17 APRIL 2018: SELASA
SHKODER (ALBANIA) - KOTOR (MONTENEGORO) - DUBROVNIK (CROATIA)
Kami terus chekout seawal jam 7.00 pagi. Kemudian menikmati sarapan pagi di Coffee-house. Sajian makanan pagi itu seperti biasa, pelbagai jenis roti, biskut dan cereal, pelbagai jenis cheese dan jem, pelbagai jenis buah-buahan serta minuman. Kami makan secukupnya untuk mengalas perut kami hingga ke tangah hari. Alhamdulillah tepat Jam 8.00 pagi, Mr Berto terus memulakan perjalanan dengan senyumannya.
Memulakan perjalanan, kami rasa terkilan juga, kami tidak sempat melawat Old Town Of Shkodra. Tapi dalam perjalanan meninggalkan Shkoder pagi itu, kami dapat juga menikmati pemandangan sekitar bandar Shkoder. Kelihatan juga Sungai Buna airnya mengalir deras, menghiasi bandar yang kami tinggalkan itu. Semasa kami melepasi sungai itu dapat dilihat di kiri kawasan bukit bukau, dan di sebelah kanannya terdapat ladang-ladang anggur dan tanaman bijirin yang menghijau. Ditunjukkan juga kepada kami Rozafa Castle yang menjadi legenda itu, tegap berdiri megah menyembunyikan pelbagai cerita sedih di sebaliknya. Kami juga melalui sebuah pekan kecil Oblika. Menurut MR Liere orang di situ hidup terpisah, di satu kawasan penempatan menempatkan orang-orang Islam yang tinggal di apartmen, manakala di kawasan lain tinggal orang katholic di kawasan perumahan. Alangkah bahagianya di tanah airku Malaysia, tidak ada pun pemisahan dan perbezaan begitu rupa.
Dalam cuaca mendung dan tidak kelihatan cahaya matahari pagi itu, Seawal jam 9.00 pagi kami sudah berada di sempadan untuk ke Kotor Montenegoro. Negara ini mendapat kemerdekaan pada tahun 2006 dari Serbia, dan mempunyai penduduknya lebih kurang 2 juta orang. Sebahagian besar penduduknya lebih kurang 70 peratus beragama Kristian, sementara 30 peratus penduduk pula beragama Islam yang berasal dari Albania.
Kami semakin jauh meninggalkan border, semakin dekat menuju ke bandar Kotor. Mr Berto membawa kami mengikuti jalan pintas. Di kiri kanan jalan yang agak sempit, kelihatan bukit bukau yang batu-batannya berwarna hitam pekat dengan terdapat sedikit pokok yang baru mengeluarkan pucuk, kerana musim sejuk baru saja berlalu. Sesekali kelihatan kumpulan rumah-rumah petani, nun jauh sayup-sayup di lereng bukit. Masa ini mereka baru lepas membajak tanah untuk bercucuk tanam.
Selepas itu dalam lebih kurang jam 10.30 pagi kami sampai ke suatu kawasan perumahan. Kami dapat lihat pemandangan rumah-rumah yang padat didirikan di lereng-lereng bukit mengunjur ke Laut. Pemandangan itu sungguh indah dan unik, dan itulah keistimewaan bandar di Montenegoro yang sedang kami lawati. Kami melewati bandar Tivar. Didapati bandar ini penuh dengan rumah-rumah flat dan apartmen berwarna putih di kiri kanan jalan. Ia dihiasi dengan barisan pokok pine tersusun indah yang mengindahkan pemandangan di kawasan itu.
No comments:
Post a Comment