Thursday, November 8, 2012

THE START.....


Permulaan catatan ini dipetik daripada nota yang ditulis oleh papa dalam Diari Anak Pertama pada tahun 1984:
 
"Papa menikahi mama pada 13 Disember 1982. Semenjak itu papa dan mama sentiasa berdoa agar mendapat anak-anak yang yang baik, soleh dan berguna pada masyarakat serta agama. Papa dan mama menunggu dengan sabar, sehinggalah pada bulan Jun 1983, bila bulan mama terhenti. Tarikh terakhir datang bulan ialah pada 25.5.1983. Ini bererti Danial telah merupakan zygot pada pertengahan bulan Jun 1983.

Awal Julai papa membawa urine mama untuk diperiksa dan keputusannya; confirm mama mengandung. Maka tarikh jangkaan bersalin ialah 1.3.84. Alhamdulillah, mama tidak mengalami  muntah-muntah yang teruk. Pada masa itu papa bekerja di Unit Perbidanan dan Sakit Puan (O&G) HBAS. Maka segala urusan boleh dikatakan mudah, dan mama mengambil keputusan untuk bersalin di Hospital Besar Alor Setar. Pada ketika kandungan berumur 21 minggu, mama pun dibawa berjumpa Dr Yeoh Hock Lye (Pakar O&G) untuk booking bersalin.

Danial membesar dalam keadaan normal dalam uterus mama. Lawatan rutin berjumpa doktor setiap bulan dan minggu dipatuhi, dan semuanya normal. Berat badan mama pun  bertambah dari 53 kilo menjadi 64 kilo. Makan, memang tiada masalah langsung, makanan kegemaran, antaranya ayam goreng Mc Dota, yang satu-satunya di Alor Setar."

Mama sangat bertuah kerana dikelilingi teman-teman yang berpengalaman semasa awal mengandung. Menurut mereka masa tiga bulan pertama mengandung, eloklah banyak membaca al-Quran surah Yusuf, supaya anak yang dilahirkan nanti cantik dan segak. Mama tidak banyak soal, sangat patuh dan tekun setiap hari, membaca Surah Yusuf, sambil berdoa supaya mendapat anak yang comel. Tiga bulan berikutnya disarankan mama membaca Surah Luqman pula, dengan harapan Allah kurniakan anak yang otaknya cergas dan pintar. Jadi mama pun terus membacanya dengan berterusan tanpa jemu, dengan harapan Allah izinkan niat yang dihajati. Dan tiga bulan terakhir mereka cadangkan mama baca Surah Maryam, supaya mama mudah bersalin. Begitulah sepanjang sembilan bulan mengandungkan Danial, amalan yang sangat dilazimi ialah membaca al-Quran tanpa jemu setiap hari.

Mama sangat bersyukur teman-teman baik; Kak Siti, Kak Bashah, dan Kak Fuziah memang banyak membimbing dan memberi sokongan sejak mula mengandung sehinggalah ke akhirnya. Syukurlah, amalan ini memang sangat membantu, memang dari awal hingga akhir, masa mengandung sulung ini, alhamdulillah, tiada sebarang masalah.

No comments:

Post a Comment