Wednesday, March 9, 2016

LAWATAN KAJISELIDIK KE SETUL HARI KE-2




HARI KEDUA 7 JANUARI 2016 (KHAMIS)
PELABUHAN TEMALANG, SETUL, LENGU

Dalam  suasana nyaman pagi, dengan badan yang segar selepas puas berehat semalaman, lebih kurang  pada jam 8.30 pagi, kami meninggalkan Starinn Resort.  Semua peserta lawatan dengan tepatnya, sudah bersedia  berada di dalam van, untuk pergi bersarapan pagi. Pagi ini kami dibawa ke Gerai Tiga Beradik (Sam Pi Non) di Bandar Setul. Menu pagi ini, nasi campur, pulut  ikan kering dan roti canai. Selesai sarapan kami meneruskan perjalanan.  Mula-mula kami singgah di rumah keluarga keturunan keluarga Ku Jiwa dari susur galur Ku Din Ku Meh, seorang  pembesar yang penah memerintah  Setul. Salah seorang ahli keluarga itu Ku Rahimah binti Ku Jiwa(adik Ku Othman) dapat ditemubual oleh ahli rombongan untuk mendapatkan susur galur keluarga dengan lebih tepat. 

Seterusnya kami bergerak ke Pelabuhan Temalang dan tiba di sana lebih kurang jam 9.40 pagi. Oleh kerana kawasan ini terkenal dengan ketam, jadi di pelabuhan itu dibina sebuah replika ketam gergasi untuk tarikan pelancong. Terdapat juga replika ikan nemo gergasi dan replika  pokok-pokok bakau menghiasi lakaran lanskap di tepi pelabuhan itu. Suasana di pelabuhan ini tidak begitu sibuk kerana feri untuk ke Kuala Perlis, dan Pulau Langkawimengikut jadual perjalanan yang tidak begitu kerap. Kami sempat juga berkenalan dengan beberapa orang penjaja makanan dan minuman di tepi pelabuhan. Mereka sungguh gembira melayan karenah kami yang berbagai-bagai lagi melucukan barangkali. Melihat suasana itu seolah-olah tiada batasan sempadan pemisah antara kedua-dua Negara Malaysia dan Thailand. Mereka menuturkan bahasa yang sama Bahasa Melayu, memakai pakaian yang sama baju pendek berkain batik,  dan siap dengan tudungnya sekali. Selepas membasahkan tekak kami meninggalkan mereka dan pelabuhan yang nyaman itu.

Seterusny,a selepas meninjau dan menikmati suasana di pelabuhan, kami bergerak  ke Muzeum  Ku Din Ku Meh.  Di sepanjang jalan didapati pokok-pokok bakau yang tumbuh subur merimbun. Kami sempat singgah sebentar di Jambatan Sungai Pulau Burung (Khlong Kok Nuk) untuk menikmati pemandangan indah di situ. Lebih kurang pukul 10.20 kami memasuki pekan Setul (dahulunya disebut Mambang Segara).  Kami ditunjukkan mesjid Mambang atau dikenali  Mesjid Akibi yang dibina 0leh Wan Omar. Mengikut Pak Mus kononnya di Pekan Setul ini, di Jalan Puriwanid, yang kami lalui itu, terdapat sepohon pokok asam yang berusia lebih 100 tahun.  Tak lama selepas itu kami sudah tiba di Muzeum yang kami tujui.

Nampaknya kunjungan kami ke Muzeum Ku Din KuMeh mendapat sambutan meriah. Rombongan disambut oleh Pengarahnya Puan Achima yang telah  memberikan ucapan aluan yang diterjemahkan oleh Fatimah. Seterusnya kami mendengar taklimat berkenaan Muzeum secara sepintas lalu. Sebenarnya museum ini ialah sebuah rumah yang telah dibina oleh Ku Din untuk menyambut kedatangan Raja Chulalongkhorn suatu ketika dahulu. Oleh kerana lawatan itu dibatalkan  maka rumah rehat ini dijadikan rumah Ku Din dan kemudiannya bertukar menjadi pejabat pusat pentadbiran pula.  Jadi semua barangan yang  dipamerkan amat berkaitan dengan urusan pentadbiran Negeri Setul dan juga menceritakan tentang masyarakat Melayu Setul sejak dari zaman silam lagi.

