Friday, June 1, 2018

DAY 5 (1) 16 APRIL: PRIZREN - FIERZE - LAKE KOMAN - SHKODER


16 APRIL 2018: ISNIN
PRIZREN (KOSOVO) - FIERZE - LAKE KOMAN - SHKODER (ALBANIA)

Pagi itu di Prizren cuaca sungguh sejuk. Seawal 5.00 pagi kami sudah berkumpul di Lobby untuk bergerak ke Masjid Sinan Pasha. Kami menyusuri jalan berbatu batan di Prizren Old Town itu, dalam kegelapan pagi diterangi lampu jalan yang suram, sambil menikmati udara dingin  yang sejuk terasa hinga ke tulang. Tapi suasana pagi itu disulami dengan bunyi air sungai yang menderu-deru bagai musik alam mengiringi perjalanan kami ke masjid di negeri Kosovo ini. Kami sampai di masjid pegawai masjid belum tiba lagi. Jadi kami  solat sunat tahiyyatul masjid dan solat sunat subuh di foyer, kerana pintu masih belum dibuka. Jam 5.30 pagi barulah kami dapat masuk ke masjid yang tersergam indah itu. 
Lama kami menunggu Imam untuk berjemaah solat subuh, selepas beberapa ketika azan berkumandang. Di bumi Balkan ini sudah tiada orang yang menjadi muazzin melaungkan azan. Penduduk di Prizren ini  ramai juga lebih kurang 70 ribu orang. Namun mereka membuka kaset rakaman laungan azan bila masuk waktu solat. Itulah yang kami saksikan pada pagi yang nyaman dan syahdu, dengan campuran pelbagai perasaan terharu, sedih dan gembira. 

Terharu sebab kami telah menyaksikan Allah telah takdirkan mereka kembali mendapat syiar Islam setelah sekian lama mereka dinafikan daripada mengamalkan sebarang ajaran agama Islam sebelum mereka merdeka pada tahun 2008. Alangkah  bertuah dan bersyukurnya kita ke hadhrat Ilahi, kita tidak pernah dihalang daripada mengamalkan ajaran Islam yang agong. Maha suci dan maha pengasihnya Engkau Ya Allah, Alhamdulillah. Terasa sedih pula  melihat masjid yang tersergam indah itu didatangi oleh hanya beberapa orang tempatan untuk berjemaah solat subuh pagi itu di Prizren. Penduduk di situ banyak orang Turki dan banyak masjid dibina dan dibiayai aktivitinya oleh orang-orang Turki kerana Kosovo sebuah negeri kecil yang agak miskin.  

Dan kami sungguh rasa gembira kerana kesemua 33 orang anggota rombongan telah dapat mengimarahkan masjid pada pagi itu berjemaah dengan penduduk tempatan yang berjumlah tidak lebih daripada 10 orang termasuk kanak-kanak peminta sedekah. Dan yang lebih gembira lagi kerana seorang ahli jemaah kami, telah diminta menjadi imam subuh, kerana Imam Besar dari Turki tidak dapat hadir solat di masjid pagi itu. Maka jadilah papa imam di masjid Sinan Pasha pagi itu. Berkumandanglah surah Al-Buruj yang dibaca papa di bumi Kosovo pagi itu.  Kami amat bersyukur, kami sungguh tersentuh hati dan terharu kerana walaupun rakyat Islam cuma sedikit tapi syiar Islam masih dapat dirasakan. Sungguh syahdu, berjemaah subuh di bumi Balkan berimamkan imam dari Malaysia, papalah orangnya. Sungguh amat dirasakan kebesaranMu ya Allah, Engkau yang menentukan takdir segalanya. Subhanallah, alhamdulillah.
Memulakan perjalanan menuju ke bas untuk musafir lagi




Seperti biasa kami makan jam 7.30 pagi di Hotel Centrum itu: pelbagai jenis roti, bijiran, dan buah-buahan. Alahamdulillah ia akan tahan sampai ke tengah hari insya Allah, kerana hari ini kami akan ke Fierze dan Shkoder Albania. 

Kami meninggalkan Prizren Kosovo, dalam kedinginan kerana pagi itu cuaca agak mendung dan hujan renyai-renyai pula. Barangkali alam juga dapat merasakan hati kami yang masih belum puasa kerana tidak dapat melawat Prizren Old Town sepuasnya kerana sampai lewat kelmarinnya dan pagi-pagi ini kami bertolak keluar di awal pula. Deruan air sungai yang kuat itu seolah-olah melambai-lambai  kami  yang akan meninggalkan Prizren untuk meneruskan perjalanan yang panjang lagi ke Fierza untuk mengalami suatu pengalamam baru Lake- Cruise di sana.


No comments:

Post a Comment