bertaubat, supaya kami kembali kepadaMu yang maha pencipta, yang maha menentukan segalanya. Kami dikenakan PKP, Perintah  Kawalan Pergerakan, tapi sebenarnya jika direnung sedalam-dalamnya sebenarnya Engkau kenakan Perintah Kembali ke Pencipta. 

Ya Allah, ya Rahman ya Rahiim, Engkau sebenarnya mahukan kami lebih dekat denganMu. Engkau sebenarnya mahu kami merintih dan merayu kepadaMu. Untuk yang berfikir sebenarnya itulah jalanNya. Jadi Engkau yang menentukan covid 19 ini melanda kami, tidak lagi mengangkat covid 19 ini dari kami. Sebenarnya menghilangkan wabak ini jika Engkau mahu boleh terjadi sekelip mata sahaja, segalanya amat mudah bagi Mu "kun fa-yakun". Tapi Engkau masih mahu menguji kami, kami redha ya Allah.

Maka terus berleluasalah covid ini. Kononnya untuk membendungnya, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan lepas satu fasa ke satu fasa,  PKP, PKB (Bersyarat), PKD (Diperketat), PKPP (Pemulihan). Lepas sebulan ke sebulan, lepas setahun ke setahun, dari tahun 2020 hingga sekarang 2021 sudah masuk bulan Ogos, sudah hampir dua tahun. Maka apa daya kita lagi, cuma berdoa dan bermunajat, bermohon seikhlasnya supaya Allah yang memberikan penyakit, Dialah juga yang akan menyembuhkan penyakit. Itulah harapan kita, jadi mari kita banyakkan bertaubat, jangan tinggal sembahyang,  banyakkan membaca Al-Quran, banyakkan bersedekah dan mengingat Allah setiap masa dan ketika. Yakinlah hanya dengan cara kembali ke Allah, kita akan dibantu Allah untuk pulih semula, in sya Allah.

Musim covid ini ramai orang hilang pekerjaan, ramai orang hilang orang tersayang tempat bergantung harapan, ramai yang hilang kaum keluarga. Semuanya amat memilukan, Segalanya menjadikan perasaan masing-masing tertekan. Tertekan hilang pekerjaan, tertekan rugi dalam perniagaan, tertekan bebanan hutang, dan tertekan hilang kaum keluarga. Semuanya menjadikan manusia semakin hilang punca. Ada yang bergaduh, ada yang hutang sana sini, yang teruk lagi ada yang dalam kesusahan ditekan along  pencekik darah. Jadi ada yang bergaduh suami isteri, tipu sana sini, malah ada yang bercerai berai laki bini, sehingga anak-anak menjadi mangsa keadaan ini. Ini amat memilukan hati. Ini amat menyedihkan sekali.

Ya Allah tolonglah kami berilah kami kesabaran menghadapi musibah ini. Berilah kami pertuntuk jalan yang benar. Bimbinglah kami supaya semakin dekat denganMu dalam menghadapi musibah ini. Bimbinglah kami supaya dapat bersabar dan redha dengan segala pemberianMu, walaupun kelihatan sangat berat di mata kami, tapi kami sangat yakin mesti ada kebaikan yang Engkau telah sediakan kepada kami in sya Allah. Ya Allah janganlah Engkau uji kami dengan ujian yang tidak tertanggung oleh kami. Bantulah kami, bantulah kami, bantulah kami ya Allah. Aamiin.

No comments:

Post a Comment