Di samping itu terdapat juga gambar-gambar yang merakamkan peristiwa-peristiwa penting yang menjadi bukti dan sejarah negeri Setul .  Banyak  juga  artifek-artifek yang menggambarkan budaya masyarakat tempatan seperti barang kemas, pakaian, dan peralatan yang turut dipamerkan.  Terdapat juga pameran asal usul masyarakat Melayu Setul yang terdiri daripada dua golongan iaitu orang asli dan orang laut. Kononnya masyarakat ini asalnya mengamalkan ugama anemisme, sebelum berkembang menganut agama Islam seperti sekarang. Lama juga kami anggota rombongan meninjau-ninjau maklumat di dalam muzeum ini. Selesai lawatan di sekitar muzeum, kami menikmati minuman pagi, disajikan kopi dan roti kapai; sama seperti hidangan masyarakat Melayu zaman dahulu. Selepas bertukar cenderamata dan bergambar kenangan kami meninggalkan muzeum untuk  meneruskan misi lawatan ke destinasi berikutnya
.
Seterusnya kami singgah di bekas tapak Istana Tengku Bisnu di tengah-tengah Bandar Setul. Ia terletak di suatu kawasan tanah lapang, yang agak luas dan masih tiada sebarang binaan di atasnya buat masa ini. Di sebelahnya kelihatan kedai serbaguna Seven-11, yang menjadi mercu tanda tapak istana.  Melihatkan tanah lapang yang agak luas itu sudah tentulah dapat dibayangkan istana itu dahulunya dibina daripada kayu, yang struktur bangunannya, tidak dapat bertahan lama pastinya. Selepas meninjau-ninjau dan bergambar kenangan, kami bergerak untuk singgah ke rumah waris keluarga  Abdullah Lang Puteh, seorang penulis terkenal yang menulis banyak buku tentang sejarah Setul dan yang berkaitan dengannya.

Sebenarnya Pak Mus telah aturkan pertemuan ini, jadi kami disambut oleh cucu Abdullah Lang Puteh, Datin Noraini di rumahnya beserta  ahli keluarga yang lain, termasuklah ibunya Puan Nor Habibah. Dalam ucapan aluannya Datin mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada PSMCK kerana sudi berkunjung menjejak keluarga mereka. Beliau dan keluarga berasa sungguh gembira dan terharu kerana PSMCK masih teringat kepada Abdullah Lang Puteh. Menurut Datin Noraini, Abdullah Lang Puteh lahir pada tahun 1890, berasal dari Kampung Guar Setul. Jurai keturunannya dari Wan Jamil dan Wan Musa. Abdullah pernah menjadi menteri kabinet di Bangkok. Dia banyak menulis buku dan Datin akan usahakan untuk mendapatkan mana-mana buku yang ada dalam simpanannya,  untuk dikongsikan isinya dengan PSMCK khususnya Pak Wan. Datin berharap hubungan dua hala akan terus erat dan mengalu-alukan kedatangan orang Kedah ke rumah mereka pada bila-bila masa. Menurut Datin, terdapat seorang keturunan Lang Puteh iaitu anak saudara Datin Noraini  di Bangkok, yang menjadi Imam di Mesjid Tungsun, beliau berkirim salam kepada anggota rombongan PSMCK. Tuan Imam Faizal berharap PSMCK akan mengunjungi beliau di Bangkok suatu hari nanti.

Sementara itu dalam ucapan balas PSMCK,  Dato Wan mengimbas kembali, beliau pernah hadir ke suatu majlis perkahwinan seorang anak Raja Setul. Beliau telah dihadiahkan warkah pemingangan dan perkahwinan yang ditulis oleh Abdullah Lang Puteh, yang masih disimpannya hingga sekarang. Beliau juga pernah mengimbas buku tulisan Abdullah yang bertajuk Dua Badan Satu Jiwa, sebuah buku lebih kurang ceritanya, seperti Buku Di Bawah Lindungan Kaabah. Buku tulisan tangan itu sempat dibaca sedikit dan sempat  dipetik beberapa petikan menarik kerana kesuntukan masa. Semua itu masih menjadi kenangan abadi kepada Pak Wan hingga ke hari ini. Selesai minum ringan kami mohon beredar meninggalkan keluarga Datin yang mesra itu untuk meneruskan misi lawatan.

