Thursday, June 30, 2011

Day 4 - 17 Mac 2009 - JALAN-JALAN KE NAGOYA (2)

Memasuki ke dalam kota itu sangat terasa suasana kehebatan maharaja Jepun zaman dahulu. Terasa juga kesibukan orang membuat persediaan untuk menyambut musim bunga – ’cherry blossom’ pertengahan April, yang sangat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Jepun. Kebetulan terdapat petugas tv sedang membuat liputan persediaan menyambut musim bunga. Kami ambil kesempatan menyaksikan pergambaran itu bersama pengunjung-pengunjung yang lain. Musim bunga sakura bukannya lama – lebih kurang dua minggu saja akan mula luruhlah. Tapi oleh kerana publisiti yang besar dan hebat maka ia jadi acara tahunan yang ditunggu-tunggu oleh semua rakyat dan juga pelancong. Kita di malaysia banyak lagi bunga yang cantik dan tahan lama tapi oleh kerana tiada perancangan tiadalah musim bunga yang boleh dikomersialkan.

Kami meninjau-ninjau tingkat pertama, melihat-lihat sejarah Maharaja Jepun sejak sedari awal hinggalah zaman kejatuhannya. Banyak yang dipamerkan – senjata, pakaian perang, dan juga peralatan istana. Di tingkat dua dipamerkan keadaan masyarakat Jepun sekitar istana serta aktiviti mereka. Juga ditunjukkan proses pembinaan Nagoya Castle, dengan teknik mengangkat bongkah batu besar (sebesar kereta), menggunakan tenaga manusia sahaja. Menaiki tangga ke tingkat tiga kami masih teruja kerana sangat ramai pengunjung yang tidak sedikit pun kelihatan penat. Di sini ditunjukkan replika saiz sebenar ikan emas yang menghiasi kedua-dua bucu bumbung istana yang sangat dibanggakan itu. Sebagai lambang kemegahan maharaja banyak wang emas dilebur dan digunakan untuk menyalut ikan emas yang dibuat daripada gangsa. Ramailah pengunjung bergambar dengan ikan emas kebanggaan Nagoya itu. Akhirnya sampai di tingkat empat kami menikmati pemandangan indah bandar Nagoya dari udara – bandar kedua terbesar itu, kelihatan dipenuhi bangunan pencakar langit yang hebat saujana mata memandang. Sebelum turun kami sempat membeli cenderamata di atas menara. Menurut angah, di Jepun harga barangan di mana pun sama saja, tidak seperti di Malaysia, jika di tempat peranginan harga barangan lebih tinggi daripada di tempat lain. Tidak sanggup berjalan lagi kami turun menaiki lif. Bangunan istana lama itu diubah suai, diberi nafas baru dengan kemudahan serba maju, untuk kemudahan pengunjung. Itulah keistimewaan Jepun, maju dalam serba serbi termasuklah pelancongan.

Sebelum meninggalkan istana itu, alangkah bertuahnya kami kerana terjumpa sepohon pokok sakura yang berbunga lebat, kelihatan sangat cantik, putih kemerah-merahan. Angah kata ini sakura sesat kerana sakura yang sebenar hanya akan mula berbunga seawal minggu pertama bulan April, maksudnya secara logik, lagi dua minggu barulah boleh bertemu bunga sakura berkembang. Kunjungan kami sangat bermakna kerana terjumpa juga bunga sakura yang diidamkan. Apa lagi, kami bergambar sepuas-puasnya, kerana tidak tahu entah bila kami dapat menikmati suasana musim bunga di negara matahari terbit itu.

Meninggalakan istana Nagoya kami terus menaiki bas ke Tokogawaen, sebuah taman bunga ala Jepun. Setibanya di pintu masuk dapat dilihat dengan jelas tunjuk arah ke Muzeum Seni Tokugawa yang terkenal, bersebelah Tokugawaen, tapi kami tidak mengunjunginya kerana takut tidak cukup masa. Selepas menyerahkan tiket, mulalah kami bersiar-siar di taman yang unik ini. Yang menariknya taman bunga ini dihiasi dengan lorong berjalan kaki mengelilingi sebuah tasik yang sangat luas, kononnya melambangkan lautan. Ia dihiasi dengan air terjun dan air sungai yang menghidupkan suasana segar semasa bersiar-siar menghirup udara nyaman di sini. Taman ini dulu pernah menjadi kediaman Tokugawa Owari. Sehingga kini tinggalan rumah samurai masih berdiri gagah menghiasi taman yang penuh bersejarah. Usia taman yang yang tua dan lama itu masih kekal anggun dan bersih sebersih-bersihnya. Tak terjumpa taman sebersih ini di Malaysia. Sedih pun ada, malu pun ada. Orang Islam yang melaungkan kebersihan tidak mengamalkan kebersihan dalam kehidupan seharian.

Berjalan-jalan di kebun bunga itu, kami rasa sangat seronok kerana memang sudah mula terasa suasana musim bunga. Pohon sakura sudah mula berbunga, ume juga telah berkembang dan bunga-bunga lain juga kelihatan begitu indah berwarna warni - merah, kuning, putih dan banyak lagi. Orang Jepun tidak saja menikmati keindahan bunga-bungaan, tapi diabadikan dalam bentuk lukisan dan juga gambar. Menariknya di sini ramai pelukis melukis bunga-bungaan, dan juga melukis pemandangan. Bukan itu saja, aktiviti lain yang juga meriah ialah sesi fotografi. Ramainya juru gambar dengan pelbagai jenis kamera dan pelbagai jenis lensa yang mahal-mahal, berlegar di sekitar pokok-pokok berbunga indah, untuk mengabadikan gambar-gambar bunga dan suasana di taman bunga, setahun sekali di negeri matahari terbit itu. Jarang kita lihat aktiviti ini di tempat peranginan kita. Produk pelacongan kita masih belum dieksploit sepenuhnya – tak tau di mana silapnya, dan bagaimana proses itu berlaku di negara maju. Barangkali kita perlu banyak belajar untuk menjadi maju juga dalam pelancongan

No comments:

Post a Comment