Friday, November 9, 2012

ORANG PEREMPUAN MESTI KUAT



Membaca blog angah, hati terasa sayu, bercampur bangga. Naluri seorang ibu yang bertanggung jawab dan pengasih sudah mendarah daging dalam diri puteriku yang sangat disayangi. Amat membanggakan seorang ibu yang pernah melahirkan dan membesarkan dia, dengan penuh kasih sayang dan harapan yang menggunung tinggi, kini dapat menyaksikan sendiri kegigihan puteri itu dengan redha dan sabar. Amat bersyukurlah aku kerana puteri kesayanganku itu, kelihatan sangat terurus, tidak mudah mengalah dan sangat positif - ciri wanita unggul yang barangkali diwarisi. Amat bersyukurlah aku, Tuhan memberikan segalanya kepada dia, tapi mencubanya pula dengan segala pemberian.

Masih segar dalam ingatanku, selalu aku titipkan nasihat - angah kita orang perempuan mesti selalu kuat. Aku tidak pasti sama ada angah masih ingat atau tidak tapi ia masih segar dalam ingatanku. Orang perempuan tidak boleh cepat mengalah, dan tidak boleh lemah. Kalau angah tak faham pun angah dengar saja, nanti sampai masanya, angah akan tahu sendiri. Kalau orang perempuan tidak kuat, memang susahlah kita, sebab orang perempuan sejak kecil lagi, sehinggalah kita dewasa, sudah ditakdirkan mengalami kesakitan demi kesakitan, yang berbagai-bagai, sehingga menjadikan kita lebih tabah dan kuat.

Namun apa pun yang ditempuhi walaupun terasa sakit, tapi menjadikan kita bahagia, kita tidak akan pernah mengeluh. Kita pun tidak pernah akan merungut atau berduka lara. Malah kita akan menjadi semakin tegar. Sabarlah sayang, pohonlah doa supaya kita akan dapat mengharunginya dengan sabar, ikhlas dan redha. Mama sangat yakin anak mama akan sabar, redha dan ikhlas.

Kini segala kesusahan itu telah dibantu oleh Yang Maha Esa. Tuhan telah makbulkan doa puteriku itu. Tuhan telah meletakkan supaya puteri kesayanganku diuji, jadilah dia seorang yang sungguh hebat ketekalan hatinya. Mudah-mudahan juga menjadi lebih redha dan sabar. Syukurlah angah sudah berjaya, dia sudah dililuskan permohonan tukarnya. Selepas ini sudah pasti angah akan lebih kuat semangatnya mengharungi hidup di samping suaminya membesarkan anak-anak yang sungguh mencabar. Semoga kekuatan mental, jiwa dan rohaninya menjadikan dia seorang yang lebih  redha, sabar dan berjaya di dunia dan akhirat. 

No comments:

Post a Comment