Seterusnya tepat jam 12.30 tengah hari kami bergegas ke Kuburan iaitu Langgar yang menepatkan Makam Keluarga Diraja Tengku Bisnu dan ahli keluarganya. Kami telah ditunggu oleh Ku Othman suami isteri, bersama Puan Azizah dan beberapa orang sanak saudara remaja yang tidak boleh berbahasa Melayu lagi. Kawasan Langgar itu dipagari kota di sekelilingnya. Terdapat lima makam yang binaannya setinggi dada dengan batu nesannya yang masih teguh berdiri. Sebaris dengan Makam Dato Mohd Akid, terdapat di kiri kananya makam berbatu nesan perempuan, barangkali isterinya. Di kanannya pula terdapat  sebuah makam yang binaannya serupa, namun tulisan jawi di batu nesan itu, kurang jelas dan kurang dapat dibaca. Kami lihat di barisan belakang pula terdapat satu lagi makam besar yang serupa bentuk binaannya juga.Sambil melihat-lihat makam, Ku Othman menunjukkan salasilah keluarga jurai keturunan mereka. Malangnya semuanya dalam tulisan Thai. Pihak PSMCK telah cuba mendapatkan penjelasan mana-mana ahli keluarga yang mereka masih ingat. Yang lain akan cuba diterjemahkan apabila pulang ke Malaysia nanti.

Seterusnya dalam cuaca yang panas itu, kami terus bergegas ke satu lagi kawasan kuburan yang menempatkan Makam Ku Din Ku Meh, tak jauh dari situ. Kawasan kuburan ini luas dan kami terus menuju makam Ku Din yang sudah dapat dilihat dari jauh, kerana binaan makam yang tinggi dan batu nesan yang besar dibuat daripada batu marmar dari Itali. Di sekelilingnya terdapat beberapa kuburan lagi yang semua batu nesannya besar dan tinggi daripada marmar juga.  Semua batu nesan di situ tertulis dengan tulisan jawi yang indah khatnya, dengan jelas tertulis nama-nama pembesar dan kaum keluarganya yang telah kembali ke rahmatullah dan bersemadi di situ. Selepas meneliti kuburan satu persatu dan mendapat maklumat tentangnya kami meninggalkan kuburan untuk makan tengah hari. 

Oleh kerana sudah lewat, lebih kurang pukul 2.30 petang dan kami perlu menjimatkan masa untuk meneruskan perjalanan ke Pak Bara, Pak Mus membawa kami singgah makan tengah hari di sebuah gerai Melayu di pertengahan jalan. Gerai Bushra di Kampung China Setul itu, menyajikan kami nasi campur, lauknya gulai ikan, gulai ayam, kensom dan ulaman ala kadarnya. Selesai makan jam 3.00 petang,  kami mula meneruskan perjalanan ke Lengu. Kami melintasi Sungai Mambang yang mengalir ke Sungai Temalang. Kemudian kami singgah di Kedai Minyak Al Ameen untuk solat zohor kerana perjalanan ke Lengu jaraknya lebih kurang 40 kilometer lagi. Lebih kurang jam 4.00 petang kami akan sampai ke Pekan Lengu, dan terus ke Perkuburan  Abdullah Lang Puteh. Kami sungguh terkejut kerana Datin Noraini dan anak saudaranya Abdul Azit, Timbalan Dato’ Bandar Lengu beserta orang-orang Mesjid, telah sedia menunggu ketibaan kami ke kuburan itu. 

Di situ diadakan tahlil untuk arwah-arwah kaum keluarga Datin yang telah kembali kerahmatullah. Selepas itu Timbalan Dato Bandar berucap dalam bahasa Thai dan diterjemahkan oleh Pak Mus. Beliau mengalu-alukan kedatangan rombongan PSMCK. Beliau berasa sungguh terharu atas kunjungan kami. Beliau berasa sungguh malu kerana beliau dari keturunan Melayu tapi tidak dapat berbahasa Melayu dan tidak faham Bahasa Melayu lagi. Namun sekarang sudah ada usaha dari pihak Majlis Bandaraya untuk mempromosikan dan menggalakkan penggunaan  Bahasa Melayu di kalangan masyarakat Melayu di Lengu. Majlis diakhiri dengan jamuan petang  di perkarangan sebuah rumah dan kampung asal Abdullah Lang Puteh. Sambil minum diadakan temu bual dengan Datin, En Arfan dan lain-lain lagi anggota keluarga untuk mendapatkan maklumat bagi melengkapkan susur galur keluarga dalam  kajiselidik kami.

