Sunday, June 10, 2018

DAY 7 18 APRIL18 RABU: DUBROVNIK (CROATIA) - PLOCITEJL - BLAGAJ - MOSTAR (BOSNIA)


DAY 7: 18 APRIL 2018: RABU
DUBROVNIK (CROATIA) - PLOCITEJL  - BLAGAJ - MOSTAR
(BOSNIA)
 
Dubrovnic Port yang cantik
Di Balkoni Adria Hotel selepas sarapan
Pelabuhan Dubrovnik yang kelihatan indah
Pagi di Dubrovnik yang dingin dimulakan dengan sembahyang subuh di bilik mesyuarat Hotel Adria tepat jam 5.30 pagi. Alhamdulillah syukur padaMu Ya Allah dapat kami berjemaah di bumi Balkan ini bersama-sama. Engkau takdirkan kami sama-sama menunaikan tanggung jawab kepadaMu Ya Allah, bersama-sama rakan sejemaah dari tanah air tercinta. Semoga dengan ini Ya Allah Engkau pelihara perjalanan kami yang masih berbaki. Semoga dengan ini ya Allah Engkau kembalikan kami kepada kaum famili kami yang kami kasihi, aamiin Ya Allah.
Seperti biasa jam 7.00 pagi kami bersarapan ala Inggeris - roti, biskut, cereal,  buah-buahan dan minuman. Bersama kami pagi itu ada satu lagi kumpulan  dari Malaysia yang menghadiri Persidangan Juru Ukur (Surveyer) di Dubrovnik. Seperti biasa jam 8.00 pagi Mr Berto siap sedia membawa kami meneruskan perjalanan pagi ini ke Mostar Bosnia. Perjalanan ke sempadan Bosnia cuma satu setengah jam sahaja. Dan lebih kurang jam 9.15 pagi, kami melalui Imegresen Croatia dengan mudah, kerana kebetulan pegawai bertugas itu kawan Mr Berto. Alhamdulillah Allah permudahkan kami dengan nikmat yang tidak diduga. 

Pemandangan di Croatia sebelum tiba di sempadan

 
Pemandangan indah di Bosnia dari bas
Selepas itu kami melalui jalan di tepi pantai negara Bosnia sepanjang lebih kurang 10 kilometer sahaja. Kemudian kami tiba di sempadan, masuk semula ke negara Croatia, kemudian keluar Croatia dan masuk semula ke Bosnia. Dalam perjalanan ke Blagaj untuk makan tengah hari, lebih kurang jam 12.15 tengah hari kami singgah sebentar Plocitel, suatu perkampungan zaman Othmaniah di kawasan pergunungan, yang telah lama ditinggalkan sejak kurun ke-15 lagi.  Kami dapat lihat kawasan perkuburan yang agak luas di atas bukit dengan jelas. Dapat dibayangkan dahulunya kawasan ini memang suatu kawasan yang maju dan ramai penduduknya. Masih ada lagi kesan-kesan runtuhan bangunan tinggalan zaman kegemilangan Islam di atas bukit yang dapat kami lihat. Kemudiannya kami meneruskan perjalanan ke Blagaj. 

Bergambar kenangan di Blagaj selepas makan tengah hari
Membelakangi Buna Spring yang nyaman di Blagaj
Di restoren menunggu hidangan disajikan
Kami sampai  di Blagaj lebih kurang jam 1.40 tengah hari untuk makan tengah hari di sebuah retoran di tepi sungai. Menurut kak Zaharah Flyworld telah menempah tempat di restoran itu sejak lebih setahun yang lalu. Memang ramai sungguh pengunjung makan tengah hari bersama kami. Sambil menunggu hidangan, kedengaran bunyi deruan air sungai yang kuat bagai alunan musik yang mengasyikkan. Airnya yang laju itu kelihatan kebiruan, dihiasi pula dengan buih-buihnya yang putih di beberapa tempat jeram air terjun, yang merupakan suatu lakaran alam yang sungguh indah, hadiah Allah kepada makhluknya. Sungguh cantik dan nyaman, bumi ciptaan Allah ini. Maha suci Allah yang telah mengizinkan kami dapat sampai ke situ, dan menikmati nikmat Allah yang tak terhinggakan. Tak lama selepas itu kami disajikan makanan. Menu kami seperti biasa sup dan roti, nasi daging bakar, dan pencuci mulut baklava.
  
