Thursday, November 22, 2012

SIMPAN IJAZAH BAWAH BANTAL


Dalam Mesyuarat Kurikulum pertama di sekolah DS, berlaku perbincangan hebat antara Pengetua dengan guru-guru Ketua Panitia (KP). Aku masih ingat dengan jelas, KP Bahasa Melayu mendapat pujian kerana ramai pelajar lulus dengan baik. Memang wajar dipuji pun, kerana bukan senang untuk mendapat pencapaian yang cemerlang dalam sekolah yang serba kekurangan, khususnya kekurangan guru siswazah, di sebuah kawasan pedalaman. Kalau dihitung cuma tujuh orang sahaja guru siswazah termasuk Pengetua dan Penolong kanan, dan akulah satu-satunya guru siswazah perempuan di situ. 

Bila tiba subjek Geografi, aku sangat terkedu untuk berbicara, dan berbincang apa-apa. Pertama sebab aku baru mula mengajar beberapa bulan saja di situ. Kedua, aku bukan guru opsyen Georafi, cuma menggantikan guru Georafi yang berpindah, dan kebetulan pula dia KP, maka jadilah aku KP bidan terjun. Semua orang menantikan aku memberi pendapat. Tapi aku masih juga diam. Akhirnya Pengetua menyebut nama aku  sekali lagi minta pendapat.

'Saya, bercakap pun susah, tapi tak bercakap lagi susah. Kalau dilihat dari data pencapaian SPM, boleh tahan juga keputusan  budak-budak. Saya akan buatlah apa yang termampu, untuk bantu budak-budak. Saya tak berani nak janji, sebab bukan opsyen, tapi saya cubalah.

Mendengar hujah yang aku beri, dia, tidak mengulas apa-apa. Barang kali dia sangat faham keputusan yang dia sendiri buat. Barang kali dia dapat bayangkan bagaimana susahnya aku, yang baru mengajar terus diberikan Tingkatan Lima, dan mengajar subjek baru. Aku sangat lega bila tidak banyak ditanya.

Selepas itu, satu demi satu subjek dibincangkan, tapi rata-rata pencapaian agak sederhana saja. Jadi besarlah harapan Pengetua, kalau dapat diperbaiki lagi pencapaian pelajar-pelajar di situ. Bolehlah mereka dibantu, bolehlah mereka keluar dari kepompong kemiskinan yang sudah sekian lama melanda. Memanglah, aku pun rasa sangat simpati dengan pelajar di situ. Taraf  sosio ekonomi mereka sangat rendah, dan mereka kurang terdedah dengan dunia luar.

Akhir sekali bila tiba mata pelajaran Bahasa Inggeris, perbincangan menjadi sangat panas. Pengetua sangat tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan, bahawa pelajar sangat lemah. 'Kalau depa lemah, cik gu buatlah bagi depa pandai. Cik gu ada ijazah, cari jalan, mesti depa boleh lulus. Kalau ada cik gu budak tak lulus, lebih baik tak ada cik gu, budak tak lulus pun tak apa. Saya bukan suruh dapat A semua, tapi nak bagi depa lulus saja. Kalau itu pun cik gu tak boleh buat, simpan ijazah cik gu tu bawah bantal. Tak guna ijazah tinggi-tinggi, kalau tak boleh bantu budak.

Semua orang terkedu, barang kali secara diam-diam semua orang bersetuju dengan dia. Memang benar kata Pengetua, walau apa cara sekali pun kita mesti tolong pelajar. Kita tak boleh brand pelajar tak tahu, pelajar tak mampu, dan pelajar lemah, tapi kita mesti cuba dengan apa cara, supaya mereka mendapat sesuatu manfaat daripada usaha kita. Pendek kata guru mesti berusaha supaya semua pelajar berjaya dari segi inteleknya, di samping kuat rohani, jasmani, serta emosinya, dan mempunyai kemahiran bersosial pula.

No comments:

Post a Comment