Seterusnya kami sungguh tidak menyangka, kami dijemput untuk melawat Muzeum Folklore Lengu pada jam 5.40 petang. Ketika semua kakitangan sudah pulang, Timbalan Dato’ Bandar mengiringi kami bersama beberapa orang polis yang meng’escort’ van yang kami naiki ke Muzeum itu. Siap siaga mununggu kami dua tiga orang petugas yang barangkali diarahkan untuk menerima kunjungan kami. Perkara ini tidak mungkin sama sekali boleh berlaku di negeri Kedah, alangkah terharunya kami. Timbalan Dato Bandar turut memberi penerangan tentang Muzeum itu, yang  mempamerkan pelbagai artifek yang menunjukkan budaya masyarakat Melayu Lengu seperti pakaian, perhiasan, pinggan mangkok, peralatan tembaga, alat hiburan dan lain-lain lagi. Tidak lama di situ kami mengucapkan selamat tinggal kepada Timbalan Dato Bandar untuk meneruskna perjalanan.

Selepas itu, akhirnya kami dibawa ke tempat penginapan di Lengu, Best House Resort. Jam 6.30 petang semua kami sudah berada di kamar masing-masing, yang  sungguh unik kerana berada di kawasan paya, dikelilingi pokok-pokok nipah, dan semua biliknya berhadapan sebuah tasik dipenuhi ikan-ikan peliharaan. Berada di sekeliling pokok nipah, dapat dirasakan banyaknya nyamuk berterbangan. Tidak hairanlah bilik kami dilengkapi kelambu yang sungguh kelihatan klasik, kerana di Malaysia jarang-jarang dijumpai resort yang memberikan kelambu kepada penginapnya.  Oleh sebab terlalu padat acara pada hari itu, maka kami berehat menghilangkan lelah dan tidak ada rasa untuk melihat-lihat keadaan di sekeliling lagi. 

Sambil berehat kedengaran bunyi burung tuwu bertalu-talu, kedengarannya seperti berada di waktu petang di kampung halaman sendiri di negeri Kedah. Tidak lama kemudian kedengaran pula bunyi azan berkumandang di beberapa buah masjid sekitar tempat penginapan kami itu. Terasa seperti berada di rumah sendiri. Ternyatanya tidak, kami berada di Kuala Bara, atau sudah ditukar kepada Pak Bara Thailand. Dapat dirasakan masih kuat syiar Islam di sini, walaupun dalam pemerintahan Thai. Patutlah Ustaz Amin Menjamin di Setul, mengatakan mereka orang Melayu masih kuat mengamalkan ajaran agama Islam. Cuma mereka sudah kehilangan identiti bahasa Melayu akibat penghapusan jati diri oleh pihak kerajaan Thai dengan sungguh licik.

Malam di Kuala Bara tenang, tiada kesibukan, dan tiada kehidupan malam. Dalam suasana damai itu kami dibawa menikmati makan malam di sebuah kedai makanan laut Rimlee Kitchen. Sesekali kedengaran bunyi ombak memukul pantai. Tetapi dek kegelapan malam kami tidak pun dapat melihat dan menikmati suasana  laut, dan juga tidak dapat melihat pemandangan di tepi pantai. Menu yang disajikan, tomyam, ikan  tiga rasa, kerabu kacang botol, telor dadar, kensom dan ulam-ulaman. Barangkali kedai ini antara yang terbaik, jadi kami menikmati hidangan yang sungguh enak, sesuai dengan selera. Dalam perjalanan pulang kami dibawa melawat pelabuhan, dan jeti penumpang yang agak sunyi, tidak beroperasi pada waktu malam. Di jeti kargo kelihatan terang benderang dan ramai pekerja sedang menyusun barangan untuk memuatkannya ke feri dan bot , bagi penghantaran melalui  bot keesokan hari.  Didapati kebanyakan kedai sudah ditutup kecuali ‘Seven-11’ masih kelihatan  ramai pengunjungnya,  termasuklah kami,  yang berjalan kaki, ingin menikmati suasana keheningan malam di Kuala Bara. Di hadapannya seorang peniaga roti canai, sibuk melayan pelanggan yang beratur menunggu giliran masing-masing. Bersebelahannya pula seorang peniaga sotong bakar,  juga masih  dikerumuni beberapa orang pelanggan yang sabar menahan liur untuk menikmati sotong yang dimesin kemudian dibakar garing. Dalam kegelapan malam kami pulang untuk  untuk berehat, kerana kami sudah tidak terdaya meneruskan langkah lagi.




No comments:

Post a Comment