Tuesday, November 27, 2012

PENYAKIT PEROSAK HATI


Dipetik daripada Muqaddimah TV 9 27 Nov 2012

Orang yang takabbur, bersikap ego atau yang dikatakan sakit ego, ialah orang yang tidak terima akan kebenaran, tidak terima akan pandangan orang, dan sentiasa mencari kekurangan orang dan selalu saja memandang hina kepada orang lain. Mereka ini dikatakan mempunyai penyakit yang sangat serius yang boleh merosakkan hati. Atau dalam kata lain, takbbur ini boleh dikategorikan sebagai penyakit perosak hati. Orang yang mengidap penyakit ini sukar disembuhkan kerana hati mereka keras. Jika orang takabbur melakukan kesalahan, barangkali sukar untuk mendapat keampunan Allah yang maha pengampun.

Tidak seperti seseorang yang melakukan dosa kerana kesilapan, kemudian bertaubat, kemungkinan besar Allah akan terima taubatnya, dan mengampunkan dosanya, contohnya seperti Nabi Adam pernah melakukan dosa, Baginda bertaubat, kemudian diampunkan Allah akan dosanya, atas kesilapannya melakukan dosa.

Sebaliknya sekiranya seseorang melakukan dosa kerana sikap takabbur dan ego, taubatnya kemungkinan besar tidak akan diterima Allah, sepertimana yang terjadi kepada iblis. Allah sangat murka kepada iblis kerana dia engkar kerana takabbur dan merasa ego, dan merasa lebih mulia daripada orang lain.

Rasulullah mengingatkan kita tentang bahayanya takabbur dan ego, dengan bersabda,  "bahawasanya neraka dan  syurga pernah berdialog. Neraka berkata kepada  syurga, bahawasanya aku telah diberikan  hak oleh Tuhan, untuk mengutamakan orang-orang takabbur dan orang-orang  yang ego, dan  orang-orang  yang tidak terima kebenaran."

Jadi marilah kita sama-sama menjauhi sikap takabbur dan ego dalam kehidupan kita. Antara candangan untuk mengurangkan sikap ego kita ialah,
1. Selalulah ziarah orang sakit, dan orang mati, mudah-mudahan akan lahirlah keinsafan tentang keesaran Allah dan hati bolehlah dibentuk menjadi lembut.
2.  Selalulah merenung kisah terdahulu, seperti kisah Firaun yang memimpin Mesir dengan sangat takabbur, dan dengan sangat ego tanpa mengakui akan kebesaran Allah. Akhirnya Firaun mati dalam keadaan yang sangat aib.
3. Lihatlah dan contohilah sifat Rasulullah, baginda mendengar pandangan orang, beliau mendengar pandangan semua orang, walaupun baginda pemimpin umat manusia yang agong.

Marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripada kisah di atas. Marilah kita sama-sama berdoa agar kita dijauhi daripada sikap takabbur dan ego yang boleh merosakkan diri kita, dan yang menjadi perosak kepada hati kita. 

No comments:

Post a Comment