Friday, November 23, 2012

BUKU 20 SEN


Setiap hari, memang sudah menjadi rutin, aku akan minta pelajar buat kerja sekolah selepas mengajar. Esoknya, aku akan minta pelajar tunjukkan kerja rumah awal-awal sebelum aku mula mengajar yang baru. Aku akan bergerak dari meja ke meja melihat kerja rumah setiap orang.Sambil itu aku memberi perangsang dan pengukuhan kepada pelajar yang menyiapkan kerja rumah. Tiba di satu meja, tiada buku latihan dan tiada kerja rumah yang dipamerkan.

'Kerja mana, tak siapka?' Pelajar itu diam dan tunduk melihat buku teks yang siap terbuka. Aku makin keraskan suara kerana, kalau tidak buat kerja sekolah bermakna pelajar itu tak baca apa yang telah aku ajar. Kalau tak baca tentu mereka tidak boleh lulus SPM nanti. Dah lah duduk di kampung, semuanya serba kurang, baca buku pun tak mau, buat kerja rumah pun tak sungguh-sungguh, macam mana nak berubah? Murid itu terus diam dan tunduk. Aku terkedu, sambil mencari jalan untuk membantu.

Akhirnya aku perlu buat sesuatu untuk dia tidak terus ketinggalan.
'Siapa ada buku kosong lebih bagi kawan pinjam, esok kamu bayar balik tau'. Seorang murid lain angkat tangan sambil menghulurkan buku kosong kepada rakannya itu.
'Tinggalkan tempat kosong untuk kerja semalam, dan terus buat kerja hari ini nanti'. Aku teruskan mengajar hingga selesai, kemudia meninggalkan mereka bila loceng berbunyi.

Dalam bilik guru aku terus merungut benda yang sama tadi. 'Apalah murid tu buku kosong 20 sen pun tak terbeli, bila nak beli? Macam ni susahlah nak bantu, tak ada buku macam mana nak buat kerja sekolah. Macam mana nak pandai, tak oleh ingat kalau tak buat nota dan tak buat latihan.'

'Cik gu, budak di sini bukan saja 20 sen, 10 sen pun tak ada kadang-kadang. Depa tu datang ke sekolah satu sen pun tak bawa, macam mana nak beli buku 20 sen. Makan pun kadang tidak, minum air paip saja tau. Boleh datang sekolah pun sudah cukup besar....'

Aku termangu, tak tau apa nak kata. Aduhai anak malang, nasib baiklah aku minta dipinjamkan buku untuk dibuat kerja, jika tidak, esok pun sudah tentu dia tidak akan dapat buat kerja juga, bukan kerana malas tapi dek kerana tak ada buku, dan tak mampu membelinya. Aku yang masih muda dan berdarah muda pula, tahunya marahkan murid tanpa usul periksa, tanpa terlebih dahulu menyelami kehidupan seharian mereka. Susah senang mereka, dan cerita sebenar kehidupan mereka. Memanglah niat guru marah untuk membantu mereka. Tapi realitinya mereka memang sangat tidak berdaya, mereka memang sangat tidak berupaya, kerana kemiskinan hidup keluarga yang sudah sekian lama. Maha suci Allah semoga mereka dapat dibantu. Allah maha besar, Allah maha mengetahui, selepas itu aku lebih peka dengan murid-murid aku yang serba kekurangan itu.


No comments:

Post a Comment