Tuesday, November 13, 2012

EMAK BUAT KERJA SEKOLAH, ANAK BUAT KERJA SEKOLAH


Sebagai guru Bahasa Melayu Tingkatan Enam, memang banyaklah kerja yang dibawa balik ke rumah setiap hari. Kadang-kadang memeriksa karangan, latihan tata bahasa, ataupun alih bahasa. Semua itu tidak sempat dibuat di sekolah. Di rumah, memeriksa buku latihan, atau membuat soalan semuanya dibuat bersama anak-anak. 

Selalunya selepas balik sekolah semua kami akan rehat dulu sebelum buat kerja sekolah. Jam tiga setengah semua akan ke bilik Liabrary, duduk Di tempat masing-masing dan mulalah masa buat kerja sekolah. Mula-mula semua anak akan buat homework yang cik gu bagi. Masing-masing sangat tekun, buat kerja dengan teliti. Selalunya angah akan tanya along, kalau tak terjawab, mama akan bantu. Alang masih kecil, belum sekolah, tapi sudah ada buku kerjanya, dia pun buat 'kerja sekolah' juga. Sesekali dia akan minta perhatian, kacau kakak atau abang, jadi mama perlu tarik perhatiannya pula.

Selesai kerja sekolah mereka baca buku pula. Cukup jam 5.00 petang, siapa dah siap kerja boleh tengok tv, yang belum siap akan teruskan hingga jam 5.30 petang. Lepas tu semua tunggu papa untuk minum bersama bila dia balik dari kliniknya. Kalau masih ada kerja rumah yang belum siap, akan diteruskan selepas sembahyang Maghrib nanti. Selepas sembahyang, sekali lagi kami duduk sama-sama di liabrary untuk menyiapkan semua kerja sekolah atau membuat ulangkaji, sehinggalah jam 10.30 malam.

Begitulah rutin hidup, setiap hari kami bersama lebih kurang empat jam, untuk buat kerja sekolah bersama-sama selama bertahun-tahun. Sudah menjadi kebiasaan semua anak bila cukup masa akan terus ke liabrary iaitu tempat study. Syukurlah........  dengan amalan yang sudah dibiasakan, anak-anak tanpa disuruh, tanpa dimarah, tanpa dipaksa, dengan rela dan  suka, setiap hari membuat kerja sekolah dan mengulang kaji, sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian mereka yang biasa.

Selalu juga teman-teman bertanya, macam mana anak semua pandai-pandai. Sangat bersyukurlah aku, semua anak selalu berjaya dalam periksa dan ujian, selalu dalam rangking top ten. Barangkali masa yang dihabiskan bersama telah membantu pembentukan sikap anak-anak, dapat mengurus masa untuk belajar. Di samping itu, barangkali juga dapat memupuk konsentrasi untuk duduk dan belajar dalam masa yang ditetapkan.

Bila dapat duduk bersama anak, sebarang kekeliruan akan dapat dibantu, dan anak akan terlebih dahulu bersedia dan mempunyai pengetahuan tentang topik yang akan dipelajari pada setiap hari. Kemudian anak akan mengukuhkan kefahaman dengan membaca semula apa yang telah dipelajari. Jadi apa yang diajar akan lebih berkesan dan diingati dan dapat pula diaplikasi. Jadilah mereka orang yang pintar dan cerdas. Semuanya bermula dengan sedikit masa berkualiti, yang dihabiskan bersama setiap hari tanpa jemu-jemu dan penuh dilimpahi dengan perhatian dan kasih sayang yang melimpah ruah.

No comments:

Post a Comment