Friday, November 23, 2012

PAGI DAH TIDUR


Masuk kelas pagi itu, memang bersemangat sungguh. Budak-budak dah bawa keluar buku di meja, dah ada buku cacatan di sebelah. Masing-masing mamasang telinga mendengar penerangan. Memanglah aku rasa cukup suka mengajar budak-budak di kampung waktu itu. Mereka sangat perlu dibantu. Mereka tiada kemudahan asas yang boleh memberi rangsangan untuk mereka lebih berjaya. Satu-satunya harapan mereka ialah guru. Jadi untuk dapat membantu mereka sebaik mungkin persediaan mengajar mestilah rapi.

Mengajar pula mestilah dapat menarik minat mreka untuk terus belajar. Inilah cabaran yang harus dilaui. Kalau boleh mesti guna pelbagai deria, baru lebih berkesan. Jadi  aku memanglah buat yang sebaiknya. Malah kadang-kadang terpaksa tidur lewat malam. Selagi tak siap persediaan mengajar untuk esoknya, bersengkang matalah hingga siap sedia semuanya. Tapi memang sangat berbaloi. Dapat dilihat mata anak murid bersinar-sinar tanda puas dan faham apa yang diajarkan. Dapat dirasakan mereka suka bila apa yang dipelajari mereka dapat. Begitulah setiap hari sehingga berbulan-bulan lamanya.

Suatu pagi sedang aku sibuk mengajar, tiba-tiba nampak seorang murid sudah terpejam matanya, dan kepalanya tehangguk ke hadapan. Aku berhenti seketika, panggil namanya, dan suruh dia pergi basuh muka di tandas. Tanpa membantah dia ikut saja arahan yang diberi. Sekembali ke tempat duduknya aku terus mengajar. Tapi tidak lama selepas itu, murid yang tadi, terpejam lagi matanya.

'Kamu ni pagi-pagi lagi dah tidur. Pagi-pagi ni patutnya segar bugar ini, longlai dari tadi. Bangun pergi basuh muka banyak-banyak, biar cergas sikit.' Aku sangat marah pada murid itu, kerana tidak serius. 'Kita serius mengajar nak bagi dia pandai, dia  main-main pula'. 

Sambil aku merungut-rungut, seorang murid menghampiri aku. 'cik gu dia tak main, dia bukan tak mau belajar, tapi dia bangun awal cik gu. pukul lima dia dah mula kayuh basikal.' Aku tersentak. Kalau jam lima dah mula mengayuh basikal, jadi  sudah tentulah bangunnya lebih awal. Patutlah awal pagi lagi dah mengantuk.

Aduhai anak yang malang, kasihan kamu. Kuatnya semangat kamu untuk belajar, tapi tak termampu menahan badan. Entah makan atau tidak, entah sembahyang atau tidak. Tapi yang pasti tetap datang ke sekolah untuk belajar. Semoga kamu lulus dengan baik dan berjaya dalam hidup.


No comments:

Post a Comment