Friday, March 6, 2020

TAKDIR YANG TERTULIS




Sejak emak sakit bermula 26 April 2016, sehinggalah dia dibawa balik ke rumah ku 1 Mei 2016, emak sudah tidak boleh berdiri, dan dia tidak boleh menggerakkan kaki dan tangan kirinya lagi. Puas aku cuba membantu emak untuk berdiri supaya dia boleh diajar berjalan semula, tapi tiada daya upaya aku. Kudrat aku seorang perempuan tidak kuat untuk memimpinmya. Aku menangis setiap hari mengenangkan aku tak berdaya membantunya. Mujurlah papa kuat memberi sokongan buat aku terus dapat bertahan.

'Jangan sedih, kerosakan otak mak teruk. Dia tak sama macam abah dulu, sikit ja pendarahan dia. Terimalah, dia akan begitu entah sampai bila. Jangan terkejut, dia bukan akan bertambah baik, tapi dia akan semakin menurun keadaannya. Kita kena bersedia, untuk apa sekali pun. Berdoalah yang baik-baik insyAllah, berserah sajalah, kita pun tak tau takdirnya, terimalah seadanya,tapi hidup mesti diteruskan.'

Mengenang kata-kata papa aku terus dapat bertahan dengan izin Allah, dan barangkali berkat doa yang tak pernah jemu-jemu dipohonkan pada setiap masa, aku dapatlah tenang bersama mak. Papa sentiasa membantu alhamdulillah, aku amat bersyukur semoga Allah berikan balasan yang setimpal untuknya. Dia menjadi pendengar yang setia, dan dia menjadi pendengar yang baik sehingga segala yang terbuku di hati dapat dileraikan. 
'Yang penting macam mana kita nak buat untuk memudahkan kita nak jaga mak.' 

Selepas itu papa lengkapkan bilik emak seperti bilik hospital kelas satu - beli katil hospital, dan pasangkan televisyen, supaya mak tak sunyi. Bilik along disusun dan diubahsuai menjadi seperti bilik wad kelas satu, kemas selesa dan cantik. Kasihan along sejak dari kecil dia sentiasa berkorban biliknya untuk orang lain. Teima kasih along anak yang sangat baik dan banyak berkorban. 

Di situlah kami berhimpun anak beranak untuk beramai dengan mak. Alhamdulillah hingga sekarang mak sudah hampir 4 tahun sakit stroke tapi dia masih boleh kenal dan ingat anak cucunya, dia masih boleh tidur lena dan dia masih seperti dia yang dulu, walaupun tak boleh makan solid food tapi dengan susu yang diberi dengan tiup, dia kelihatan sihatlah seperti orang sakit stroke. Alhamdulillah. Ya Allah berilah husnol khotimah kepada mak di akhir hayatnya, aamiin.


No comments:

Post a Comment