Friday, June 24, 2011

Day 2 - 15Mac 09 – BERKELAH DI TAKESHIMA CHO, GAMAGOUR I (2)





Dalam perjalanan kelihatan suasana musim luruh


Tiba di Takeshima Park



Kelihatan pondok rehat terbuka di belakang sebelah kiri

Puas menghirup udara pantai di Yamaha Marina, kami beredar ke Takeshima Cho. Sepanjang jalan jelas kelihatan suasana musim luruh yang terasa masih sangat sejuk – pohon-pohon sakura sepanjang jalan, kelihatan batang dan rantingnya sahaja. Sesekali terjumpa dengan pokok sakura yang sudah mula berbunga. Pokok ume sudah berbunga lebat dan pokok bunga renek sudah berbunga ramah di sepanjang jalan cantik dan sungguh berwarna warni. Sesekali ternampak sekumpulan budak-budak sekolah berpakaian seragam sekolah walaupun hari cuti Ahad dalam perjalanan pulang ke rumah. Kanak-kanak sekolah di Jepun memang suka pakai baju sekolah kerana baju sekolah mereka cantik dan sangat kemas. Mereka sangat bangga kerana baju sekolah melambangkan sekolah masing-masing. Jadi walaupun hari cuti mereka berpakaian seragam sekolah.


Padang rumput yang luas dan cantik

Asyik mendengar berbagai cerita sepanjang jalan tanpa kami sedari, jam sudah 2.00 petang, seronoknya kami sudah tiba di Takeshima Park. Kelihatan dengan cantiknya, padang rumput yang luas terbentang berwarna keperangan menghadap laut yang membiru, tambahan pula suasana kelihatan lebih indah apabila memandang ke hadapan, Pulau Takeshima yang dihubungkan dengan jambatan sepanjang lebih kurang 200 meter nampak sangat anggun dan nyaman. Di tepi laut ramai pengunjung memberi burung merpati dan burung layang-layang makan roti atau kacang. Sangat banyaklah burung berterbangan menyambar makanan. Kanak-kanaklah yang sangat seronok dan bangga kerana terasa sangat hebat dapat memberikan makanan yang di baling dengan tepat kepada burung-burung yang sedang terbang.


Menikmati pemandangan Pulau Takeshima

Menikmati suasana keceriaan bermain dengan burung merpati di tepi pantai

Angin sudah mula kencang semasa kami mula berjalan melalui jambatan ke Takeshima Island. Dengan jelas dapat kedengaran bunyi siulan angin, membelah tiang-tiang lampu di sepanjang jambatan yang panjang itu, sejuknya sampai ke tulang hitam, walaupun memakai jaket tebal. Kelihatan sangat ramainya orang di atas jambatan mengunjungi pulau itu, pada hari hujung minggu untuk berehat bersama keluarga. Namun kelihatan juga, ramai yang tidak menggunakan jambatan, tapi berjalan di pasir kerana air laut surut hingga ke pulau. Sangat jelas kelihatan kebanyakan pengunjung terdiri daripada pasangan baru berkahwin, atau pasangan kekasih atau keluarga yang mahu sembahyang memohon restu untuk kesejahteraan hidup, kerana di pulau itu didirikan kuil tempat mereka bersembahyang. Sesekali kelihatan pelancong seperti kami, tapi tidak ramai.


Jambatan menuju ke Pulau

Pengunjung yang ramai menghirup udara segar menuju ke Pulau

Tempat peranginan di Jepun memang tidak bergantung kepada pelancong luar, kerana penduduknya yang ramai, dan rasa cinta dan bangga yang mendalam kepada negeri sendiri. Sampai di pulau kami mengambil tempat di atas batu-batu di tepi pantai untuk makan tengah hari kerana suasana sejuk menjadikan kami lebih cepat lapar. Sambil itu kami dapat lihat anak-anak dibawa ke tepi pantai untuk ditunjukkan spesis kepah yang dilindungi di situ. Dengan jelas ditulis di papan tanda ’Dilarang mengutip kepah kerana spesis itu dilindungi supaya tidak pupus’.


Mencari tempat untuk menikmati jamuan tengah hari

Setelah selesai makan tengah hari, oleh kerana sudah lampau waktu asar kami sembahyang jamak zohor dan asar di park itu. Kebetulan di sebelah tandas ada sebuah balai rehat yang luas, lapang dan bersih. Dengan berlapikkan mafla kami sembahyang di balai itu – lebih sempurna daripada sesetengah surau di Malaysia yang kurang tahap kebersihannya. Sebelum balik kami menghirup udara nyaman di taman yang luas itu, bersama ratusan pengunjung yang lain, kerana kebetulan hari itu, cuti hari Ahad. Adik bukan main lagi syoknya berguling-guling di rumput kering yang kelihatan sangat luas dan bersih. Nampak jelas papan tanda memainkan peranan penting membentuk sikap masyarakat Jepun ke arah menjaga kebersihan.


Melayan adik menikmati keindahan padang rumput


Di sana sini di taman itu penuh dengan papan tanda seperti tempat buang sampah kitar semula dan sebagainya.Tapi yang paling menggelikan hati kami ialah papan tanda berbunyi ’Najis anjing tanggung jawap pemiliknya’. Maksudnya bukan sampah saja yang tidak dibuang di merata-rata, tapi najis anjing juga dipungut oleh tuannya dan dibawa balik ke rumah.

Pukul 5.00 petang kami balik ke rumah, cadang nak menjamu selera di restoran sushi, tetapi oleh kerana terlalu ramai pengunjung, kami makan malam masakan sendiri di rumah – ayam masak merah, togeh goreng tauchu dan sup sayur segar. Malam itu dengan perut kenyang, cuaca sejuk dan keletihan yang amat sangat kami tidur mati sampai ke pagi.

No comments:

Post a Comment