Wednesday, November 21, 2012

SAMBUT MENANTU DI LANGKAWI


Pertama kali menjenguk Langkawi, bercuti di rumah seorang teman, bukan saja teruja dengan keindahan laut dan pantai, tapi juga dengan pengalaman pertama menaiki bot penumpang, Masa itu tahun 70an bot ke Langkawi masih lagi bot yang kecil dan makan masa sejam dari Kuala Perlis ke Pulau  Langkawi. Tidak diduga waktu itu kami dapat melihat sepasang pengantin turut sama menaiki bot, lengkap berpakaian pengantin, siap dengan keris dan tengkolok, siap dengan segala bekas hantaran pula. Kami tidak melepaskan peluang melihat-lihat sepasang raja sehari, menunggu bot bersama kami. 

"Ishh...  apala orang Langkawi pakai  baju pengantin siap-siap, malula semua orang asyik  tengok kita ja,' Aku pernah terlempar cakap pada seorang teman yang berasal dari Langkawi. 'Tak pa nanti aku nak tengok hang esok-esok nak pakai macam mana.

Bila tiba saat menyambut pengantin, aku masih ingat kenagan silam itu. Jadi langkah pertama, aku tidak pakai baju pengantin songket sepersalinan, begitu juga papa, dia hanya pakai baju kemeja biasa saja. Tapi barangan hantaran masih dibawa dalam dulangnya yang asal untuk dihadiahkan kepada keluarga di Langkawi. Waktu itu bulan Disember, musim cuti sekolah, orang memang ramai berkunjung ke langkawi. Melihatkan bekas hantaran maka orang ramai tercari-cari manakah pengatinnya. Oleh kerana aku berpakaian biasa maka orang ramai meneka-neka saja salah seorang daripada rombongan kami, dan mereka silap kerana yang diteka itu adalah pengapit atau pengiring penganti perempuan.

Setibanya di jeti Pulau Langkawi,  orang-orang kampung sudah penuh sesak datang menyambut mempelai. Oleh kerana air surut, maka sukarlah kami untuk naik ke jeti, tangganya sangat tinggi dan curam. Maka aku terpaksa merelakan diri dicempung naik ke atas jeti. Melihatkan jari jemari di tangan dan kaki, yang penuh dengan inai, maka semua yang melihat serentak berkata, ' tu dia anak dara, bukan yang tadi......'

Sungguh meriah sambut menantu waktu itu, disambut di jeti, diiring dengan puluhan motorsikal, bersama beberapa buah kereta, sambil itu mereka membunyikan hon sepanjang perjalanan ke rumah. Setiba di rumah disandingkan, serba ringkas dan sederhana, kemudian kami semua menjamu selera. Waktu itu orang tidak begitu gemar upacara bersanding, jadi tiadalah pelamin seperti sekarang. Kami sekadar duduk di kerusi makan biasa, untuk dilihat oleh semua yang berkunjung. Kemudian kami dibawa berkenalan dengan semua adik beradik yang ada, di balai, di 'gedehok', di tempat basuh pinggan, dan juga di tempat sajian makanan. Kemudian barulah dibawa naik ke atas rumah, pergi ke dapur, ke ruang tengah dan kemudian ke anjung untuk menjamu selera.

Lepas makan semua adik beradik, dan sahabat handai yang berkujung, bergilir-gilir bersalaman dengan pengantin baru. Semuanya tidak melepaskan peluang untuk mungucapkan tahniah dan mengucapkan selamat datang dan selamat menjadi ahli keluaraga yang baru. Begitulah sambut menantu yang baru, tiga puluh tahun yang lalu. di pulau yang bersejarah itu...

No comments:

Post a Comment