Friday, November 9, 2012

SAYA DEMAM



Mula-mula bertugas di sekolah baru banyak cabarannya. Pagi-pagi ronda kawasan, ternyata sangat luas kawasannya - 21 ekar. Jumpa pekerja yang menjaga taman-taman sungguh meragukan. Mereka kelihatan seolah-olah cuba melarikan diri, cuba mengelak dan kadang-kadang kelihatan seperti mencurigakan. Bila diberi salam, terbeliak biji mata mereka, tergagap-gagap nak jawab salam pun. Hairan akau, tak kan bagi salam pun susah nak jawab. Cuma ketua pekerja saja yang akan memberi maklumat bila didekati, yang lain kalau boleh nampak macam nak cabut lari.

Lepas beberapa bulan dan sudah banyak kali mesyuarat, keadaan sudah sedikit berubah. mereka sudah boleh menjawab salam dengan spontan, sudah boleh senyum mengangguk kepala dan terus bekerja. Tapi melalui pemerhatian, masih ada seorang yang masih agak 'liar' dariku. Selalu bila ronda pekerja lain akan kelihatan di kawasan masing-masing, yang seorang ini tidak kelihatan. Masa ronda diubah setiap hari, kawasan ronda juga ditukar haluan. Satu hari ronda tepat jam 1.00 tengah hari. Masih ada pekerja yang membersih kawasan, trim pokok bunga, membaja dan lain-lain lagi. Aku terus menuju ke setor pekerja. Nah hari ini aku jumpa pekerja yang seorang ini tengah nyenyak tidur atas bangku panjang. Bayangkan betapa marahnya aku kerana dia tidur waktu orang lain bekerja. Sudah banyak kali aku pesan kerja mesti jujur, bersungguh-bersungguh, tekun dan tidak curi tulang. Kita bekerja untuk beri makan anak isteri kita - jadi mestilah kerja sebagai ibadat dan kerja dengan amanah, dan bekerjalah kerana Allah, barulah berkat hasil titik peluh kita. Ini tidur waktu bekerja - apa sudah jadi dengan nasihat yang diberi? Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Selepas dikejutkan aku suruh pekerja itu jumpa aku di pejabat. Sejuklah sikit hati yang panas mendidih apabila duduk di hawa dingin. Tiba masa dia datang dengan muka selamba. Menggigil tangan aku menahan marah - mujurlah bingkai meja kuat , jika tidak boleh pecah kerana kuatnya genggaman aku menahan marah.

'Kenapa tidur tadi?' tanyaku.
'Saya demam cik gu, tadi makan ubat selesema, mengantuk sangat' jawabnya selamba.

Ya Allah, aku rasa nak ketawa besar. Aku selalu diusik papa, kalau jumpa pekerja tidur mesti kata dia demam, itulah jawapan yang selalu diberi papa dalam lakonannya sebagai pekerja.

'Bolehkah tidur waktu kerja?' tanyaku mengawal keadaan.
'Tak boleh ,' jawabnya pendek.
'Lain kali kalau demam, jumpa doktor, dia akan bagi cuti sakit, tak payah datang kerja, boleh rehat betul-betul dekat rumah. Kalau MC dah banyak, datang jumpa saya, saya akan suruh balik rehat di rumah, habis cerita, awak akan cepat sembuh bila berehat betul-betul.'

Dia mengangguk lesu, mungkin kerana rasa bersalah. Selepas minta maaf dan janji tidak buat lagi dia beredar. Beberapa bulan selepas itu, dia tidak tidur lagi, dia sering kelihatan di tempat kerja, dan kawasannya cantik dan terurus cantik, ceria dan kemas. Alhamdulillah, barang kali kerana dia tidak dimarahi, dia tidak disergah, dan dia terasa seperti dihargai, dia dengan sendirinya telah menunjukkan perubahan sedikit demi sedikit. Perubahan yang positif itu sungguh bermakna, sekurang-kurangnya dapat membantu dia menjadi seorang pekerja yang rajin dan dedikated.



No comments:

Post a Comment