Sunday, November 25, 2012

MENJANA TRANSFORMASI KE ARAH KECEMERLANGAN


Tazkirah pagi 26 Nov 2012 oleh Tn Hj Ismail Awang Kechik

Untuk menghayati tajuk ini marilah kita renung kisah Nabi Mohamad saw. semasa zaman awal sebelum berhijrah, dan  dalam peristiwa peperangan Uhud. Semasa mula-mula Nabi menyebarkan Islam, Nabi mengumpulkan saudara mara dan sahabat handai terdekat untuk mendapat sokongan. Sokongan ini menjadikan Islam semakin berkembang, dan pengikutnya semakin bertambah dari sehari ke sehari. Dengan wahyu yang diturunkan, baginda menyusun strategi  untuk pengikut-pengikutnya berhijrah ke Madinah secara beransur-ansur. Kemudian sehinggalah tiba  masanya  Baginda mendapat wahyu untuk Baginda sendiri berpindah, barulah baginda berbuat demikian dengan sahabat Baginda yang sangat dicintai. Ini bermakna Nabi Mohamad saw. sangat berpegang kuat kepada ilmu dari Allah untuk sebarang tindakan sama ada yang kecil atau besar. Jadi kesimpulannya, untuk berubah dan boleh berlaku transformasi, dalam kehidupan,  atau dalam oraganisasi,  mestilah  dengan bersandarkan ilmu.  

Di samping mempunyai ilmu, untuk berubah kita mesti mempunyai sokongan yang kuat dan padu daripada orang-orang terdekat kita. Penyokong kuat kita adalah orang yang mempunyai satu wawasan, berkongsi satu cita-cita, sanggup berkorban harta benda, tenaga dan wang ringgit untuk turut sama jatuh dan bangun bersama-sama. Ini terbukti dan jelas dapat dilihat pada Saidina Abu Bakar. Beliau sudah bersiap sedia untuk berhijrah dengan semua perancangan yang rapi. Apabila tiba diajak berpindah oleh Rasullullah, beliau tanpa ada sebarang alasan, berhijrah bersama-sama Nabi pada saat beliau diajak, tanpa sebarang alasan lagi. Jadi sokongan dan pengorbanan Abu Bakar memang menjadi pemangkin kepada penghijrahan Nabi yang merupakan transformasi yang berjaya. Transformasi inilah yang merubah dunia Islam menjadi kuasa besar selepas itu.

Tn Hj, IsmaiI sedang berceramah .....
Tidak kita lupa pula, kejayaan penghijrahan Nabi, tidak lain kerana Baginda berdua tidak berharap, selain pertolongan dari Allah semata-mata, Allah yang maha berkuasa dan maha mengasihani lagi maha mengetahui segala sesuatu. Dengan kepercayaan itu, walaupun seratus pemuda Quraish mengepung, Baginda sedikit pun tidak merasa gentar kerana sangat yakin Tuhan bersama mereka. Dengan pegangan itulah, Abu Bakar mengiringi Nabi dengan sedikit pun tidak merasa takut kepada orang-orang Quraish yang berazam untuk menangkap mereka, mengharungi malam yang gelap gulita.

Kesimpulanya untuk menjana  transformasi atau untuk berubah ke arah kecemerlangan, kita perlu mempunyai ilmu pengetahuan, dan mengamalkan ilmu pengetahuan yang dipelajari dalam kehidupan. Kedua untuk berubah dengan jayanya, kita tidak boleh bersendirian. Perubahan memerlukan kekuatan sepasukan yang jitu, barulah berlaku perubahan yang bermakna dan mengesankan dan boleh merubah sesuatu ke arah kebaikan.  Akhir sekali sebarang perubahan yang mahu dilakukan mestilah dengan mengikut  jalan Allah dan mendapat redha dan izin Allah. Dengan semua ciri-ciri di atas, maka sesuatu bentuk transformasi ataupun sebarang perubahan akan dapat dijana ke arah kecemerlang di dunia dan kecemerlangan akhirat jua.


No comments:

Post a Comment