Saturday, November 10, 2012

BACALAH......


Masa mengandungkan bayi, tabiat ibu sangat penting. Ada ibu mengandung yang mengalami alahan, dan ada yang tidak. Di samping itu, ibu mengandung memang selalu berasa kurang selesa, dengan perubahan bentuk badan yang berlaku. Tapi syukurlah semasa mengandungkan Danial, mama kurang mengalami alahan, dan rutin kehidupan harian pun tidak banyak berubah. Sebagai guru, mama saban hari tetap aktif dan bertenaga mendidik dan mengajar. Saban hari mama panjat tangga ke tingkat tiga untuk kelas tingkatan 6. Banyak berjalan dan panjat tangga rupanya, satu senaman yang sangat baik untuk mama semasa mengandung. Mama rasa sihat saja sepanjang sembilan bulan itu. Jadi untuk sihat bertenaga eloklah ibu yang mengandung banyakkan berjalan.

Di samping aktiviti sihat seperti berjalan, tabiat, kegemaran, sebarang tindakan dan amalan ibu, memang amat berkesan dan terkadang membentuk perkembangan anak-anak. Ramai orang berkata apa yang ibu buat, akan juga nanti menjadi tabiat atau sifat anak yang dikandung. Amatlah bertuah mama rasa kerana tugas seharian, memaksa mama menghabiskan banyak masa dengan buku. Membaca untuk persediaan mengajar, membaca untuk memeriksa latihan pelajar, dan membaca untuk memenuhi masa lapang, semuanya sangat merangsang pertumbuhan Danial yang kami tunggu rupanya.

Masa bulan-bulan terakhir mengandung, memang mama terlalu banyak membaca. Kebetulan waktu itu mam menjadi Ketua Kumpulan memeriksa kertas BM 1 STPM. Jadi memang sangat tekunlah mama membaca untuk menyiapkan semakan kertas pelajar pada bulan November dan Disember itu. Kebetulan pada tahun itu (1993), Kertas soalan BM 1 STPM telah bocor. Jadi mama terpaksa terus memeriksa kertas jawapan pada bulan Januari pula. Waktu itu mama sudah cukup sarat membawa perut, tapi  mama juga memang sangat tekun memeriksa kertas calon-calon STPM Ulangan, supaya dapat disiapkan tepat pada masanya. Pada masa yang sama mama juga membuat kerja sekolah kerana kebetulan sekolah baru dibuka semula. Jadi mama perlukan konsentrasi yang sangat tinggi, semangat yang cukup kuat, dan kesabaran yang tiada tandingannya, supaya mama dapat memberikan markah yang seadil dan sewajarnya kepada calon-calon periksa itu.

Alhamdulillah, semua sifat baik itu rupanya tertumpah kepada anak kesayangan kami. Memang tidak dapat dinafikan Danial memang seorang yang sangat suka membaca. Sejak berumur empat tahun lagi dia sudah mula membaca buku-buku Ladybird yang simple, tapi dia sangat suka dan tekun. Kemudian dia membesar menjadi anak yang sangat tinggi konsentrasinya, dan membaca buku tanpa mengira masa dan waktu, serta menjadi kebanggaan guru Tadikanya pula. Jadi jika mahukan anak yang rajin membaca, ibu mengandung eloklah rajin membaca sepanjang masa mengandungkan anak yang kita kasihi dan teruskan membaca sebagai satu amalan hidup keluarga kita. Insya Allah anak kita akan rajin membaca.

No comments:

Post a Comment