Thursday, June 30, 2011

Day 4 - 17 Mac 2009 - JALAN-JALAN KE NAGOYA (1)



Toyohashi waktu pagi, di hadapan Stesen Toyohashi Central

Sebelum naik shin kan sen
7.00 pagi bertolak dari rumah ke Toyohashi Central untuk naik shin kan sen ke Nagoya. Perjalanan lmemakan masa lebih kurang 30 minit dengan kereta. Kereta di simpan di tempat letak kereta berbayar, setengah jam Y100, lebih kurang Rm 4 – jadi sehingga 8.00 malam bayarannya mencecah RM 48. 

Tepat jam 8.00 pagi kami sudah berada di atas keretapi laju yang terkenal itu, selepas menunggu di platform 5, lebih kurang dalam 10 minit. Kelajuan dianggarkan 240 km sejam. Kami sangat gembira kerana tiket secara berkumpulan agak lebih murah Y5400 daripada Y8000 – untuk coach free sitting. 

Tidak lama berlepas, pelayan mula menjual makanan dan minuman seperti dalam kapal terbang Air Asia. Sesekali petugas keretapi akan membuat rondaan dari belakang ke bahagia hadapan keretapi dan setiap kali sampai di pintu ke koc lain di hadapan kami, dia akan menunduk hormat. Rasa sangat dihormati pula. Tapi bila petugas itu berjalan menghala ke belakang rupanya dia juga menunduk hormat walaupun tiada siapa yang melihatnya. Terasa lucu juga melihat karenah orang Jepun menghormati pelanggan – rasa macam dibuat-buat pula – tapi itulah kebenarannya, pelanggan selalu diutamakan, dalam apa keadaan pun, tanpa sebarang kompromi.

Kawasan perumahan
Meninjau ke luar kelihatan sangat jelas kawasan perumahan yang padat di kiri kanan kami, sesekali terlihat kawasan berbuki-bukit yang menghijau ditanam dengan pokok teh yang nampak seperti garisan-garisan hijau dari jauh. Ada juga kelihatan kawasan kebun-kebun sayur dan kawasan tanaman padi yang mula menghijau. Ada sekali keretapi melalui terowong dalam lebih kurang 5 minit dan selepas itu kami telah sampai di Nagoya tepat jam 8.30 pagi. Perjalanan setengah jam itu sangat pantas. Setiba di Nagoya penumpang-penumpang lari menuju keluar dan sekelip mata meraka sudah hilang dari pandangan mata kerana bergegas untuk ke tempat kerja masing-masing. Shin kan sen dan keretapi memang kenderaan awam yang sangat digemari di Jepun untuk ke tempat kerja. Keluar dari shin kan sen, pergerakan mereka sangat pantas dan mungkin kerana itulah mereka sangat maju – tidak sedikit pun membuang masa.
Pagi itu, oleh kerana masih awal kami menikmati kopi dan sanwic di sebuah restoran seperti Starbuck, di hadapan Nagoya Central, sebelum meneruskan city tour. Kelihatan di Nagoya suasana waktu pagi sebelum pukul 9.00 memang sangat sibuk – semua orang sibuk untuk ke sekolah atau ke tempat kerja dengan kenderaan awam – kereta api. Bandar kedua terbesar seperti Nagoya tidak nampak masalah kesesakan lalu lintas – alangkah sangat aman. Sesekali nampak teksi seperti limosin berhenti mengambil atau menurunkan penumpang – hanya orang kaya-kaya, kerana teksi sangat mahal di Jepun.
Menunggu bas
9.30 pagi kami naik bas di hadapan pasaraya Matsuzakaya untuk untuk jalan-jalan sekitar Nagoya (city tour by bus). Tambang bas seorang lebih kurang RM 25, dibeli daripada pemadu, yang merangkap pemandu pelancong. Bagi pelancong bajet, keliling kota dengan bas, memang sangat sesuai. Berada di atas bas terasa seperti berada di atas kapal terbang kerana ada tayangan video tempat-tempat yang akan dikunjungi. Selesai tayangan video pemandu bas akan menerangkan tempat yang dapat kita lihat terutamanya semasa bas berhenti di lampu isyarat. Kita boleh berhenti di mana-mana tempat yang kita pilih, kemudian menyambung perjalanan lagi Menaiki bas keliling kota Nagoya. Bas akan melalui tempat-tempat pelacongan menarik sekitar Nagoya seperti Nagoya Castle, Muzeum Toyota, Tokogawaen, Telekom Tower, dan Noritake Garden.

Menuggu tiket di hadapan Pintu Masuk  Nagoya Castle
Pokok ume yang anggun
Kami buat keputusan untuk ke Nagoya Castle terlebih dahulu. Tiket masuk Nagoya Castle dan Tokogawaen Y640 seorang (RM38). Di pintu masuk bahagian hadapan, kelihatan pokok-pokok ume baru mula berkembang, nampak kemerahan menceriakan suasana. Ramai pelukis duduk melukis pemandangan yang berbagai-bagai – keindahan bunga ume yang cerah dan menarik, ikan mas hiasan bumbung Nagoya Castle yang megah, pohon sakura yang belum berbunga dan kota nagoya yang tersergam indah. 
Salah seorang pelukis......
Seorang pelukis yang kami dekati untuk bertanya khabar, sangat nampak pemalu, kerana kelihatan seperti cuba menyorok sketch lukisannya. Sangat jelas sifat orang Jepun – pemalu dan penuh aktiviti budaya sebagai sebahagian daripada pembentukan jati diri yang mantap ke arah kemajuan bangsa yang unggul. Melukis Nagoya Castle dan pokok sakura di musim luruh, atau musim bunga, memang menjadi satu aktiviti yang bukan sahaja menyumbang kepada pembentukan jati diri, tapi menyumbang ke arah bahan commersial yang membangunkan     dan memajukan ekonomi dan industri pelancongan Jepun.

Menikmati minum pagi

Oleh kerana lapar, kami lepak-lepak di gerai minuman di depan pintu masuk, sambil menikmati sandwic yang kami bawa. Di sini kami lihat, satu lagi aktiviti orang Jepun yang jelas kelihatan semasa kami menikmati makanan; membawa anak-anak tadika ke pusat pelancongan – angah sebut aktiviti emak-emak yang tidak bekerja ke arah pembentukan sahsiah, peribadi dan perkembangan emosi. Ini memang satu yang biasa dilihat di mana-mana tempat di Jepun – ayah bekerja mencari wang, ibu menjaga anak sehingga menjadi insan yang berjaya. Ini dilakukan dengan bersungguh-sungguh, sehingga menjadi seperti aktiviti wajib persatuan ibu-ibu. Nampaknya ini satu aktiviti serampang dua mata di samping mendidik anak, ibu juga boleh bertukar-tukar fikiran untuk menambah ilmu pengetahuan dalam hal pendidikan anak-anak, serta dapat memenuhi masa lapang sementara menunggu suami balik lewat malam.

No comments:

Post a Comment