Tuesday, November 27, 2012

HATI ITU RAJA......


Tazkirah pagi 27 Nov 2012, disampaikan oleh Ustzah Nor Azlin Mohd Nasir

Hati manusia ialah suatu organ dalaman, yang juga disebut roh atau qalbu. Hatilah tempat untuk tentukan perasaan kita, dan tempat untuk menghazam ilmu, sama ada boleh memberi manafaat atau pun tidak kepada pemiliknya. Hati dikatakan raja dalam diri kita. Sebab hati amat berkuasa, dan anggota badan adalah rakyatnya. Kerana itulah segala permintaan hati, tidak pernah ditolak oleh anggota lahir kita, yang sangat patuh kepada 'raja'nya. 

Hati yang raja itu, penasihatnya ialah akal dan nafsu.  Kalau hati  menerima nasihat daripada penasihat yang pertama iaitu akal, maka baiklah hati. Sebaliknya jika penasihat kedua iaitu nafsu memberikan nasihat, dan diterima pula oleh hati yang raja itu, maka jahatlah hati. Jadi bagaimanakah boleh diselesaikan pertelingkahan penasihat hati yang sangat berkuasa itu? Bagaimanakah dapat dielakkan supaya hati yang raja itu tidak menjadi rosak kerana mendengar nasihat daripada penasihat yang salah? Tidak lain dan tidak bukan, urusan hati boleh diselesaikan dengan mencari pelbagai jenis ilmu, belajar macam-macam ilmu, dan mengenali ilmu tentang hati. Tiga kategori hati yang patut kita tahu ialah;

1.  Hati yang hidup, iaitu hati yang baik, positif, lembut dan terbuka. Hati jenis ini mudah melakukan perkara-perkara baik. Hati ini sentiasa mahu manuntut ilmu, sentiasa mahu mencari kebaikan dan akan sentiasa terdorong untuk perkara-perkara di  jalan Allah, dan perkara-perkara yang disukai oleh Rasul kekasih Allah. Maka berbahagialah orang yang memiliki hati jenis ini
2. Hati yang sakit, iaitu hati yang kurang kualitinya kerana kurang sihat. Dengan hati jenis ini kita mudah melakukan perkara-perkara tidak baik, perkara-perkara yang boleh membawa kemusnahan, yang memporakporandakan dan selalunya yang perkara-perkara yang dusta, yang bukan di jalan  Allah dan Rasul. Semoga kita diberi pertunjuk  oleh Allah untuk dapat menyedari dan menghindari hati jenis ini.
3.  Hati yang mati, iaitu hati keras, hati yang busuk seperti 'bangkai'. Maka segala perkara yang baik semuanya tidak boleh diterima. Pemilik hati ini tidak pernah terlintas untuk berbuat kebaikan, dan tidak langsung berkeinginan ke arah perkara kebaikan. Dan malang sekali, hati tidak melihat kebaikan langsung, walau pun orang di sekelilingnya,  orang baik-baik, walau pun di sekelilingnya telah disampaikan suruhan Allah dan Rasul sebagai peringatan. Maka amat rugilah pemilik hati jenis ini, dan semoga dijauhilah dari kita hati yang begitu.

Jadi cadangan untuk mengelakkan hati daripada menjadi keras, sakit dan mati, banyakkanlah berdoa kepada Allah. Dicadangkan Surah Taha ayat 1 hingga 5, boleh diamalkan supaya hati kita lembut dan menyukai perkara-perkara kebaikan. Saranan kedua ialah dengan menghayati sebuah Hadis Nabi saw. yang bermaksud, 
"Kurangkan bercakap selain berzikir, kerana orang yang banyak bercakap hatinya keras, bahawa orang yang paling jauh dari Allah adalah orang yang hatinya keras."

Kesimpulannya jadikan percakapan kita , percakapan yang mengingati Allah, percakapan yang boleh jadi zikir, dan percakapan yang ada kaitan dengan Allah, supaya kita sentiasa dekat dengan Allah. Semoga tazkirah ini dapat menjadikan kita orang yang lebih baik di sisi Allah dan orang yang sentiasa memberi manafaat dalam organisasi yang merupakan sebahagian daripada ibadat kita setiap hari.

No comments:

Post a Comment