Wednesday, November 21, 2012

LANGKAWI DULU-DULU........


Balik Langkawi kali ini sangat jauh bezanya dengan balik Langkawi suatu masa dahulu. Dua puluh tahun yang lalu balik berenam. Kini balik sembilan orang kerana yang sorang lagi tu 'on-call'. Dulu balik, masing-masing bawa beg sendiri, mama dan papa bawa apa yang perlu saja. Sekarang balik bawa macam-macam termasuklah 'stroller'.  Dulu balik, naik teksi untuk ke rumah, atau dijemput di jeti,  kini naik kereta sewa yang besar dan hebat dari jeti. Dulu jetinya kecil dan sesak, sekarang jetinya luas, tapi masih tetap sesak dan sangatlah sibuk.

Selamat sampailah di Jeti Kuah Langkawi
Begitulah sepintas lalu bezanya balik kampung dulu-dulu. Dan yang paling mengesankan balik kampung dulu, boleh dikatakan setiap minggu, untuk menunaikan tanggung jawab kepada ayah ibu. Masih segar dalam ingatan, pagi Jumaat, seawal jam lima pagi, semua sudah bangun bersiap untuk mengejar bot jam 7.00 pagi. Bila bot mula belayar semua anak yang masih kecil-kecil lagi, tidurlah dengan nyenyaknya. Biasanya kami sarapan bila tiba di Kuah, atau bersarapan bersama ayah ibu, apa-apa yang sempat dibawa balik.

Pernah dulu along tanya ' kita ni tak ada aktiviti lain ka selain balik langkawi?' Kasihan mereka, pada waktu itu mereka tak faham apa satu. Papa dengan lembut menjawab, 'ada, dan boleh buat yang lain, tapi kasihan pak su, dia setiap hari, siang dan malam jaga tok dan wan, tok dan wan  tak boleh bangun, dan tak boleh uruskan diri. Kalau kita boleh ganti hari Jumaat, bagi wan mandi, bagi wan makan dan bersihkan tempat tidur wan,  bolehlah dia berehat sehari'. Entahlah anak-anak faham atau tidak tapi selepas itu mereka tidak bertanya lagi.

Kini barulah boleh bercuti di Langkawi, mandi-manda di laut

Tapi lepas itu along tanya lagi,' tak bolehka kita pi jalan-jalan atau pi berkelah-berkelah bila balik Langkawi? Seperti biasa papa dengan lembut memberitahu anak-anaknya, ' boleh, nak pi mandi-mandi laut, nak buat barbeque, nak mandi air terjun, semua boleh. Tapi gamak ka, kita pi seronok-seronok tinggai wan dok tempat tidor sorang-sorang? Gamak ka kita makan sedap-sedap wan makan sorang-sorang?. Gamak ka kita bersuka-suka, wan sorang-sorang menderita?. Selepas itu along tak tanya apa-apa lagi, sehinggalah kedua orang tua kami dijemput Ilahi.

Kini, walau sudah lama ditinggal pergi, tapi kami tidak pernah rasa terkilan di hati. Kami rasa kami sudah berbakti semampu kami. Kami rasa kami telah korbankan seluruh keselesaan kami untuk ayah ibu. Semoga pengalaman awal anak-anak akan mengesankan mereka, menjadikan mereka anak yang mengenang jasa. Menjadikan mereka anak yang sentiasa peka pada ibu bapa, anak-anak yang soleh dan solehah yang boleh memberi manfaat di dunia dan di alam baqa, insya Allah.


No comments:

Post a Comment