Friday, June 1, 2018

DAY 5 (2) PRIZREN - FIERZE - LAKE KOMAN - SHKODER


16 APRIL 2018: ISNIN
PRIZREN - FIERZE - LAKE KOMAN - SHKODER

Membelakangi Hotel CentrumPrizren Kosovo sebelum menaiki bas
Segarnya buah-buahan.....
Dari Prizren Kosovo, tepat jam 8.00 pagi dalam hujan renyai-renyai Mr Berto membawa  kami untuk hari yang ke-5. Oleh kerana masih awal maka kami singgah di pasar pagi di Prizren tak jauh dari hotel. Alangkah seronoknya kami, dapat berkunjung ke pasar pagi-pagi begini. Kami jadi tak tentu arah tengok pelbagai jenis bunga yang cantik-cantik segar dan berwarna-warni. Pelbagai jenis pokok ceri, epal, peach, pokok plum, pokok zaitun dan sebagainya dijual dengan banyaknya. Pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran kelihatan sungguh segar.

Pelbagai jenis kekacang
Buah tomato kemerahan dan besar-besar tak pernah dilihat di Malaysia.  Begitu juga paprika dan cili semuanya besar-besar dan segar bugar, sungguh mengancam selera. Tidak ketinggalan juga dapat dilihat pelbagai jenis cheese dijual ditimbang kilo dengan banyaknya yang tidak pernah kami lihat. Pelbagai jenis cereal, kekacang dan jagung juga banyak dijual, walnut yang sangat mahal di Malaysia cuma 10 EURO sahaja di sana. Sungguh menggugat selera. Tapi apakan daya boleh dilihat sahaja kerana perjalanan kami masih lama lagi.

Kemudian kami  meniggalkan Kosovo meneruskan perjalanan kami ke Fierza Albania. Di situ terdapat tasik buatan yang terbesar di Albania, yang menjadi pusat janakuasa elektrik. Perjalanan kami melalui kawasan bukit bukau, dan kami masih dapat lihat Albanian Alps puncaknya masih diliputi salji. Oleh kerana perjalanan agak jauh kami berhenti sekejap dalam perjalanan di Celaku Club Yezerta untuk qadha hajat. Suasana sungguh sejuk, tambah-tambah lagi dalam cuaca hujan renyai-renyai menjadikan kami sangat terasa sejuk dan perlu berhenti juga.

Celaku Club
Jeti Fierza
Mula belayar di Lake Koman
Sebahagian pemandangan indah
Dalam pukul 1.00 tengah hari kami sampai di Fierza, di jeti untuk naik bot menelusuri Tasik Koman, tasik buatan terbesar. Bot yang kami tempah mula bergerak pada pukul 2.00 petang. Sambil makan tengah hari (sandwic air dan buah) kami menikmati pemandangan indah bukit bukau flora dan fauna di sepanjang tasik. Angin sepoi-sepoi bahasa menambah dingin suasana semasa di atas bot itu. Di kiri kanan tasik kelihatan berserakan rumah-rumah petani yang menghuni kawasan pergunungan itu untuk bercucuk tanam, dan penternakan binatang. Sesekali bot kami berhenti utnuk mengambil beberapa orang penumpang yang akan keluar ke Shkoder.    Oleh kerana kami berada 2 jam di atas bot itu maka kami pun  solat jamak zohor asar siap-siap di atas bot. 
Damainya alam citataan Tuhan untuk dinikmati

Mencari rezeki Di Lake Koman
Sebenarnya, 2 jam di atas bot menyusuri  Lake Koman tasik buatan terbesar di Balkan, tiadak banyak yang dapat kami lihat pada permulaan musim bunga ini. Tiada salji meliputi bukit bukau kerana musim sejuk baru berakhir dan tiada bunga yang kelihatan kerana masih di permulaan musim. Yang dapat kami nikmati ialah kehijauan pokok-pokok dan pelbagai jenis batu batan citaan Allah yang maha pencipta. Alhamdulillah kami hanya menikmati kehijauan pelbagai jenis pokok pine dan sebagainya yang tidak terdapat di Malaysia, di samping merasai nyamannya cuaca di bumi Balkan pada awal musim bunga, syukur alhamdulillah.
Menghampiri Jeti Lake Koman
Mendarat di Jeti
Sebelum menaiki van
Lebih kurang pukul 4 petang kami sampai di Koman. Dari jeti kami menaiki van dan sebahagian kami lagi menaiki coaster. Kami melalui suatu terowong yang sempit selama lebih kurang 5 minit, yang amat mencemaskan. Sempitnya terowong itu sehingga berselisih kereta pun perlu dilakukan dengan berhati-hati. Selepas terowong  itu kami munyusuri jalan-jalan yang sempit lagi bengkang bengkok di lereng bukit bukau yang curam yang amat mengerikan. Sungguh amat menakutkan apabila kami melihat ke bawahnya didapati gaung yang dalam. Kami hanya dapat berdoa, tapi alhamdulillah Allah hadiahkan kami seorang pemandu yang cekap dan cermat. Selepas melepasi jalan yang bengkang bengkok  itu dengan jayanya, kami singgah sebentar di sebuah pekan kecil sebelum sampai ke Shkoder. Kami amat bersykur atas nikmat Allah yang maha engasih, akhirnya kami sampai ke Shkoder dengan selamatnya. Syukur ya Allah, amat besar nikmatMu kepada kami di perantauan ini. 
Pemandangan dari bilik Hotel Rozafa
Lebih kurang jam 6.00 petang kami sampai di Rozafa Hotel Shkoder. Kami terus check-in, berehat sebentar dan terus berkumpul semula di lobi untuk berjalan ke restoran menikmati makan malam di Bekteshi Villa. Villa ini diubahsuai menjadi restoran berkonsep yang unik dan klasik pula. Semua hiasannya bertemakan barang koleksi antik pemiliknya yang disusun indah menghiasi ruang-ruang. Hidanganya masih menu yang sama sejak beberapa hari ini, sup dan roti, nasi dan daging goreng serta salad sayuran, diakhiri pemanis mulut baklava. Makanlah kami seadanya untuk menambahkan tenaga, alhamdulillah masih ada yang boleh dimakan dan masih ada selera untuk menikmati makanan walaupun sudah semakin disenangi tekak kami ini.

Jadi di Shkoder kami tidak sempat menikmati city-tour kerana sampai lewat petang.  Kami hanya mendengar cerita dongeng tentang Rozafa. Ia seorang wanita unggul yang menjadi mangsa korban. Pada zaman dahulu penduduk tempatan membina kota untuk membentengi kawasan kediaman, malangnya tembok yang terbina selalu saja roboh dan runtuh. Jadi mereka perlukan satu korban, dan Rozafa telah terpaksa dijadikan korban. Sehingga kini namanya menjadi legenda bagi bandar Shkoder, kerana kononnya dengan pengorbananya, selepas itu tembok kota tidak lagi runtuh. Wallahuaklam. Selesai makan kami terus merehatkan badan untuk berkumpul besoknya, jam 5.00 pagi bagi berjemaah di masjid Ebu Bekri Mosque di hadapan hotel itu.

 

No comments:

Post a Comment