Tuesday, June 21, 2011

MENJENGUK UNIVERSITI TOYOHASHI


Universiti Toyohashi

Lepas makan tengah hari, kami tidur sekejap untuk rehatkan badan. Bangun lepas asar, kami siap untuk pergi seight seeing ke universiti angah – suasana sangat sejuk kerana angin kuat – sampai basikal di tempat letak basikal, semua jatuh dan dapat didengar deruan angin yang sangat kuat.

Dalam tiupan angin kencang, kami berjalan-jalan juga, kerana dijangkakan sudah tidak ada masa lagi untuk datang kembali. Kawasan universiti tersergam indah bangunannya. Di sepanjang jalan kelihatan deretan pokok sakura yang gondol tidak berdaun di musim luruh ini . Yang kelihatan hanya batang dan rantingnya yang kehitaman, tapi sangat unik dan menarik, dan jarang pula kelihatan di Malaysia. Suasana kelihatan lagi menarik dengan Jalan-jalan yang bersih, padang rumput yang kuning kekeringan pun nampak sangat bersih dan dijaga rapi.

Kami menghabiskan masa jalan-jalan sekitar universiti yang besar itu. Tidak ada sepatah perkataan pun yang boleh dibaca, semuanya bertulisan kanji Jepun. Bahasa Inggeris langsung tidak kelihatan seperti kita di Malaysia. Memang mereka maju dalam acuan mereka sendiri, tidak sedikit pun perlu bahasa asing untuk memajukan pemikiran, dan memajukan teknologi, tapi mereka membuktikan mereka boleh lakukan sendiri. Kami dibawa ke Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Toyohashi, tempat angah belajar. Kalau tidak diberitahu, kami yang buta huruf Jepun tidak pun tahu kami di mana. boleh sesat, jika ditinggalkan sendirian di situ. Kelihatan bangunannya sedang dalam proses renovation dan sangat berbau cat sehingga menyucuk hidung. Semua arahan dan papan tanda minta maaf atas kesulitan pun tidak boleh kami baca, diterjemahkan untuk kami memahaminya.Hai Jepun ....

Pokok ume

Di sana sini ditanam pokok ume yang sudah mula berbunga, merah bercampur jingga, yang kelihatan sangat anggun. Sepanjang jalan terbaris pokok–pokok sakura yang hanya kelihatan batang dan ranting, yang berwarna kehitaman tanpa sebarang daun, tapi jelas kelihatan kudup bunga yang menunggu masa untuk kembang tidak lama lagi. Pokok-pokok semuanya tidak berdaun – kerana hujung musim luruh hampir masuk musim bunga, semua daun sudah gugur jadi cuaca tidak menentu, kadang-kadang hujan kadang-kadang panas pula.

Senja datang kami meninggalkan universiti. Cuaca sangat sejuk kerana hujan dan angin yang kuat. Kami menuju ke Jusco selepas mengisi minyak penuh-penuh – harga minyak di Jepun tiada subsidi, ikut harga pasaran dunia. Alangkah baiknya kerajaan Malaysia, kita masih boleh menikmati harga minyak yang agak rendah berbanding negara lain seperti Jepun. Penuh tangki minyak diisi,harganya lebih kurang RM240. Wow.... Tapi dek layanan pekerja di pam minyak sangat mesra pelanggan dan komited, rasa berbaloi - pay for the service also, ha, ha.

Stesen minyak yang mesra pelanggan

Di Jusco, Sayur sangat fresh, buah-buahan juga, tapi harganya sangat mahal jika diconvert kepada ringgit. Kami beli sedikit sayuran dan buah-buahan untuk makan dua tiga hari.

Adik sempat shopping seluar jeans untuk menambah koleksinya. Aku beli sehelai jacket, kerana tidak tahan dengan cuaca yang agak sejuk di akhir musim luruh itu. Semasa menunggu giliran untuk keluar dari parking, aku kagum melihat, dalam hujan dan kedinginan malam, pengawal keselamatan bekerja dengan penuh kesungguhan mengarahkan perjalanan trafik di Jusco itu. Sungguh hebat budaya kerja di negara maju macam Jepun. Pekerja kelihatan sangat suka bekerja, dan enjoy bekerja walaupun hanya sebagai pengawal di pasaraya. Kalau di Malaysia pengawal keselamatan duduk atau berdiri tanpa melakukan apa-apa sepanjang masa bekerja. Alangkah jemunya bekerja seperti itu. Sungguh berbeza pemikiran orang negara maju, sangat rajin dan tekun berbanding negara sedang membangun seperti Malaysia.

Sampai di rumah, walaupun sudah malam kami masak sup sayur dan goreng ikan untuk dinner. Sangat sedap kami makan, sambil borak-borak tentang macam-macam cerita. Tambahan pula dapat memanaskan badan sambil makan-makan, kerana suhu di bawah meja dapat dipanaskan dalam cuaca sejuk. Suasana makan malam bersama anak-anak, sangat bahagia dan mengasyikkan – dapat berkumpul anak beranak sejak sekian lama tidak bertemu.

Kerana terlalu letih kami semua tidur awal. Cuaca dingin membungkus kami sehingga lena dengan sangat nyenyaknya. Tambahan pula suasana sangat sunyi – tiada bunyi sebuah kenderaan pun selepas jam 9.00 malam di Sanbongi Cho. Kalau di Malaysia, jam 9 orang masih ramai di luar dan malam baru bermula, suasana di jalan masih ramai dan meriah. Patutlah tiada banyak masalah sosial di Jepun, kerana waktu malam, semua orang berada di rumah bersama keluarga. Malam pertama di Jepun itu, kami dapat rehat sepuasnya, selepas sehari semalam perjalanan dari Alor Setar Ke Singapura, ke Nagoya hingga ke Sanbongi Cho, dengan selamatnya.

1 comment:

  1. salam. boleh tak email saya kat email ni
    mizuki_tasy@yahoo.com
    Saya nak tanya pasal universiti toyohashi ni :)

    ReplyDelete