Monday, November 12, 2012

MAIN-MAIN BERSAMA


Masih segar dalam ingatan masa anak kecil-kecil, tidak banyak sangat aku belikan mainan untuk mereka. Bukan kerana tidak mampu, tapi bila dibelikan mainan, kelihatan seperti mereka tidak begitu ghairah bermain. Jadi aku cuma belikan mainan yang mereka gemar antaranya seperti lego. Seingat aku mereka tidak jemu-jemu main lego. Kadang-kadang main seorang dan kadang-kadang main antara mereka bertiga. Sesekali kau juga turut bermain memeriahkan lagi suasana. Main lego memang amat berkesan mencungkil kreativiti anak-anak. Apatah lagi kalau dibimbing oleh kita ibu bapa. Macam-macam boleh dibina, kadang-kadang layan saja imaginasi mereka. Dan mereka sangat suka, dan kelihatan mereka sangat berasa bangga dengan kerja mereka, yang kononnya idea mereka yang hebat tak terhingga.

Tanpa aku sedari bermain lego bersama, memupuk rasa persefahaman dan rasa kekitaan yang tinggi. Bukan itu saja, jika kita yang bermain bersama mereka, akan pula memupuk rasa hormat menghormati dan juga memupuk soft-skill dalam pergaulan sekeluarga. Si adik akan bertanya abangnya, dan si kakak pula akan membimbing adik yang lebih kecil. Dapat kita lihat bagaimana mereka belajar berinteraksi sesama mereka dengan cukup baik semasa bermain lego. Yang lebih menyeronokkan ialah apabila kita mengajak mereka berlawan mencipta sesuatu, jadi akan terbentuk dan terlahirlah bibit-bibit semangat juang yang sihat. Dari sini kita dapat lihat pembentukan jati diri yang memberangsangkan.

Jadi untuk pembentukan jati diri anak-anak, kita perlulah memilih mainan yang sesuai. Sebarang permainan yang kita beri eloklah jika kita luangkan masa untuk bersama mereka, kerana masa berkualiti itu juga, membantu pembentukan sikap, perkembangan emosi dan pembentukan sahsiah terpuji anak-anak yang kita sayangi.  

No comments:

Post a Comment