Monday, November 12, 2012

HARI CUTI HARI MEMBACA


Dulu-dulu hari Jumaat, hari cuti umum, memang suatu hari yang dikhaskan untuk keluarga. Pagi-pagi selepas sarapan kami sekeluarga akan ke Pasaraya Peladang (seperti Giant @ Tesco) untuk membeli barang keperluan dapur, termasuklah barangan basah seperti ikan dan sayuran. Antara barang lain yang akan dibeli juga ialah buku - setiap orang sebuah buku. 

Selesai membeli-belah sambil aku siapkan hidangan tengah hari, papa seperti biasa akan membaca surat khabar bersama anak-anak. Biasanya papa akan beli Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Time. Sambil baca kadang-kadang papa akan bercerita kepada anak-anak; contohnya cerita kartun dalam akhbar, atau kisah-kisah teladan. Masa bercerita mereka akan memberikan perhatian, semua berebut-rebut di keliling papa, bertolak-tolakan supaya dapat menikmati apa yang akan papa ceritakan. Selesai bercerita mereka akan duduk-duduk, dan selalunya along akan ambil kartun itu semula untuk dilihatnya. Sementara adik-adik akan meneruskan aktiviti dengan buku masing-masing.  Selesai masak ala kadarnya,  selalunya mama akan turut serta membaca surat khabar. Kadang-kadang membantu anak-anak dengan melukis atau membaca buku yang telah dibelikan.

Begitulah saban minggu berlakunya aktiviti membaca keluarga sejak dari anak-anak masih bayi, sehingga mereka masuk sekolah rendah dan sekolah menengah rendah. Kami akan duduk lepak-lepak membaca surat khabar bersama. Kami menikmati berita, cerita, gambar, kartun dan apa saja dalam surat khabar. Ada masa semua diam membaca, ada masa pula mereka bertanya apa-apa yang tidak difahami. Ada masa papa akan buka cerita. Semuanya membaca surat khabar, di tempat yang sama, pada masa yang sama, dan berkongsi pengalaman yang sama.

Jika orang bertanya bagaimana dan kenapa anak saya rajin membaca, jawapannya tidak lain ialah, kami membaca bersama-sama mereka sejak dari mereka masih bayi, sehinggalah mereka boleh membaca sendiri. Tidak pernah dipaksakan, tabiaat membaca itu berkembang dengan sendiri, kerana dilihat oleh anak-anak, kemudiannya ditiru dengan sengaja. Mereka melihat kita membaca dan tanpa rasa terpaksa mereka juga turut membaca. Jadi saya sangat percaya tabiaat membaca datangnya dari kita jua. Kitalah yang mencorakkan sama ada anak suka membaca atau sebaliknya.

No comments:

Post a Comment