Friday, June 3, 2011

MENUNTUT ILMU 4

14 April 2011, Hotel Bustani Jitra - sambungan cerita kursus dalaman hari kedua ......

Selepas berehat pada malamnya, pagi yang dingin dimulakan dengan aktiviti kumpulan pula. Anggota kumpulan mestilah terdiri daripada pengurusan, guru senior, guru agak lama, guru muda, guru lelaki dan guru perempuan. Arahan yang diberikan, setiap kumpulan mesti melantik seorang ketua yang akan mengendalikan perbincangan kumpulan, dan semua ahli kumpulan mestilah diberikan peluang bercakap tentang diri masing-masing dalam masa yang ditentukan. Selepas semua ahli sudah bercakap dalam kumpulan, fasilitator meminta beberapa orang wakil setiap kumpulan, untuk memberikan pandangan mereka, selepas mereka telah berpeluang untuk menyampaikan pandangan dan diberi peluang untuk bercerita dalam kumpulan masing-masing.

Alangkah, alangkah, sungguh cantik perbincangan dalam kumpulan kami. Puan Kaunselor yang diberi penghormatan untuk menjadi ketua telah dapat memainkan peranan sangat cemerlang sehingga semua ahli dapat berkongsi banyak perkara, berkongsi berbagai-bagai perasaan, berkongsi suka duka, berkongsi keresahan, berkongsi ketidakpuasan hati, berkongsi semangat dan harapan dan macam-macam lagi yang tak terungkapkan, tapi dapat dirasakan bersama, ibarat seperti sebuah keluarga kecil. Alangkah terharunya aku. Alangkah besarnya ketentuan Tuhan menjadikan kursus kami sebagai satu permulaan yang membuka ruang agar kami dapat memanfaatkan masa yang sedikit tapi sangat berharga.

Alangkah bersyukurnya aku dapat berada dalam kumpulan yang telah ditentukan Tuhan. Aku sungguh bersyukur, banyak yang aku pelajari, dan banyak yang aku terokai dari dalam jiwa rakan-rakan yang sebelum ini tidak pernah aku ketahui. Maha suci Allah yang membuka ruang kepada kami, kami amat bersyukur. Semoga persefahaman yang indah ini akan menyemarakkan semangat kekeluargaan di Bahiyah untuk meneruskan tugas dan tanggung jawab sebagai Centre of Excellence.

Setinggi-tinggi rasa syukur kepada Mu ya Allah, yang telah memberikan kami peluang yang sungguh bermakna ini, untuk kami meningkatkan amalan kami demi kemajuan bangsa dan agama kami. Tidak dilupai dan dengan rasa rendah hati, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dikalungkan kepada jawatan kuasa dan semua yang terlibat untuk menjadikan kursus dalaman pada kali ini suatu realiti yang sangat berharga. Kami sungguh terhutang budi. Hanya Allah sajalah yang mampu membalasnya........








1 comment:

  1. Alhamdulillah. Membaca keseluruhan komentar cikgu, saya bagai dapat menyelami rasa hati cikgu seluruhnya. Mulanya selepas kursus di Bustani saya diulit keraguan andai pemilihan pemudahcara En. Sudin sebagai satu pilihan yang salah. Saya sedar cikgu menggalas tanggungjwab cukup besar untuk dilaksanakan dan kami adalah nadi untuk menggerakkan setiap wawasan tersebut - moga akan wujud saatu kesedaran yg tidak padam di pertengahan jalan. Insya'allah.

    ReplyDelete