Wednesday, November 14, 2012

MENGAJI QURAN



Belajar mengaji di awal kehidupan anak-anak kami, memang suatu yang mesti, tidak boleh tidak. Kami boleh dikirakan bertuah kerana mendapat khidmat seorang ustaz yang sudi mengajar anak-anak di rumah. Setiap hari bermula jam dua hingga tiga petang kelas mengaji bermula, Along, angah dan alang semuanya mengaji bergilir-gilir, bermula dengan membaca muqaddam, sehingga tamat dan naik alQuaran pula. Dan bila adik besar dia pula mula mengaji. 

Untungnya   mereka juga diajar hukum tajwid dengan sempurna. Jadi mereka bukan saja kenal jawi tetapi juga kenal tajwid, dan boleh mengaplikasinya. Setiap kali habis mengaji mereka akan jawab kuiz hukum tajwid  dari ayat-ayat yang mereka baca. Mereka seolah-olah bermain dengan ustaz itu, dan berlumba-lumba menjawab soalan. Jadi mereka sangat kenal tajwid dengan cara yang cukup santai.

Aktiviti membaca alQuran bukan hanya 'dipaksakan' kepada anak-anak. Tapi aktiviti ini diamalkan bersama-sama selepas sembahyang maghrib setiap hari. Semua akan duduk baca Quran. Seperti biasa aku akan menegur bacaan yang tidak betul. Kadang-kadang along juga boleh tegur alang yang masih baru baca muqaddam. Begitu juga adik akan ditegur oleh kakak-kakaknya. 

Waktu maghrib memang tiada aktiviti lain. Waktu mengaji saja, dan semua seperti sudah tahu, akan ambil muqaddam dan quran masing-masing, duduk dalam bulatan dan mulalah mengaji. Pembentukan tabiat anak-anak, untuk belajar memang sangat memerlukan disiplin yang berterusan, tapi tidak dipaksakan. Jika tidak diberi perhatian dan tidak istiqamah, tanggung jawab besar ini, barang kali sukar untuk dipupuk. 

Untuk pengukuhan pembelajaran itu, kita perlu turut sama terlibat. Kita perlu duduk sama membaca quran. Kita perlu tunjukkan kesungguhan dengan sentiasa memulakan dan mengingatkan masa untuk duduk membaca quran. Kita juga perlu pastikan tiada aktiviti lain seperti televisyen pada waktu membaca quran itu, kerana televisyen sudah tentulah akan menghalang minat untuk mengaji. Lama-lama apabila sudah menjadi satu rutin maka tabiat membaca quran itu tidak perlu 'dipaksakan' lagi. Anak-anak pun akan boleh membaca quran dan mengamalkannya dalam kehidupan.




No comments:

Post a Comment