Pusat Islam Tekija,tingkat bawahnya musolla, tingkat atas perpustakaan
Berlatar belakang tanah perkuburan
Kemudian  kami solat jamak zohor asar, di Pusat Islam Tekija yang terletak di kaki bukit berhampiran jeram air terjun Buna Spring yang nyaman tidak jauh dari restoran itu. Ruang surau tempat solat lelaki dan wanita di tingkat bawah walaupun terpisah,  agak selesa. Di tingkat atasnya pula adalah bilik perpustakaan dan tempat mengaji pelajar-pelajarnya. Selepas melawat-lawat di Pusat itu, kami mula beredar, berjalan keluar ke tempat bas menunggu kami di hadapan sebuah pusara yang agal luas juga. Selesai makan dan solat kami meneruskan perjalanan ke Mostar Bosnia. Di kiri kanan jalan kelihatan ladang-ladang anggur yang luas yang baru saja mengeluarkan tunasnya selepas musim sejuk berakhir.

Menuju Mostar Old Town, membelakangi bangunan kesan tembakan perang
Di atas  Old Bridge merentasi Sg Neritva
Gerai-gerai di Old Town
Akhirnya lebih kurang jam 4.00 petang kami sudah mula berjalan menapak kaki melawat Bandar Tradisi Mostar (Mostar Old Town). Sambil berjalan kami dapat lihat kesan-kesan perang, di dinding-dinding bangunan yang ditembusi peluru-peluru. Alangkah ngerinya membanyangkan bunyi tembakan  semasa musim perang itu, tapi itulah hakikat  sejarahnya yang kesannya dapat kami lihat dengan mata kepala kami sendiri. Masya Allah,  subhaanallah, maha suci Allah yang maha menentukan segalanya. Perjalanan kami  petang itu, diiringi  bunyi deruan air sungai, bagai musik alam yang menyamankan, lagi mengasyikkan di bumi balkan ini.
Kemudian kami melintasi  sebuah gereja terbesar di Mostar, di tiang menaranya tertulis "Pillar of Peace". Terasa di dalam hatiku semuanya sandiwara saja, kalau tidak masakan berlaku peperangan antara orang Islam dan orang Kristian di neageri-negeri Balkan. 

Gerai-gerai Old Town
Menunggu makan malam Di Restoran Libirint

Kami memasuki Mostar Old Town, meninjau-ninjau Old Bazaar. Di kiri kanan jalan banyak gerai-gerai berjualan cenderamata, makanan, kopi, baju, selendang dan lain-lain lagi. Kami melalui Main Hammam iaitu Muzeum Mostar, tapi kami tidak berkesempatan melawat ke dalamnya kerana sudah tutup. Sedang kami berjalan, tidak sedar sudah masuk waktu Asar. Masya Allah alangkah syahdunya mendengar azan berkumandang di Mostar Bosnia. Kami berhenti sejenak menjawab azan  semasa berada di atas Old Bridge yang merentasi Sungai Neritva, yang air sungainya deras dan kedengaran menderu-deru. 

Membelakangi Old Bridge
Sepanjang berada di Mostar Old Town, kami diingatkan supaya berhati-hati kerana ramai peminta sedekah yang beroperasi melalui sindiket memperalatkan kanak-kanak, dan ramai juga penyeluk saku yang perlu diawasi. Alangkah terasa malunya kerana yang meminta sedekah itu kebanyakanya orang Islam yang kelihatan dhaif dan tidak terurus pula. Pada petang itu sambil membeli belah, ramai juga kelihatan orang-orang Malaysia yang melancong seperti kami. Sempat juga kami bertanya, mereka datang dari Kuala Lumpur. Sementara menunggu makan malam kami bersantai memanaskan badan minum kopi di tepi sungai Neritva sambil menikmati pemandangan dan melihat-lihat pengunjung bazaar dengan pelbagai ragam yang tersendiri.

Orang-orang kuat bersama Mr Liere
Sambutan hari jadi di Restoran Libirint Mostar
Seterusnya kami berkumpul di Restoran Libirint, untuk makan malam sebelum chekin di  hotel. Rupanya selepas makan sup dan roti, kami dikejutkan dengan dengan acara sambutan harijadi untuk jemaah kami iaitu, Dato Mokthi, En Nasaruddin, dan Puan Hashimah. Di samping itu kami turut meraikan Dr Zarina menyambut hari ulang tahun perkahwinannya. Alhamdulillah, kami semua dapat makan kek hari jadi dengan izin Allah. Syukur Ya Allah, Alhamdulillah, terima kasih Flyworld, terima kasih Kak Zaharah yang menguruskan dengan amat bagus sekali. Allah saja layak membalasnya. Kemudian kami terus ke Hotel Bristol untuk berehat mengumpulkan tenaga yang sudah banyak terhabiskan. Alhamdulillah semoga esok ditakdirkan yang lebih baik buat kami sekumpulan, insyaaAllah.









No comments:

Post a Comment